DOA TAHUN BARU HIJRAH: SEGERALAH DATANGNYA PRU!!


DOA TAHUN BARU HIJRAH: MUDAH-MUDAHAN SEGERA PILIHAN RAYA

Pada hari ke-4 memasuki tahun baru hijrah 1434, kalau saya masih punya kesempatan untuk membuat azam baru sempena tahun baru ini, maka doa saya semoga Pilihan Raya ke-13 (PRU 13) akan segera datang dan segera selesai. Doa ini adalah doa peribadi saya, antara saya dengan Tuhan, tanpa campur tangan sebarang makhluk lain.

Saya berangan-angan demikian, iaitu supaya  PRU 13 segera datang dan segera pergi meninggalkan kita, ialah kerana secara peribadi juga saya merasakan bahawa telah amat lama sekali kita sebagai rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu dan orang Islam, telah menghabiskan masa secara sia-sia, tanpa banyak memberi faedah yang positif dan produktif untuk kepentingan bangsa dan agama kita, iaitu dalam proses perjuangan dan pertempuran untuk memenangi PRU 13 bagi parti dan angkatan masing-masing. 

Ketika parti-parti politik, terutamanya pimpinan dan pengikutnya yang taksub, berusaha mempertahankan kuasa, atau merebut kuasa, maka dalam proses itu terlalu banyak agenda politik yang cuba digembar gemburkan untuk menonjol "kebaikan" sendiri, dan membongkar "keburukan" lawan.

Terlalu banyak pertikaman lidah dan penghujahan melalui media (terutamanya media baru), pentas ceramah dan sebagainya, yang kebanyakannya membawa berita palsu, fitnah memfitnah, umpatan, tuduh menuduh, menghukum sesama Islam sebagai kafir dan murtad, mencari keaiban orang, mereka-reka cerita khayalan dan imaginasi yang digambarkan sebagai sesuatu yang benar,  dan seribu satu macam lagi gambaran dan kisah, yang kebanyakannya mengelirukan pandangan umum, dan mencipta persepsi yang salah sama sekali.
Hal yang tidak merupakan isu, seringkali dibesar-besarkan sebagai isu nasional dan negara yang serius, dipolitikkan begitu rupa sehingga mencipta satu suasana yang menakutkan dan mengganggu minda dan pemikiran orang ramai, terutamanya yang tidak mengamalkan politik partisan, Mungkin ramai yang merasa tertekan dan stress dengan keadaan ini, usaha untuk menjatuhkan satu sama lain berlaku begitu hebat, termasuk ugutan untuk mempertemukan para gergasi ketua-ketua politik yang berlawan di dalam PRU 13, di kawasan-kawasan penting, kubu-kubu penting "lawan" dan sebagainya untuk mempastikan musuh politik itu tersungkur! Hal ini sebenarnya mungkin merupakan racun yang memakan diri sendiri diantara kawan dan lawan, menyebabkan penyakit jiwa dan mental, memenatkan perasaan dan otak, dan yang paling bahaya sekali menjatuhkan imej umat Islam yang sememangnya telah jatuh dengan amat parah sekali pada masa kini dengan kerisis yang melanda umat Islam seluruh dunia, iaitu kerisis besar dan kecil, berbunuhan dan berkeadaan miskin dan dilanda penyakit.
Di bawah ini saya cuba perturunkan beberapa kepala berita media cetak dan media baru secara rambang, yang hanya mewakili segelintir saja dari segala peluru dan tembakan senjata yang di lontarkan oleh beberapa pihak bagi menegakkan keaiban dan kelemahan "lawan politik" masing-masing, dengan harapan untuk menjatuhkan nama dan potensi orang lain, dan sekali gus menonjolkan "kebenaran" sendiri kepada para pengundi, ketika rakyat mempunyai undi bagi memilih wakil mereka nanti, sebab kaedah yang telah ditetapkan ialah "satu kepala, satu undi"" maka seberapa banyak individu yang berjaya dipengaruhinya maka sebanyak itulah undi yang akan diperolehi.

Tajuk-tajuk berita ini saya perturunkan tanpa mengetahui betul atau palsu, cuma dari tajuk-tajuk berita ini tahulah kita bagaimana segala usaha menerbitkan berita dan menyibarkannya kepada umum, menjelma menjadi satu usaha sia-sia, membuang masa, dan melibatkan keruntuhan nilai akhlak, yang bercanggah dengan ajaran agama kita sendiri, menimbulkan suasana tegang dan ketakutan yang tidak perlu, memenatkan minda dan otak berfikir, menjatuhkan nama baik orang Islam, membayangkan pemikiran yang cetek dan ganjil, dan sebagainya.

- Doa Pas untuk musnahkan BN, UMNO, mohon Allah turun bala sama seperti ke atas Firaun, Qarun dan Abu Lahab
- Doa hancurkan UMNO, BN tidak salah
- Pas hanya "Pak Turut"
-Promosi Pas dan tarbiah makan diri
Najib makin resah, peguam Perancis bongkar skandal Scorpene di Parlimen
-Gerombolan fasik yang kononnya membela agama
- Questions over RM150m deal of PKNS subsidairy
-Kasihannya, Dr Mahathir baru sedar
- Doa "KO BN" boleh bawa perpecahan dahsyat
- Tamatkan riwayat politik BN
- Taufan wang : Hadi buat fitnah
- Doa rakyat dizalimi UMNO - BN akan dimakbul

Baca dan fahamilah maksud ungkapan sinikal, nista, tuduhan dan sebagainya yang terkandung dalam tajuk-tajuk berita dan kenyataan di atas, iaitu dengan meneliti secebis sahaja dari ribuan ungkapan yang lain, (yang kadang-kadang saya rasa amat malu untuk memetiknya, nampak amat menyimpang dari ajaran agama, malah yang mengandungi hukuman yang hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja). 

Ungkapan-ungkapan lain banyak yang sengaja tidak saya perturunkan di sini,  yang mungkin mengandungi perutusan yang lebih berat dan serius lagi, tetapi dari beberapa tajuk di atas itu sahaja pun, maka kita telah dapat membaca pemikiran dan mentaliti orang Islam, orang Melayu sendiri, yang berseteru dan bermusuhan sesama sendiri, mendoakan untuk kemusnahan antara saudara, dan sebagainya. Membuat andaian dan petua sendiri yang mungkin menyentuh hak Allah SWT dan Rasul-Nya, atau sekurang-kurangnya menjatuhkan maruah sendiri sebagai orang Islam.

Sebab itulah saya amat mengharapkan bahawa kegawatan dan kecelaruan ini akan segera berakhir, dan oleh kerana kekacauan dan permusuhan ini sebahagian besarnya adalah kerana keghairahan merebut kuasa politik, maka selagi PRU 13 belum tiba, maka semakin hebatlah peperangan ini akan berlaku, dan semakin banyaklah peluru dan roket yang akan di gugurkan tanpa memikirkan sasaran dan tujuannya lagi, malah tidak lagi memikirkan akibatnya ke atas diri sendiri, tanggung jawab kepada Allah dari segi akhlak, syariah dan mungkin akidahnya juga, selain dari mencabuli nilai budaya dan adab umat.

Taksub politik partisan kadang-kadang menyebabkan ramai orang yang tidak sedar akan dosa dan pahalanya lagi. Tidak tahu lagi di mana sempadan dan had untuk bertindak dan bersuara, tidak berhikmah lagi untuk merenung siapakah yang  benar dan siapakah yang salah, malah tidak terfikir lagi akan nilai moral dan akhlak masing-masing.

Amat merbahaya lagi, perlakuan ini mungkin akan membawa kepada kehancuran bangsa dan agama sendiri, kerana dari contoh kepala berita yang tertera di atas ternyata bahawa kita sesama umat Islam sendiri yang sedang bertempur membalas tembakan, sedangkan tembakan itu hanya akan menamatkan riwayat kita semua, menghancurkan sesama sendiri, dengan keuntungannya akan di kaut oleh orang lain, mungkin oleh musuh kita bersama juga.

Para pimpinan politik  mestilah lebih bertanggung jawab dan beramanah serta jujur dalam memimpin para pengikut partinya, kerana para pengikut seringkali memandang kepada ketua-ketua partinya sebagai orang yang paling berwibawa. Oleh itu sekiranya mereka melakukan kesalahan atau kesilapan, maka mungkin para pengikutnya akan menjadi pengikut yang menyeleweng dari landasan perjuangan yang sebenarnya, dan ketika ini kita juga yang akan menerima mala petakanya.

Semoga azam tahun baru saya ini, sekiranya ada kebaikan dan kebajikannya, betul dan benar seperti andaian saya, akan menjadi kenyataan, insya'Allah, dan selepas itu kita tunggu dan tenguklah kesan baik atau akibat buruknya yang akan menimpa kita semua sebagai umat Islam dan umat Melayu, untung sabut timbul, untung batu tenggelam...

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....