MENGHADAPI PRU 13: TERUS BERKERISIS?
TAHUN 2013: AMAN ATAU TERUS BERKERISIS..?
Tahun 2012 merupakan kemuncak kerisis antara umat Islam dalam kemelut politik untuk berkuasa, kerana satu pihak berusaha mempertahankan kuasa politik, dan satu pihak lain berusaha merebutkannya. Kalangan masyarakat yang tidak terlibat dengan politik kepartian walau sealim dan sepandai mana sekali pun sering tidak dihiraukan oleh media dan orang politik, berkokolah senyaring mana sekali pun.
Kerisis politik yang berlaku di kalangan masyarakat Islam dalam tahun-tahun terakhir ini khususnya dalam tahun 2012 adalah disebabkan ramalan yang kencang mengatakan bahawa PRU-13 akan berlangsung dalam tahun 2012. Maka dalam proses itu berlakulah tuduh menuduh, fitnah memfitnah, keji mengeji, kecam mengecam dan berbagai konflik serta permainan politiking yang tesisih dari nilai moral dan akhlak yang sewajarnya untuk mempengaruhi seberapa ramai bilangan pengundi. Maka tahun 2012 merupakan "tahun keaiban" bagi umat Islam di negara kita jika dilihat dari kacamata peradaban, tamadun, malah dari kacamata ajaran Islam sendiri dalam banyak hal yang kita saksikan.
Oleh itu, jika tahun 2012 merupakan the year of shame bagi kita umat Islam, maka nampaknya gejala itu akan berterusan lagi dengan lebih rancak dalam tahun 2013 kerana PRU ke-13 belum menjelma. Persoalannya apakah tahun 2013, khususnya selepas PRU ke-13 nanti, tahun ini akan merupakan satu tahun yang dinamik dan aman bagi kita, dan kita akan berjaya menjelma dalam bentuk baru sebagai umat yang bertamadun dan beradab.
Namun dari sudut pandangan yang agak pesimis, baik tahun mana sekali pun yang menjelma dalam proses pembangunan umat kita, maka satu hal yang amat penting diberikan tumpuan dan perhatian ialah mengorientasikan semula mentaliti dan akal fikiran umat kita, terutamanya dalam memahami sistem ajaran Islam dan falsafah serta hikmah ajaran agama yan suci itu.
Selagi umat Islam mempunyai kefahaman yang bercelaru tentang agamanya, dan selagi berlangsungnya konflik pemikiran diantara beberapa pihak dalam masyarakat Islam yang mengakibatkan konflik dalam pentafsiran agama itu sendiri, maka selama itulah umat Islam akan terus berpecah belah, dan politik partisan akan merupakan satu wadah penting yang akan memecah belahkan umat.
Kadang-kadang pebezaan kefahaman Islam di kalangan anggota masyrakat Islam dapat diselesai dan diatasi dengan baik dengan penuh berhikmah dan bijaksana. Tetapi apabila perbezaaan dan konflik ini dipolitikkan berdasarkan kepartian, maka hal ini menjadi kemelut besar yang memecah belahkan umat Islam.
Isu kalimah Allah yang jelas dan nyata itu umpamanya apabila di politikkan, maka umat Islam akan menjadi keliru mengikut pentafsiran ketua-ketua parti politik mereka, demikian juga isu-isu lain, yang ada kalanya tidak merupakan isu kepartian, atau yang mungkin melibatkan agensi Kerajaan, sering juga dipolitikkan berdasarkan perbezaan parti politik, maka umat Islam akan terus berpecah belah dan berkerisis.
Malah yang lebih serius lagi ialah pentafsiran tentang Islam yang sering dilakukan secara literal dan tidak berhikmah, tanpa mengikuti saluran feqh keutamaan, demikian juga istilah moden seperti sekularisme, kebangsaan, asabiyyah dan sebagainya yang sering ditafsirkan dari sudut agama mengikut perbezaan ideologi politik kepartian, maka semuanya ini hanya menimbulkan ledakan sentimen emosi dan sentimen, yang tidak bertunjangkan realiti, ilmu dan hikmah.
Masyarakat sihat yang saya tuliskan dalam entri ini yang baru adalah juga mencakupi masyarakat yang sihat amalan politiknya, berkerajaan, berparti, berkempen, berkarya, dan sebagainya.
Masyarakat sihat yang saya tuliskan dalam entri ini yang baru adalah juga mencakupi masyarakat yang sihat amalan politiknya, berkerajaan, berparti, berkempen, berkarya, dan sebagainya.
Doalah kita semoga tahun 2013, akan merupakan tahun yang membawa kesihatan kepada rohani dan jasmani, minda dan akal, ilmu dan hikmah, dalam semua aspek pembangunan umat kita khususnya, dan warga negara kita umumnya, terutamanya dalam amalan politik yang sihat.
Comments
Post a Comment