PRU 13 DAN TSUNAMI POLITIK. BETULKAH?



PRU KE-13: SATU LAGI TSUNAMI POLITIK?
Terdapat media massa yang melebalkan Pru 13 sebagai satu lagi Pru yang membawa tsunami politik, tetapi tsunami kali ini bukanlah kerana kehakisan sokongan kepada BN, malah kerana polarisasi kaum yang amat ketara, iaitu yang dialami oleh kaum Cina, sebagai "Chinese Polarization".
Polarisasi perkauman yang dilabelkan kepada kaum Cina itu ialah setelah calon-calon DAP mendapat banyak undi dari kaum Cina, yang diandaikan juga undi dari kaum Cina dari parti lain, seperti MCA. Mereka memberikan contoh tentang hal ini dengan kemenangan besar yang didapati oleh calon-calon DAP di bandar-bandar, sehingga calon-calon itu berjaya mengalahkan calon yang membawa nama-nama besar dan berjasa kepada negara yang digandingkan dengan calon-calon DAP itu.
Bagaimana pun penemuan dan kesimpulan ini sebenarnya memerlukan pemeriksaan dan kajian yang mendalam dari kalangan yang tertentu, kerana dapatan ini merupakan dapatan rambang dari keputusan beberapa calon tertentu di kawasan yang tertentu pula, yang memberikan gambaran bahawa calon DAP telah mendapat undi yang amat banyak di kawasan majoriti Cina, walau pun calon lawannya juga terdiri dari calon kaum Cina, atau calon Melayu yang telah banyak berjasa kepada negara.
Tsunami Cina ini juga merujuk kepada kejatuhan undi dan kekalahan calon-calom MCA dengan teruknya kerana undi kaum Cina umumnya telah lari dari MCA, yang mungkin dipandang oleh kaum Cina sebagai parti yang tidak relevan lagi pada masa ini untuk mewakili kaum Cina.
Tsunami ini berlaku ialah atas dasar bahawa sekiranya sebelum ini parti DAP dianggap sebagai satu parti perkauman dan chauvanis Cina, tetapi semenjak parti ini menyertai Pakatan Rakyat yang dipelopori oleh Parti Keadilan Rakyat, juga parti Islam, PAS, yang satu ketika dulu juga dianggap sebagai sebuah parti radikal agama, maka imej DAP telah berjaya tampil sebagai sebuah parti yang tidak lagi dianggap sebagai parti pelampau atau ekstremis kaum. Tambahan pula DAP dapat duduk bersama dalam PR dengan PAS yang dulunya merupakan musuh nombor satu mereka sesama mereka.
Berdasarkan penemuan inilah maka PRU ke-13 telah muncul sebagai PRU  yang menggambarkan bahawa kaum Cina telah lahir sebagai kaum yang amat rasis dan bermainkan sentimen perkauman. Malah dengan penyertaannya dalam PR, parti DAP sendiri telah berjaya menarik undi ahli-ahli PAS disampinag ahli PKR, untuk mengundi Roket atas dasar setiakawan dalam permuafakatan PR.
Mengikut kesimpulan yang dibuat oleh sesetengah pihak, orang Melayu di dalam PAS amat bersifat jujur dan ikhlas dalam permuafakatan PR, sebab itu mereka yang dulunya berseteru dengan DAP, malah hingga ke hari ini sering berkonfrantasi dari masa ke semasa tentang Hudud umpamanya, tetapi bila tiba masa mengundi maka ahli-ahli PAS tetap setia dengan PR iaitu mengundi calon DAP, sedangkan penemuan yang dibuat oleh beberapa pihak juga menunjukkan bahawa mungkin sekali ahli-ahli DAP tidak memberikan undinya kepada PAS dalam kawasan-kawasan yang ditandingi oleh calon PAS, sedangkan ahli-ahli DAP itu tidak keberatan akan memberikan undi mereka kepada calon PKR.
Pendeknya PRU ke-13 mengikut andaian ini telah menonjolkan polarisasi kaum, iaitu perkauman Cina,  dan sikap berat sebelah kepada PKR, serta beberapa terjemahan ketidak iklasan DAP sendiri kepada salah sebuah komponan PR iaitu parti PAS dalam mengundi.
Inilah senarionya tsunami politik PRU ke-13 yang baru berlalu itu, iaitu sentimen perkauman dan pengkhianatan yang dilakukan sesama sendiri dalam PR. Betul atau tidak andaian dan asumpsi ini bergantunglah kepada kajian dan hasil yang berlaku dalam keputusan PRU tersebut.
Maka dalam keadaan ini, tudingan jari tidaklah sepatutnya hanya ditujukan kepada kaum Cina yang dikatakan tebal dengan semnagat perkauman, dan mulai memupuk taksub perkauman itu sahaja, malah pada pandangan saya, orang Melayu sendiri haruslah mencerminkan dirinya sendiri dan memeriksa ke dalam diri mereka, apakah yang telah mereka lakukan dalam tindakan mereka dalam politik negara yang menyebabkan timbulnya rasa perkauman dalam kaum Cina ini, kerana kalau di periksa ke dalam masyarakat Melayu sendiri dan dalam diri orang Melayu sendiri yang sanggup menerima persyarikatan dengan DAP, tentulah dapat difahami kenapa dan mengapa kaum Cina ini mulai berani memupuk rasa perkauman mereka dengan begitu rupa, yang dalam keputusan PRU kali ini mereka telah berjaya membolot banyak kursi dalam Parlimen, mengatasi PKR dan PAS.
Fikir-fikirkanlah sendiri.      
      

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....