SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH, KE MANAKAH HIJRAH ILMU KITA?
SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH 1434
Pagi ini Dewan Planeri dan Dewan A di PICC, yang menempatkan tetamu dalam perayaan sambutan Tahun Baru Hijrah 1434, bergema dengan kemerduan suara pembaca Al-Quran, Qari jemputan, johan tilawah tahun lalu. Ayat-ayatnya juga penuh makna, (surah Luqman, ayat 27) yang bermaksud: Seandainya semua pohon yang ada di bumi ini menjadi pena, dan semua (air) lautan menjadi tinta, dengan ditambah tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Ilmu) Allah itu ditulis....."
Ayat ini menjelaskan tentng luas dan banyaknya ilmu Allah di atas muka bumi ini, iaitu segala cabang ilmu pengetahuan, sains dan teknologi ciptaan-Nya, ilmu dunia dan akhirat kurniaan-Nya, yang harus diterokai dan dikuasai manusia, sehinggakan seandainya air lautan yang sedia ada di muka bumi ini, digunakan sebagai tinta, atau dakwatnya, ditambah lagi dengan tujuh buah lautan yang lain, maka ilmu Allah itu tidak akan habis ditulis, maknanya tidak akan habis dikuasainya. Kiasannya; semua air lautan yang digunakan sebagai dakwat untuk menulis ilmu Allah itu akan kering kuntang, sedangkan ilmu Allah tidak akan habis ditulis.....Subhanallah...
Ayat ini amat sesuai sekali dibacakan kepada para hadirin yang berjumlah ratusan, atau mungkin hampir ribuan itu, ditambah lagi dengan ratusan ribu penonton tv di negara kita dan di luar negara, dan sepatutnya diberikan pengertiannya, supaya umat Islam kini dapat memahami realitinya, di manakah dan di peringkat keberapakah, mereka sedang berada di dalam arena ilmu pada hari ini dibandingkan dengan penghuni dunia lain di alam ini, ....tentu amat jauh ke belakang.....Ertinya umat Islam mungkin hanya mendapat ganjaran dan pahala dari Allah SWT dengan tekun membaca dan menghafaz Al-Quran, tetapi belum melakukan tadabbur dan mengkaji segala kandungan al-Quran, dan merialisasikannya dalam tindakan dan amalannya.....Amat sedih.
Memang sedih akhirnya suasana di dalam dewan sambutan ini, kerana dalam agenda perayaan seterusnya, arwah teman saya yang pernah saya tuliskan kisah kembalinya ke pangkuan Allah pada 23 Disember 2011 yang lalu, iaitu Abdul Hamid Othman, hari ini telah dihidupkan semula ruhnya di dalam diri para hadirin dengan pengisytiharan yang di buat oleh Ketua Pengarah Jakim, bahawa Allah Yarham adalah merupakan penerima tunggal anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun ini.
Teman ini yang berasal dari kampung Kemelong, Sik, yang dilahirkan pada 27 Julai 1939, dan kembali kerahmatullah pada 23 Disember 2011, merupakan teman lama kami yang pernah belajar di Kolej Islam Malaya dan di Mesir, kemudian di St. Andrews, Scotland. Gambar di atas menunjukkan empat teman rapat, dua yang ditengah telah pulang ke alam baqa', saya dan Ustaz Ahmad Awang mengapit mereka berdua dalam gambar yang dirakamkan di Mesir dalam tahun 1962. Inna lillah wa inna ilaihi raji'un.
Suasana amat hening dan agak sayu di kalangan para tetamu dalam perayaan ini ketika anugerah Tokoh Maal Hijrah akan dikurniakan kepada penerimanya, kerana tokoh yang sebenarnya yang diberikan penghargaan untuk menerima anugerah ini, tidak lagi berada di dalam Dewan untuk menerimanya sendiri. Dia sudah tidak ada lagi di dalam dunia ini, telah hampir 11 bulan dia telah pergi buat selama-lamanya.
Semua hadirin yang mengenali Allah Yarham tentu hanya dapat membayangkan bagaimana arwah Hamid akan berjalan dan mengukir senyuman bagi menyambut penghargaan ini dari Perdana Menteri. Tetapi dia telah tiada, dan penjelmaan ruhnya saja yang dibawa oleh balunya bagi menerima anugerah ini. Amat menggetarkan emosi dan perasaan.
Mungkin agak lebat juga titisan air mata yang mengiringi pengumuman dan penerimaan anugerah tersebut pada saat-saat yang syahdu ini, dan tentunya akan turut mengiringi doa untuk Allah Yarham, sejahtera dan damai di alam barzakh, insya'Allah.
Selamat Menyambut Tahun Hijrah 1434.
Comments
Post a Comment