Ihsan sebagai satu cara hidup





                            (Bahagian Ketiga)

BAGAIMANAKAH MEMBUDAYAKAN IHSAN?

1.      Ihsan seharusnya menjadi budaya insan yang diamalkan sepanjang hayat sebagai tabiat dan darah dagingnya. Budaya ialah cara hidup, adat dan tradisi yang merupakan komitmen seseorang tanpa dipaksa dari luar. Ajaran agama menjadi satu unsur terpenting dalam membudayakan sifat-sifat baik seperti Ihsan ini. Tetapi berbeza dari amalan budaya lain yang diwarisi dari ibu bapa dan nenek moyang, sifat ihsan, integriti, amanah dan sebagainya adalah merupakan satu bibit atau biji benih yang seharusnya ditanam dari awal lagi, disiram, dibajai sehingga mengeluarkan bunga dan buah. Ertinya, pendidikan memainkan peranan yang penting dalam membudayakanb sifat yang baik seperti ihsan ini. Ibu bapa di rumah, guru-guru di sekolah, ketua pejabat, majikan, komuniti, para pengajar dan penceramah di surau, masjid, perkhemahan, dan lain-lain, hendaklah sama-sama memainkan peranan dalam mendidik semua peringkat supaya sifat baik ini menjadi satu nilai yang dihayati dan dipraktiskan sepanjang masa dalam semua aspek kehidupan.

2.     Sifat-sifat ini adalah merupakan sifat “fitrah” manusia yang dijadikan suci dan bersih, tetapi persekitaran dan latar belakang kehidupan manusia, sering mencemarkan sifat suci ini, dan kehadiran iblis serta syaitan dalam bentuk manusia atau lain-lain, akan mengubah tabi’i manusia yang bersih itu.

3.     Manusia dilahirkan sebagai makhluk yang bersih, tetapi ia juga memerlukan “anti body” yang kuat untuk menghadapi segala macam virus, kuman, pencemaran air dan udara serta lain-lain yang sentiasa menyerang daya tahannya, dan membawa berbagai-bagai penyakit merbahaya, termasuk “penyakit hati” yang sering disifatkan oleh Al-Quran sebagai satu penyakit yang amat serius.

4.     Manusia haruslah membina bangunan untuk tempat tinggalnya dengan mengorek sebuah lubang di dalam “hati”nya sebagai asas bagi membina foundation rumah tersebut bagi mendirikan tiang, dinding, tingkap dan pintu serta bumbungnya.


Dalam proses itu, asas atau foundation tersebut biasanya harus diletakkan oleh ibu bapa, guru-guru, para ilmuan, agamawan, ketua masyarakat, ustaz ustazah, profesor, ketua pejabat, pegawai daerah, penghulu, ketua kampung dan semua peringkat "pemimpin"  secara yang betul dan kukuh. Si anak didik itu akan meneruskan "kerja pembinaan", dengan mendirikan dinding yang kuat untuk melawan arus angin kencang, atau air banjir, tingkap yang mencerminkan ketelusan, juga untuk check and balance”, pintu yang sering terbuka untuk pembaikan diri, sikap dan pandangan yang agak silap, dan bumbung yang berfungsi sebagai perisai dan penghadang dari hujan ribut, panas terik matahari yang boleh menjejaskan kesejahteraan penghuninya.

Inilah ibaratnya Ihsan yang dapat digambarkan sebagai sebuah binaan dan bangunan yang kukuh, telus, terbuka, tahan ribut kencang, malahan tsunami yang tidak mungkin menggugat keteguhan bangunan ini...Dan sekiranya kekuatan bangunan ini tergugat dan mengalami rempuhan yang melemahkannya, atau mencabar kekuatan asasnya, maka bangunan ini hendaklah segera di utuhkan, di perkuatkan dan kalau perlu dibina kembali menjadi lebih kukuh dari asalnya...

Inilah maknanya pendidikan dan pengukuhan yang sentiasa dilaksanakan oleh semua golongan di dalam masyarakat sesuatu komuniti dan bangsa itu.


                                                Bersambung...........

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....