KEMPEN PRU: UGUTAN DAN ANCAMAN


KEMPEN ANCAMAN DAN UGUTAN

Menjelang minggu kedua kempen PRU 13, perkembangan terbaru yang amat membimbangkan kita ialah kempen yang berbentuk ugut mengugut.

Saya pernah mencatatkan di sini ungkapan dan makna kenyataan Lim Guan Eng ketika permulaan jangka waktu kempen, iaitu ketika beliau mengatakan bahawa pada malam perisytiran kemenangan PRU ke 13, sekiranya PR berjaya menjadi Kerajaan maka PM baru mereka akan mengeluarkan perintah supaya semua lapangan terbang di tutup agar tidak ada "orang-orang yang mencuri harta rakyat dapat meninggalkan negara dengan jet persendirian mereka, ertinya mereka itu akan ditangkap.
Baru-baru ini pula Karpal Singh juga mengeluarkan amaran akan menangkap Tun Dr Mahathir kerana mengeluarkan kenyataan tentang Lim Kit Siang yang dikatakan bersifat perkauman.
Kelmarin, Anwar Ibrahim juga mengeluarkan kenyataan akan mengambil tindakan ke atas Tun Daim yang telah mencuri harta rakyat selama ini.
Kenyataan-kenyataan ini ternyata merupakan satu perancangan yang teratur yang dibuat oleh pimpinan PR sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya dan berkuasa memerintah Malaysia.
Tuhan Maha Adil kerana telah mengilhamkan kepada mereka untuk mengeluarkan kenyataan itu sebelum lagi mereka memerintah Malaysia, kerana kita semua telah mengetahui niat mereka itu.
Sebenarnya pun seandainya mereka berjaya memegang tampok pemerintahan, mereka bolehlah melakukan perancangan mereka, termasuklah menangkap dan menahan sesiapa yang mereka telah kenal pasti sejak lama lagi. 
Hal inilah yang pernah berlaku di negara dunia ketiga, termasuk dunia Islam sendiri, iaitu dengan tindakan pemerintah mereka melakukan hal ini, seperti yang berlaku di Mesir umpamanya ketika bekas Presiden mereka, Hosni Mubarak, pada masa ini di usung di atas katii sakitnya ke mahkamah untuk dibicarakan dan kemungkinan mengenakan hukuman bunuh.
Baru sehari dua ini, bekas Presiden Pakistan, Musharraf, juga telah dikenakan perintah supaya mengharamkannya dari pada bertanding dalam Pilihan Raya negaranya seumur hidup.
Kita mungkin juga masih mengingati pandangan keji yang dilakukan terhadap bekas Presiden Libya, Muammar Gadafi, iaitu bagaimanakah ia di bunuh dan mayatnya didedahkan dalam keadaan yang amat memilukan.
Bagaimana pun keadaan politik dan pemerintahan di negara-negara tersebut tidaklah seperti di negara kita, kerana kita mengamalkan demokrasi berparlimen dan sentiasa tunduk kepada undang-undang kita.
Persepsi bahawa pimpinan negara kita selama ini adalah korup semuanya, termasuk segala agensinya dan orang-orangnya, adalah merupakan persepsi yang digembar gemburkan begitu rupa sehingga hal ini menjadi satu tanggapan umum yang melampau.
Kita semua membaca dan mendengar tentang falsafah dan pesanan Imam Al-Ghazali, bahawa manusia ini dalam kehidupannya hendaklah sentiasa melihat ke dalam dirinya sendiri sebelum mengeluarkan sebarang fitnah atau prasangka terhadap orang lain, memeriksa kelemahan-kelemahan diri sendiri, sebelum bertindak menyalahkan orang lain, yang semuanya dianggap bersalah.
Oleh itu para pengundi dapatlah berfikir sendiri dengan rasional dan berhikmah akan kempen-kempen yang nampaknya telah mengambil wajah yang buruk dengan ancaman dan ugutan ini, dan dapatlah kita bayangkan bagaimanakah keadaan di negara kita ini apabila keseluruhan para pemimpin kita akan ditahan dan ditangkap apa bila Kerajaan sekarang ini bertukar tangan.
Sepatutnya sebelum lagi mendapat kuasa, maka pihak yang mahu memerintah hendaklah menjelaskan agenda pentadbiran dan pimpinan mereka yang lebih positip dan konstruktif, bukan mengugut dan mengancam seperti ini.
Hal ini amat menakutkan orang ramai, dan mengancam juga suasana aman damai dan sejahtera yang kita nikmati selama ini...
Barang dijauhkan Allah SWT akan bala bencana dari kita semua insya'Allah. 

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....