Merialisasikan Sifat IHSAN
(Bahagian Kelima)
PENYELESAIANNYA? PERSOALANNYA?
Bagaimanakah hendak membina istana dan menara Ihsan itu seperti yang dibayangkan di atas, dan seterusnya menyelenggarakannya supaya kukuh sepanjang masa ?
a) Agama?
Ya pastinya. Kembali kepada Agama, kepada Al-Quran dan Sunnah? Tentunya. Tapi
bagaimana? Adakah kaedahnya terlalu amat simplistik begitu? Apakah dengan
menyediakan kayu, paku, simen dan peralatan lain untuk membina rumah, maka
sesiapa saja dapat membina rumah itu? Sudah tentu tidak. Diperlukan tukang kayu
yang mahir iaitu yang telah sekian lama mengasah bakat dan menimba ilmu dan
pengalaman untuk mendapatkan kemahiran membina rumah.
b) Ihsan dan sifat-sifat integriti lain adalah
merupakan satu kemahiran. Maka yang perlu dijawab ialah bagaimanakah
menggunakan ajaran agama, Al-Quran dan Sunnah itu untuk membina peribadi
manusia yang menghayati sifat mulia dan baik.? Agama bukan tongkat sakti yang
dapat mengubah sesuatu dalam sekelip mata. Agama memerlukan sistem operasional
untuk dijadikan pengajaran, penghayatan dan kemahiran untuk digunakan bagi
membina insan kamil.
c) Membina
budaya dan nilai-nilai kehidupan yang positif, walau pun tidak beragama? Ya.
Ada masyarakat yang tidak kuat beragama, tetapi manusianya mempunyai perwatakan
positif. Ada buku yang menyatakan bahawa nilai-nilai baik yang diajar oleh
Islam berada dan dihayati di Barat dan di luar dunia Islam, tidak sangat
dipraktikkan di dalam masyarakat Islam. Nilai-nilai murni itu telah menjadi
budaya mereka dan dihayati sebagai cara hidup mereka
d) Menyemak
semula undang-undang yang sedia ada dan mengenakan hukuman yang lebih berat
kepada para pesalah dengan harapan bahawa hukuman yang lebih berat akan lebih
menakutkan orang yang bakal melakukan kesalahan dan melanggar tatatertib serta
peraturan ? Mungkin juga. Tetapi orang yang mahu membuat salah kerana desakan
nafsu, kebendaan dan sebagainya, kadang-kadang melupakan hukuman berat, kerana
dia lebih mementingkan sifat tamak halobanya yang tidak terbatas.
e) Maka
dalam hal ini agama mempunyai kelebihan untuk menanamkan rasa taqwa kepada
Allah dan balasan baik atau jahat pada hari akhirat nanti, iaitu dengan
tertanamnya dalam sanubari akan rasa God
consciousness/God fearing yang menjadi pendorong untuk manusia beramal
soleh dan berakhlak mulia.
f) Namun
bagi umat yang tidak lengkap beragama, atau masyarakat sekular, mereka mungkin
mencerminkan hati nurani mereka sebagai kuasa yang mengawal segala tindakan
mereka. Mereka mungkin mempunyai conscience
yang lebih hidup dan lebih bernyawa dari kita. Segala tindakan yang hendak
mereka lakukan adalah berdasarkan rasa hati mereka, sama ada hatinya bersih atau tidak. Atas dasar inilah
Rasulullah SAW mengingatkan kita tentang segumpal darah di dalam badan kita
yang menentukan baik atau buruknya jasad kita, iaitu HATI atau QALBU
g) Namun
apa-apa pun keputusan yang dilakukan oleh manusia, maka dirinya itulah yang
mengawalnya, tetapi sebagai petani dan peladang, penternak dan tukang masak,
jurutera dan ahli perubatan, menteri atau rakyat, dia tidak seharusnya merasa
dirinya dapat berlaku baik dan saksama sekiranya dia tidak menjalani latihan,
mendapatkan pengetahuan dan kemahiran, sambil berpandukan kepada ajaran luaran
yang baik, dan mencerminkan diri dengan cermin dalaman, hati nurani dan nilai
kerohaniannya, ketuhanan dan kerasulan, maka barulah dia akan mendapat
keperibadian yang sempurna untuk menjadi seorang yang bersifat dengan sifat
Ihsan, yang dinamakan sebagai Muhsin.
h) Menjadi
manusia sempurna di sisi Allah dan seluruh hamba-Nya, seorang itu mestilah berjihad,
bukan berjihad dengan mengangkat senjata di medan perang, tetapi berjihad
melawan hawa nafsunya, melawan bisikan iblis dan syaitan yang menjadi musuh
nombor satu anak Adam, dan berjihad untuk mendapatkan rohani yang suci dan
bersih.
SELESAI...................
SELESAI...................
Comments
Post a Comment