PENDIDIKAN ISLAM: PERLU ALAMI REBOLOSI DINAMIK



AL-MA'AHAD AL-MAHMUD ALOR STAR



Lebeh kurang dalam tahun 1949 - 50 seingat saya, saya memasuki sekolah ini bertempat di Simpang Kuala, Alor Star. Ketika itu pelajar sekolah ini hanya memakai basikal untuk berjalan ke pekan, pergi bergunting rambut atau membeli selipar. Banyak yang masih pakai kain dan baju Melayu. Tetapi setahun dua selepas itu, pelajar-pelajar telah memakai seluar panjang berkemeja, masih bersongkok hitam.

Kami belajar selama 8 tahun, dan lulus darjah 8, dapat sijil, kalau jadi guru Quran, dapat gaji 120 ringgit pada masa itu. Itulah gaji idaman kami semua. Tetapi saya tamat darjah 8, tak jadi mencari kerja, kerana ada kawan di Kolej Islam Malaya mengajak saya menyambung pelajaran ke sana, lalu saya pun mengembara ke Kelang, masuk Kolej itu di Kampung Jawa Kelang.

Bersenjatakan dua sijil inilah akhirnya saya hanyut ke Sungai Nil, dan mendarat di Mesir, memasuki Al-Azhar dan kemudian, hanyut lagi ke Scotland sehingga mendapat ijazah doktor falsafah di sana, iaitu di Universsiti St. Andrews, tempat orang mula bermain golf.

Kalau nak dikirakan jangka masa saya belajar dari mula memasuki Maahad Mahmud, yang kemudiannya dikenali sebagai Maktab Mahmud, hingga saya mendapat Ph.D dalam tahun 1975, maka masa yang saya habiskan ialah kira-kira 35 atau 36 tahun. Tetapi bukanlah masa sepanjang itu hanya dihabiskan dalam sekolah dan universiti, kerana di celah-celah masa sepanjang itu terdapat masa bekerja, iaitu selepas tamat Kolej Islam Malaya, telah bekerja menjadi guru beberapa tahun sebelum pergi Mesir, dan selepas balik Mesir pun bekerja lagi di sekolah, kemudian di Dewan Bahasa dan Pustaka, lepas itu baru pergi ke Scotland.

Di celah-celah masa itu juga saya berkahwin, dan membawa anak seorang ke Scotland, malah sebelum balik dari Scotland itu pun dapat pula anak seorang di sana.

Bagaimana pun semua tempat yang saya masuki untuk menyambung pelajaran itu masing-masing mempunyai kenangan dan keistimewaannya tersendiri, termasuk di Maktab Mahmud Alor Star yang meletakkan asas yang kuat kepada saya untuk mengenali pelajaran bahagian menengah, tambahan pula ketika mempelajarai ilmu dalam bahasa Arab, satu bahasa yang amat asing sekali bagi pelajar Melayu seperti saya, yang datang dari kampung yang jauh ke dalam hutan.

Ingatan inilah yang bermain di kepala saya ketika pada 29 Disember 2012 yang lalu saya menghadiri perjumpaan Alumni Maktab Mahmud bertempat di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah dan di hadiri juga oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Maktab Mahmud yang ditubuhkan pada tahun 1936 telah mencecah umur 76 tahun, ribuan lepasannya yang telah dihasilkan, dan ramai sekali yang berjaya dalam karier masing-masing. Namun ramai tenaga pengajar dan para pelajarnya yang telah pergi dahulu, tinggal kenangan sahaja.

Malam diadakan Santapan Alumni itu, saya bertemu juga dengan kawan-kawan seangkatan yang telah saya lupa nama mereka, malah kelihatan amat lusuh dimakan usia dan zaman, termasuk saya sendiri, tetapi perjumpaan itu amat mesra dan penuh kenangan manis.

Mungkin banyak yang hendak dikisahkan setelah sekian lama Maktab ini ditinggalkan. Kalau ada masa dan kisah yang menarik, insya'Allah akan disambung lagi. Sementara itu semoga Maktab Mahmud terus mencapai kejayaan, meski pun sistem dan peringkat pengajiannya telah banyak beerbeza dari sistem pendidikan yang kami terima dulu. Ruh dan maknanya tentulah masih sama, slogannya sering kali diucapkan oleh para pelajar agama ketika saya berada di dalam sekolah ini, iaitu ungkapan yang paling popular ketika kami bersyarah ialah...."berjuang kerana agama, bangsa dan negara...".



Comments

  1. as salam DR..... seronok saya membaca cerita2 kenangan rog2 hebat sebegini...terus kan bercerita Dr..agar ia menjadi perangsang kepada org lain...

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....