SINDROM PANIK DAN BIMBANG



Nampaknya mutakhir ini suasana di dalam negara kita, terutamanya di kalangan masyarakat Melayu, adalah dipenuhi dengan sindrom panik dan bimbang. Baca akhbar dan media utama, malah lebih-lebih lagi membaca media baru atau media alternatif, hampir semuanya menampakkan berita sinikal dan kecam mengecam antara orang Melayu, tonjol menonjol yang baik dan buruk, seolah-olah "kita" saja yang baik semuanya, sedangkan "orang lain" semuanya buruk, malah banyak yang disiarkan sebagai fakta dan data, hanya merupakan andaian dan cakap-cakap di kedai kopi, khabar angin dan sebagainya tanpa berasaskan sedikit kajian atau penyelidikan untuk mencari fakta dan data yang benar.

Masalah menjadi bertambah rumit kerana orang Melayu bilangannya tidaklah seramai mana, jumlah punya jumlah hanya lebih beberapa peratus saja jika dibandingkan dengan jumlah kaum-kaum lain. Maka hal ini menjadi faktor yang menambahkan rasa panik dan bimbang dalam percaturan politik kepartian dalam menghadapi pilihan raya ke-13, iaitu satu pihak merasakan mereka perlu mempertahankan kuasa, dan satu pihak lain merasakan mereka harus merebut kuasa itu, dan dalam kedua-dua belah pihak ini terdapat parti Melayu yang bergabung dengan parti-parti kaum lain.

Komposisi kaum di negara kita sememangnya begini sejak lama dulu, iaitu sejak kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 lagi. Gerakan memberikan kerakyatan kepada kaum lain yang tinggal di negara kita telah dilaksanakan dengan persetujuan bersama, gabungan yang mengumpulkan parti Melayu, Cina dan India, telah wujud sekian lama, Dasar tolak ansur dan menerima kenyataan yang wujud dalam masyarakat majmuk dari segi bahasa, agama, ekonomi, politik dan sosial sememangnya telah berlaku dengan amat harmoni sejak lama, termasuk dalam menggubal Perlembagaan negara. Kedudukan Melayu dan kaum lain yang diberikan kerakyatan di akui dan dihormati oleh semua, kedudukan agama-agama di dalam Perlembagaan juga amat dihormati..

Tetapi senario itu kini telah terbalik, tunggang langgang, kerana pada masa kini, perselisihan pandangan dan perbezaan fahaman politik telah diwarnai dengan gejala kecaman dan cacian, fitnah dan hasutan, malah gejala ini telah menggantikan nilai murni dan kudus dari ajaran Islam sendiri, dan dengan itu ideologi politik kepartian menjadi seperti sebuah kitab yang seolah-olah diturunkan dari langit, sesiapa yang tidak mengikut ideologi parti ini atau parti itu, dia sah menjadi kufur dan menyeleweng.

Hal ini merupakan faktor pertama yang membuat Melayu berpecah belah, dan kita menjadi panik dan takut, bimbang dan khuatir bahawa apa-apa yang diungkapkan oleh Hang Tuah bahawa "Melayu Tidak Akan Hilang Di Dunia" akan menjadi ungkapan lesu bagi masa yang lepas sahaja, dan hanya akan menjadi catatan sejarah bangsa Melayu yang bakal lenyap dari alam nyata.

Kedua, agama Islam yang menjadi agama pegangan umat Melayu, dengan itu juga akan turut tergugat, sungguh pun Al-Quran telah mempastikan sebagai jaminan dari Allah bahawa kitab suci itu akan tetap dipelihara oleh Allah SWT, tetapi kekuatan dan kedaulatannya di negara kita mungkin hanya akan kelak menjadi simbol sahaja,  kerana kelemahan ajaran yang dibawanya iaitu Islam dan ajaran syumulnya yang menjadi cara hidup dan budaya Melayu yang memayungi negara dan rakyat kita, maka kini Islam telah menjadi sasaran tembakan dan panahan dari Timur dan Barat, luar dan dalam, yang dialami selepas kejatuhan kuasa besar Soviet Union.

Perebutan kuasa negara yang amat sengit berlaku pada masa kini, menjadikan ahli-ahli politik Melayu mengisytiharkan perang sesama sendiri. Gendang perang telah dibunyikan dengan amat nyaring sekali. Askar dan panglima perang telah mulai bertempur dengan hebatnya sesama Melayu dengan menggunakan peluru bisa dan tajam, menembak dan mengebom sasaran masing-masing dengan senjata kecaman, penghinaan, tuduhan, fitnah, melepaskan dendam kesumat, dan menyerang segala sasaran, yang ada kalanya menembak serta memusnahkan sasaran yang salah, termasuk agensi dan jabatan Kerajaan, Polis dan Tentera, yang sepatutnya tidak di serang kerana sasaran ini bukanlah sasaran politik kepartian.

Semut apabila bersengketa sesama mereka untuk merebut seketul gula, maka mungkin lebah dan lalat yang juga mensasarkan gula itu, akan segera mengambil kesempatan mengkucar kacirkan semut sesama semut, menyerang mereka secara sedar atau tidak sedar, menggunakan segala senjata sulit supaya semut ini terus bergaduh dan bersengketa, lalu apabila semut ini merasakan bahawa mereka perlu mendapatkan pertolongan lebah dan lalat ini, maka semuat akan berpecah dua tiga puak, berkompromi dengan lalat dan lebah, kerana bilangan semut apa bila berpecah ini telah menjadi kecil dan memerlukan sokongan orang lain untuk menubuhkan "kingdom" nya sendiri yang selama ini kukuh, dan sekarang mulai reput dan runtuh.

Inilah ibaratnya orang Melayu di negara sendiri, gadai menggadai, palu memalu gendang perang yang tidak punya bisa dan gemanya, yang menembak sasaran yang salah, yang mencampakkan nilai dan budaya kekuatan mereka, yang tamakkan kuasa untuk diri dan kelompok sendiri, yang bersengketa di depan dan di belakang, tidak punya muslihat dan hikmah, tidak punya budi dan hati, maka situasi ini semakin meruncing, memarakkan suasana panik dan bercelaru di dalam hati nurani mereka sendiri, menimbulkan stress dan tension yang tidak berhujung, menyebabkan penyakit mental dan saraaf yang serius..

Mungkin dalam keadaan ini, akhirnya Melayu bakal  menjadi bangsa yang diungkapkan dalam kata-kata "kera di hutan disusukan, anak yang dikendung mati kelaparan" "menang sorak kampung tergadai" "si Luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan...biarkan...."umat yang berasal dari hutan dan bukit bukau, mungkin akan kembali semula ke hutan dan bukit bukau itu.

Ubatnya "menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna" " jangan sampai "nasi menjadi bubur" dan jangan menjadi ubi yang "direbus tidak hempok" lagi. Kembali kepada ajaran al-Quran "bahawa para Rasul dan Nabi telah diajarkan ilmu dan hikmah untuk menjadi pemimpin dan pembimbing ummah, dan hikmah atau wisdom ini yang telah diabaikan oleh orang Melayu, apa lagi ilmunya juga telah lama terhakis, iaitu ilmu yang bermanfaat....dan hikmahnya telah keciciran, hilang lesap, sehingga umat Melayu tidak lagi memahami dan mengamalkan rukun-rukun ilmu dan hikmah Islamiah itu, yang telah menjadi budaya orang Melayu hasil dari pengaruh Islam yang diwarisinya beerabad lalu....

Hanya orang yang berilmu, bijak dan berhikmah sahaja yang dapat menyelamatkan umat Melayu dan Islam sekarang...Pelajarilah sepak terajang politik Melayu di negara kita kini, belajar dari sejarah, lihatlah sistem dan fakta serta data yang membawa kita ke tahap kejayaan kita sekarang... 
SINDROM PANIK DAN BIMBANG

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....