KALIMAH ALLAH: REALITI DAN KONSEP SEBENAR
RUJUK
KEPADA KEBENARAN LEBEH BAIK DARI BERLARUTAN DALAM KEBATILAN
Ahli
politik dan ahli ilmu haruslah bersama-sama berganding bahu menyatukan
pemikiran dan tenaga untuk menangani segala isu dan masalah yang timbul di
dalam masyarakat kita, secara khususnya,
masyarakat Islam.
Dewasa
ini, dalam masa yang terakhir ini, nampaknya isu kalimah Allah yang dituntut
supaya digunakan di dalam kitab Kristian ketika menterjemahkan kalimah God atau
Lord dan sebagainya, nampaknya telah selesai, dengan keputusan terakhir PAS
melalui Majlis Syuranya, bahawa Allah adalah Tuhan umat Islam yang konsepnya
tidak sama dengan God atau Lord, yang hendak diterjemahkan di dalam Bible versi
bahasa Melayu sebagai “Allah”.
Dari
segi konotasi bahasa bahawa Allah itu sebagai Tuhan, mungkin tidak menimbulkan
konflik akidah, kerana semua orang menyebut Tuhan, tetapi dari segi konsep dan
penjelasan Allah sebagai Tuhan Yang Maha Esa, adalah sesuatu yang khusus untuk Tuhan
dalam agama Tauhid, yang bererti bahawa zat Tuhan yang berkonsepkan trinity,
atau mengandungi pengertian kepelbagaian
tuhan yang lain, adalah jelas bertentangan dengan agama Tauhid, agama Islam
yang diturunkan oleh Nabi terakhir, Muhammad S.A.W. bahawa Allah itu adalah
Tuhan yang maha esa, yang diterangkan dengan jelas sekali di dalam surat 112
(Surah Al-Ikhlas) di dalam kitab suci Al-Quran :
“Katakanlah (wahai Muhammad) Tuhanku ialah
Allah yang maha esa, Allah yang menjadi tumpuan segala makhluk untuk memohon
sebarang hajat, Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan, dan tidak ada
sesiapa pun yang setara dengan-Nya”
Dari
tema dan pengertian surah ini jugalah datangnya ucapan kalimah syahadah yang
merupakan asas pertama yang seharusnya diiktikadkan oleh manusia ketika
menerima Islam, iaitu mengucap dua kalimah syahadah bahawa “tiada tuhan yang
disembah melainkan Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah” sebagai umat yang
benar-benar berpegang kepada akidah tauhid, Tuhan yang maha esa, tiada sekutu
bagi-Nya.
Hal
ini perlu ditanamkan di dalam hati keturunan umat Islam sejak dari awal, sejak
kecil di dalam buaian ketika azan atau iqamah diucapkan kepada bayi yang baru
lahir, yang diantaranya menyebut kalimah syahadah yang amat unik ini, dan
dengan itu anak-anak umat Islam tidak akan terkeliru dengan istilah dan konsep
Tuhan dalam konteks agama tauhid ini, yang mungkin boleh mempengaruhi minda
mereka apabila semua Tuhan di dalam agama lain juga boleh dinamakan Allah, yang
juga mungkin memberikan persepsi yang salah terhadap perbezaan akidah diantara agama Islam dan agama lain.
Bagaimana
pun, jika diteliti pengertian ayat Al-Quran yang saya salinkan di bawah,
ternyata bahawa umat Islam tidak seharusnya menjadikan perbezaan kefahaman
tentang agama Islam dan agama samawi lainnya sebagai titik tolak untuk
berkonflik dan bermusuhan dengan umat bukan Islam. Namun dalam masa yang sama,
umat Islam haruslah mempertahankan akidah dan elemen-elemen yang boleh
merosakkannya dengan tegas ketika teerdapat pertentangan dan halangan dari
pihak yang lain. Di sinilah terletaknya kebijaksanaan dan hikmah yang
ditunjukkan sendiri oleh Nabi Muhammad dan ajaran Islam umumnya tentang
adab-adab berkonflik dan berselisih kefahaman. Pertikaian tentang nama Allah
juga tidak seharusnya dijadikan alasan untuk umat Islam berkonfrantasi dengan
umat yang lain, malah dalam hal ini, dan dalam hal-hal lain yang menyentuh
akidah, kita semuanya tetap mengamalkan dasar “bersatu dalam kepelbagaian’
(Unity in diversity) dengan syarat umat bukan Islam juga seharusnya menunjukkan
sikap yang sama terhadap umat Islam.
Ayat
yang maksudkan itu ialah firman Allah S.W.T di dalam ayat 46, surah (29)
Al-‘Ankabut:
Dan janganlah kamu berbahas (berdebat)
dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebeh baik, kecuali orang yang
berlaku zalim di antara mereka, dan katakanlah (kepada mereka) “kami beriman
kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami, dan kepada (Taurat dan Injil)
yang diturunkan kepada kamu, dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu adalah satu, dan
kepada-Nya-lah kami patuh dengan berserah diri”.
Saya
usulkan agar umat Islam meneliti kandungan ayat ini dan mengkaji tafsirnya yang
baik dari para ulamak dan ahli tafsir yang tulin. Para pentafsir menerangkan
tentang kandungan ayat ini bahawa sekiranya berlaku perdebatan atau
perbincangan di antara orang Islam dan orang bukan Islam, ahli Kitab, orang
Yahudi dan Kristian, maka janganlah kita berdebat dengan cara yang tidak baik,
tetapi ambillah cara berhikmah, lemah lembut, dengan mengemukakan hujah secara
ilmiah dan benar, yang dapat menyerlahkan kebenaran Islam dan perbezaannya
dengan golongan lain yang tidak mengikut ajaran tauhid.
Perbincangan
yang dijalankan dengan berakhlak dan berdasarkan hujah yang meyakinkan,
biasanya akan dapat diterima dengan baik juga oleh pihak lain. Bagaimana pun
ayat ini meramalkan juga bahawa mungkin akan terdapat golongan lain yang akan
bertindak secara yang zalim, iaitu tanpa tolak ansur, maka dalam keadaan ini
umat Islam haruslah bertegas untuk mempertahankan akidah itu mengikut situasi
penentangan yang ditujukan kepada umat Islam sendiri. Oleh itu umat Islam
sendiri haruslah mempunyai strategi yang baik dalam hal ini, dan disinilah
rasanya para ahli ilmu, para bijak pandai, ulamak dan umarak seharusnya dapat bersatu
hati menjelaskan hal ini dengan sebaik-baiknya kepada pihak yang bertindak
zalim, mengikut istilah Al-Quran itu, tanpa menghancurkan keharmoniaan di antara
umat manusia seperti yang sering dianjurkan oleh agama Islam sendiri.
Di
antara petunjuk Allah yang diberikan kepada umat Islam di dalam ayat ini ialah
tentang strategi perdebatan itu, iaitu ketika umat Islam sentiasa mengambil
jalan damai dalam perbahasan, maka terangkanlah dengan jelas kepada pihak ahli
kitab itu bahawa umat Islam tetap beriman kepada kitab-kitab mereka, Taurat dan
Injil yang tulin dan asli, sama seperti berimannya umat Islam kepada Al-Quran,
kerana umat Islam telah diajar supaya menerima dan meyakini semua Nabi dan
kitab suci yang diturunkan kepada Nabi yang terdahulu. Maka demikianlah
sebaliknya orang-orang yang diturunkan kepada mereka kitab yang lain seharusnya
mereka juga mestilah beriman kepada kitab suci Al-Quran.
Maka
dalam hal inilah para ulamak, para umarak, dan umat Islam umumnya haruslah
mengkesampingkan ideologi kepartiannya yang sempit untuk membicarakan isu ini
secara ilmiah dan mencari penyelesaian bersama secara sepadu, jujur dan ikhlas,
bukan kerana mengikut sentimen dan emosi yang meledak kerana tujuan politik keduniaan
yang tertentu.
Saya
rasa pihak PAS telah membuat keputusan yang terakhir tentang kalimah Allah ini
berdasarkan kaedah syariah kita yang mengatakan “bahawa kembali kepada
kebenaran itu adalah lebih baik daripada berlarutan di dalam kebatilan”, oleh
itu keputusan tersebut tidaklah seharusnya dipersoalkan lagi oleh mana-mana
pihak.
Maka
atas dasar ini saya rasa para ulamak, sama ada yang bergiat aktif di dalam
parti politik, atau tidak, seharusnya tampil kemuka membetulkan segala
perselisihan dan perbalahan di antara ahli politik Islam yang ada kalanya akan
menegakkan wawasan masing-masing berdasarkan ideologi politik kepartian.
Rasulullah
SAW menjelaskan bahawa yang haram itu jelas, yang halal juga adalah jelas, dan di
antara kedua-duanya itu terdapat isu-isu atau hukum yang samar-samar. Maka saya
rasa konsep zat Allah adalah amat jelas di antara Tuhan kita orang Islam,
dengan Tuhan agama lain, dan hal ini terang-terang menyentuh akidah umat Islam,
yang seharusnya dipertahankan oleh semua umat Islam.
Para
ulamak yang sejati tentu mengetahui asas-asas akidah ini, dan dalam masa yang
sama mengetahui juga perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam,
sehingga seorang Islam itu boleh menjadi kafir atau murtad.
Dalam
sejarah konflik umat Islam yang berlaku dalam era kebangkitan Islam pada
tahun-tahun tujuh puluhan, dan ketika umat Islam berusaha untuk kembali kepada
ajaran agamanya yang sejati, termasuk mengislamkan politik, kerajaan, sosial,
ekonomi dan sebagainya, maka kefahaman tentang akidah juga sering terbawa-bawa
di dalam konflik itu, yang diantaranya timbullah isu kafir mengkafirkan sesama
umat Islam yang dikenali dengan istilah “takfir”.
“Takfir”
ialah hukuman murtad, syirik dan kafir yang dijatuhkan oleh segolongan umat
Islam kepada saudara-saudara seagamanya yang lain, yang dianggap mempunyai
akidah dan amalan yang salah, tidak sama dengan akidah yang menjadi pegangan
mereka sendiri. Gerakan takfir banyak berlaku dalam politik umat Islam, hampir
di seluruh dunia Islam, dan mengakibatkan perpecahan yang amat ketara, termasuk
tindakan ekstrem yang membawa kepada pertumpahan darah sesama Islam.
Masyarakat
Malaysia juga mengalami kejutan ini, dan sehingga ke hari ini banyak saksi yang
tampil mengemukakan bukti dan pengalaman masing-masing ketika berlaku
perpecahan yang serius di dalam masyarakat Islam sendiri akibat dari elemen
ini, atau pentafsiran yang dibuat oleh orang awam tentang wujudnya
kumpulan-kumpulan tertentu yang dianggap kafir berbanding dengan golongan yang
lain.
Fakta
sejarah ini tentulah tidak dapat dinafikan lagi, dan sungguh pun kesannya
secara langsung mungkin telah mulai luput, tetapi saya merasakan bahawa para
ulamak dan ahli agama, bersama-sama dengan ahli ilmuan dan ahli politik
sendiri, haruslah berusaha membetulkan keadaan ini. Kita perlu membetulkan
fakta sejarah yang berlaku dalam masyarakat Islam walau pun perkara itu telah
lama berlalu, kerana hal ini adalah menyentuh satu perkara yang amat serius,
iaitu isu akidah umat Islam sendiri, yang hal ini tidak sepatutnya berlaku
dalam konteks negara kita.
Kalau
dalam isu nama Allah nampaknya kita telah mendapat persepakatan yang baik, maka
saya rasa dalam isu ini pun kita perlu menjernihkan suasana dan kekaburan yang
berlaku selama ini. Malah kalau dengan umat lain, ahli kitab juga, kita
seharusnya dapat berdebat dengan baik, iaitu bermoral dan beretika, maka saya rasa
dalam isu takfir ini juga kita dapat beertindak demikian, terutamanya
perdebatan ini seharusnya berlaku di dalam masyarakat Islam sesama sendiri. Ingatlah
kaedah yang menjelaskan bahawa rujuk kepada kebenaran itu adalah lebih baik
dari belarutan dalam kebatilan.
Comments
Post a Comment