PEMBEDAHAN USTAZ AZIZAN MB KEDAH: TIDAK ADA PILIHAN



USTAZ AZIZAN ABDUL RAZAK: TIDAK ADA PILIHAN

Saya baru balik dari menziarahi sdra Dato' Seri Di Raja Ustaz Azizan  Abdul Razak , bekas MB Kedah, di hospital Pulau Pinang hari ini.. Saya masuk ke biliknya di Unit Rawatan Rapi kira-kira jam 2 petang. Dia terlentang di atas katil, mungkin tidur, kerana ditidurkan oleh ubat pemberian doktor, lalu saya tidak dapat menegur atau memberi apa-apa isyarat kepadanya, sebaliknya saya hanya berdoa dan memberikan salam kepadanya dalam senyap..

Saya keluar duduk di luar wad, dan melihat ramai sekali sahabat handai yang menunggu untuk masuk menjenguknya. Semua wajah kelihatan muram, tidak dapat mengukir senyuman seperti biasa ketika teman dan taulan bertemu beramai-ramai. Semuanya mungkin hanya dapat membayangkan di dalam kepala masing-masing betapa Azizan, yang semasa sehatnya amat periang, suka berjenaka, berseloroh, tetapi kini terlentang dalam sepi, tidak menyedari segala-segalanya yang berlaku di sekelilingnya.

Saya mendapat tahu dari sumber perubatan, bahawa penyakit beliau yang amat kritikal ialah jangkitan kakinya, yang telah merebak ke kedua-dua belah kakinya, dan keracunan darahnya itu jika dibiarkan akan merebak ke badannya, kejantungnya, yang amat membahayakan.

Ketika saya berbual dengan Ustaz Taib Azamuddin yang baru tiba ketika itu, saya memberitahunya tentang perkara ini, dan bertanyakan pandangannya apakah yang sepatutnya kita nasihatkan keluarganya tentang perkara ini, kerana para doktor memperakui supaya kaki Azizan di potong.

Bila Ustaz Taib masuk ke dalam, dia menceritakan kepada kaum keluarganya tentang perbincangan kami, iaitu untuk menyelamatkan Azizan, maka mereka seharunya mendengar nasihat doktor.

Ketika saya pulang ke KL, di dalam pesawat yang sama dari Pulau Pinang, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, menceritakan  kepada saya, bahawa semasa lawatannya ke wad Azizan tadi, dia telah mengadakan perbincangan yang serius dengan ahli keluarga dan para doktor pakar, serta memberikan nasihat supaya melakukan sesuatu mengikut nasihat doktor, dan keputusannya para ahli keluarga telah bersetuju dengan cadangan itu, seperti yang diumumkan oleh pegawai peribadi Ustaz Azizan.

Keputusan ini sebenarnya bukanlah satu perkara mudah yang boleh dibuat. Gambaran yang dapat dibayangkan di dalam kepala para ahli keluarga, termasuk kita sendiri, sebagai teman rapatnya, mengheret ledakan emosi yang amat memilukan. Tetapi doktor yang mendalami pengetahuan perubatannya, dan telah mengalami perkembangan penyakit yang sama, tentulah lebeh mengetahui akan keadaan ini.

Saya pulang ke KL pun sebenarnya dengan perasaan yang berbelah bagi, berkecamok dengan kesedihan dan harapan, tetapi saya bersetuju dengan langkah doktor, bahawa hidup inil mestilah diteruskan, manusia bukan hanya hidup dan tampil dalam membangunkan diri dan keluarganya, bangsa dan negaranya, hanya dengan kekuatan dan kesempurnaan fizikalnya sahaja, malah kekuatan pemikiran dan minda, serta ilmu pengetahuan itulah yang merupakan sumbangan manusia yang paling berharga.

Kehilangan kedua belah kaki tidak bereerti bahawa hidup ini telah sampai ke penghujungnya, malah kekuatan kerohaniah dan pemikiran itulah yang lebeh penting untuk dimanfaatkan oleh masyarakat seluruhnya.

Dalam sepi inilah kita berdoa semoga pembedahannya selamat, dan apa bila tiba masanya, Ustaz akan bangun semula, walau pun bukan dengan kakinya yang asli, tetapi dengan kekuatan maknawinya sendiri...

Kita semua tentu mengingati Firman Allah SWT : Demi sesungguhnya akan kami ujikan kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, dan jiwa, serta hasil tanaman, dan  berilah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa kesusahan, mereka berkata:"Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali" Al-Baqarah ayat 155-156

Allah Maha Besar.

.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....