MAKNA UNDI PADA RAKYAT MESIR...




HARI PERHITUNGAN.......

Salah satu alasan yang diberikan oleh rakyat Mesir untuk mengadakan demonstrasi membantah Presiden Mesir Morsi ialah kerana Presiden tersebut hanya dilantik dengan undi dalam 70 peratus atau kurang sedikit sahaja. Oleh itu rakyat yang tidak mengundinya, iaitu kira-kira 30 peratus lagi adalah berhak untuk membantah dan mengadakan tunjuk perasaan menentangnya.

Demonstrasi inilah yang berlaku secara berlarutan sehingga akhir-akhir ini, dan memakan korban manusia.

Hal ini berbeza dari kita di sini, kerana kita benar-benar menerima keputusan undi rakyat, Kalau seorang calon yang bertanding pilihan raya dan mendapat majoriti dua tiga, atau sepuluh dua puluh pun, maka kita tetap menerimanya, kerana rakyat telah membuat pilihan. Cuma jika terdapat sebarang keraguan dan sesuatu yang tidak memuaskan hati, maka bantahan bolehlah dibawa ke mahkamah, kemudian apa-apa yang diputuskan oleh Mahkamah, kita mestilah akur dan menerimanya.

Di sinilah letaknya sentimen dan pemikiran rakyat kita dibandingkan dengan rakyat lain seperti rakyat Arab itu, yang nampaknya sering berpandukan emosi dan sentimen untuk melakukan sesuatu tindakan yang bertentangan dengan dasar demokrasi.

Di sini jugalah kita seharusnya mengambil iktibar dan pelajaran, sekiranya rakyat kita juga merasa ghairah untuk menganjurkan demonstrasi dan membangkitkan semangat "Arab spring" di negara kita. Latar belakang budaya, disiplin dan tahap tamadun serta pemikiran dan hikmah kita adalah agak tinggi, dan warisan ini hendaklah kita pelihara, jangan dibiarkan musnah oleh sentimen politik sempit yang cuba dibangkitkan di negara kita ini.

Berbalik kepada tajuk di atas, maka objektifnya ialah untuk cuba menegaskan bahawa menjelangnya 5 Mei selepas tengah malam ini, yang bererti bahawa rakyat Malaysia mulai jam 8 pagi akan beramai-ramai menuju pusat mengundi, kerana 5 Mei merupakan hari mengundi untuk PRU 13 yang dinanti-nantikan selama ini dengan penuh sabar.

Menjelang malamnya, keputusan PRU 13 itu akan mulai diketahui, diteliti oleh pihak berwajib SPR, kemudian diumumkan oleh pegawai yang berkenaan, lalu disiarkan secara langsung oleh stesen TV ke seluruh negara, supaya para pengundi mendapat keputusan pemilihan wakil mereka.

Memang dalam sebarang pertandingan, akan terdapat orang yang menang dan orang yang kalah. Inilah saat yang amat mencemaskan bagi rakyat semua, khususnya calon yang bertanding dan para pimpinan parti yang diwakilinya.

Namun, setelah keputusan dibuat, iaitu dengan penubuhan Kerajaan yang diberikan mandat oleh rakyat, maka berakhirlah peranan rakyat dalam menunaikan hak yang berlandaskan lunas-lunas demokrasi berparlimen yang kita laksanakan.

Kita di Malaysia sebenarnya telah biasa mengundi, dan calon-calonnya pula adalah terdiri dari berbagai-bagai parti politik, cuma perbezaannya kali ini, terdapat dua ikatan parti yang berlawan, iaitu BN dan PR sungguh pun BN nampaknya lebih kukuh ikatannya, sedangkan PR agak longgar, iaitu dari segi penggunaan lambang parti dan doktrin parti masing-masing.

Kita juga telah mengalami sendiri kesan dan hasil baik atau buruknya pentadbiran dua buah ikatan parti ini, sungguh pun PR tidak memegang tampuk pemerintahan Persekutuan, tetapi Pakatan Rakyat telah mentadbir empat buah negeri, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor. Malah Kelantan telah diperintah oleh parti pembangkang kepada BN selama 22 tahun.

Maka sekurang-kurangnya rakyat telah dapat memahami corak pemerintahan dan pendekatannya serta agenda Kerajaan masing-masing ketika dua buah parti ini menjalankan pemerintahan sejak 2008 sehingga sekarang.

Mungkin, tanpa taksub melulu, atau terlalu partisan dalam menoleh ke belakang meninjau dan mempelajari kekuatan dan kelemahan pemerintahan ini, rakyat telah mendapat kesimpulan dan pemikiran yang agak mantap tentang keberkasanan kedua buah pemerintahan ini, atau kelemahan dan kepincangan yang berlaku semasa pemerintahan masing-masing dalam masa 5 tahun yang lalu.

Berdasarkan hal inilah, dan hal-hal lain dalam pemerintahan kedua kumpulan parti ini, terutamanya dari segi pembangunan fizikal dan spiritual, pembangunan ilmu dan taknologi, pembangunan identiti dan jati diri bangsa, agama dan peradaban kita semua, maka rakyat telah dapat menilai dan mengambil kesimpulan sendiri tentang kadar kekuatan atau kelemahan pemerintah itu. 

Melihat kepada kesetabilan politik, sosial dan ekonomi negara, maka rakyat sebenarnya telah dapat membuat keputusan sendiri dalam membuang undi bagi memilih parti yang seharusnya diberikan mandat untuk memerintah sehingga menjelangnya pilihan raya yang akan datang. 

Namun menjelangnya d-day pada malam 5 Mei, iaitu ketika diumumkan hasil pilihan rakyat dalam membentuk kerajaan Persekutuan dan Negeri-Negeri (Selain dari Sarawak) maka satu perkara yang seharusnya di tanamkan di dalam hati sanubari kita semua, ialah menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh rakyat, lapang dada dan buka minda untuk menerima sebarang keputusan, di samping memperkuatkan azam dan niat untuk terus hidup di Malaysia ini dalam keadaan aman damai dan sejahtera sebagai bangsa yang bertamadun dan berperadaban.

Prestij negara kita yang aman damai selama ini, kesepaduan kaum dan agama serta etnik yang berbeza-beza dalam falsafah "unity in diversity" seharusnya diteruskan dengan baik.  

Para pimpinan parti-parti politik sebenarnya yang dapat menjamin kesetabilan dan kesepaduan bangsa ini, kerana rakyat umumnya adalah pengikut ketua-ketua mereka, terutamanya dalam politik kepartian dan sentimen partisan ini. Pemimpin parti politik lah yang seharusnya mendidik masyarakat untuk menghormati tata susila dan menghayati dasar demokrasi yang kita amalkan...

Kita berdoa semoga hari perhitungan 5 Mei akan berlalu dengan aman damai, harmoni dan penuh kesopanan....Inilah sebenarnya warisan dan tradisi kita selama ini... 

         


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....