BENARKAH OBAMA TAK SUKA PERANG?
OBAMA TAK SUKA PERANG?
KEMENANGAN OBAMA ATAS ROMNEY.
Seorang kawan saya melihat keputusan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat melalui telefon bimbitnya dan merasa lega kerana Obama menang, terpilih sebagai Presiden Amerika Syarikat untuk penggal kedua.
Dia lega kerana Obama tak suka berperang, iaitu menurut pengamatannya, Romney adalah seorang yang suka berperang, maka sekiranya Romney menang alamatnya perang akan terus menerus berlaku, terutamanya di dalam negara Arab dan Islam.
Harap-harap begitulah hendaknya keadaan yang akan berlaku di dalam dunia Islam ini dengan kemenangan Obama, yang menurut kawan saya ini "dia tak suka berperang". Malah perang di Iraq dan Afghastan mulai kelihatan reda.
Tetapi saya memberikan pandangan saya bahawa Obama mungkinlah tidak suka berperang. Namun orang lain, terutamanya orang Arab dan orang Islam itulah yang suka berperang. Lihat saja apa-apa yang berlaku di negara Arab sekarang, Obama tidak pergi suruh mereka berperang, Sunni dan Syi'ie berperang di Iraq, rakyat Afghanistan berperang sama sendiri, Penyokong Presiden Bashhar Al-Asad di Syria berperang dengan rakyatnya yang dikatakan sebagai "pemberontak".
Pendeknya Obama tidak nampak pun kelibatnya di sana untuk menyuruh orang berperang, apa lagi berkerisis sesama sendiri. Malah Syria pun memulakan perang dengan Turki yang menolong menempatkan ribuan pelarian perangnya. Kalau tidak segera dikawal mungkin Syria dan Turki pun boleh berperang. Obama tak ada juga nampak di sana.
Maknanya kalau Obama tak suka berperang, tentulah orang lain sengaja suka berperang, atau mungkinkah Obama nampaknya tak mau berperang, tetapi dasar luarnya dan permainan politik di belakang tabirnya yang menjadikan orang lain berperang? Kenapa Syria tiba-tiba mahu berperang dengan Turki? Kenapakah rakyat Libya yang memulakan perang dengan pemerintahnya, tiba-tiba NATO masuk campur berperang dengan pemberontak? Kenapakah semua peperangan ini berlaku?
Mungkin jugalah Obama tak suka berperang, dan kerana itu mungkin jugalah dia akan menarik balik askar-askarnya yang sedang berada dalam negara orang di Timur Tengah, terutamanya dari Iraq dan Afghanistan.
Harap benarlah kenyataan kawan saya yang mengatakan Obama tak suka berperang, maka harapan semua agar dunia ini bertambah aman, akan menjadi cerah. Malah sekiranya Obama tak suka perang, harapa dasarnya terhadap Iran juga akan berubah, dan nampaknya dalam keadaan sekarang ini, Iran menjadi sasaran perang, sungguh pun bukan perang senjata, tetapi menjadi sasaran perang ekonomi sehingga menyebabkan matawangnya merudum turun, dan ekonominya kucar kacir.
Obama yang tak suka berperang itu juga yang menambahkan lagi kemarakan api peperangan pihak Yahudi Israel memerangi orang Palsetin. Obama tak suka berperang, tetapi dia berdiri teguh sebagai penyokong regime Yahudi di Israael, sehingga rakyat Palestin menjadi sebagai semut dan lipas yang boleh dibunuh sepanjang masa.
Marilah kita sama-sama nantikan apakah sikap Obama seterusnya dalam gambarannya yang tidak suka berperang ini.
Saya terimngat satu pandangan yang saya lihat sebelum keputusan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat ini, iaitu sehari dua sebelum rakyat Amerika mengundi. Di Kenya, tempat asal bapa Presiden Obama, rakyat di sana mengadakan laga lembu, iaitu memilih dua ekor lembu jantan untuk berlaga, satu mewakili Obama dan satu lagi mewakili Romney.
Pertarungan dua ekor lembu ini berjalan dengan amat sengit sekali, kelihatan kedua-duanya sama kuat, tetapi akhirnya lembu yang mewakili Obama mendapat kemenangan, maka bersoraklah gegak gempita orang ramai yang menontonnya, kerana mereka sememangnya mahukan Obama menang dalam pilihan raya Presiden disebabkan sentimen dan perhubungan darah Obama dengan orang Kenya. maka ketika lembu yang mewakili Obama ini menang, maknanya Obama akan menang lagi sebagai Presiden. Lalu lembu itu diarak berlari di sekeliling bandar dengan ratusan orang mengekorinya dengan penuh gembira dan sorakan serta tarian sebagai satu perayaan yang besar.
Hari ini tentulah rakyat Kenya sekali lagi berhari raya, tetapi bukan hari raya kerana kemenangan lembu yang bernama Obama, malah kemenangan Obama sebagai manusia gagah untuk menjadi Presiden negara besar dan gagah, Amerika Syarikat,
Mungkin kini lembu yang mewakili Obama itu perlu diuji sekali lagi apakah dia juga tidak suka berlaga lagi, seperti yang dikatakan bahawa Obama itu tidak suka berperang! Wallahu a'lam.
Comments
Post a Comment