ANGKARA TINDAKAN MINORITI

Di dalam masyarakat mana sekali pun, akan terdapat kumpulan minoriti yang akan bertindak melampau dan menentang tindakan bertamadun arus perdana. Peristiwa ganas yang dijelmakan dalam percubaan membakar beberapa buah tempat ibadat agama Kristian di negara kita, saya percaya dilakukan oleh hanya segelintir manusia, bukan direstui oleh golongan majoriti rakyat negara kita, sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam. Hal yang sama pernah berlaku kepada beberapa tempat ibadat lain di negara kita ini.

Cuma dalam hal ini, kita juga haruslah faham, bahawa manusia melakukan sesuatu perbuatan adalah didorong oleh reaksinya terhadap sesuatu yang dirasakan tidak kena dan tidak baik kepadanya. Maka dalam hal ini, sekiranya beberapa orang yang melakukan tindakan ganas itu adalah terdiri daripada penganut Islam, maka tindakan tidak bertamadun itu adalah dirasakan betul oleh kumpulan itu ketika mengetahui keputusan mahkamah yang membenarkan kalimah Allah digunakan dalam risalah agama Kristian sebagai Tuhan mereka.

Kita juga mengetahui bahawa dalam menyatakan perasaan tidak senang dengan keputusan mahkamah itu, terdapat golongan yang mengaturkan demonstrasi secara aman di dalam pekarangan masjid selepas sembahyang Jumaat, dan mereka tidak melakukan keganasan, mereka hanya sekadar mahu masyarakat seluruhnya memahami perasaan dan akidah mereka.

Disamping pernyataan perasaan dan reaksi yang saya nyatakan di atas, maka di dalam masyarakat kita tentulah terdapat golongan ramai yang tidak menyatakan sebarang perasaan, dan tidak menunjukkan sebarang reaksi di dalam tindakan mereka. Mereka lebeh senang menunggu proses undang-undang, atau memerhati apakah tindakan selanjutnya pihak berkuasa.

Bagi saya, apa saja reaksi terhadap kes ini, maka kita haruslah mengambil jalan yang bertamadun dan lebeh berhikmah dalam hal ini, iaitu kita berusaha memberi kefahaman kepada masyarakat tentang keunikan kalimah Allah bagi penganut agama Islam, dan dalam masa yang sama menghormati ritual dan falsafah ketuhanan orang bukan Islam, dan sesuai dengan tindakan ini kita tentulah mengharapkan bahawa orang bukan Islam juga akan memahami falsafah ketuhanan dan ritual kita yang unik dalam akidah kita, supaya sama-sama dapat faham memahami dan hormat menghormati berasaskan adab sopan dan budaya kita rakyat Malaysia, yang kadang kala mungkin kita tidak memerlukan mahkamah untuk membuat keputusannya, yang mungkin boleh menyentuh sesitiviti saudara-saudara kita penganut agama lain.

Bagaimana pun tindakan ganas oleh golongan minoriti itu haruslah sentiasa dijauhi, kerana dalam dunia umumnya pada hari ini, tindakan ganas minoriti inilah yang digambarkan seolah-olah itulah gambaran tindakan majoriti, dan sering dilabelkan dengan agama para pelakunya, sedangkan perbuatan itu tidak langsung diizinkan oleh agama.

Dalam keadaan yang dianggap genting oleh masyarakat Islam di negara kita pada hari ini, maka saya rasa tindakan yang paling berhikmah, ialah kita akan sentiasa menaggap bahawa setiap keadaan yang menyentuh kesucian agama kita itu, hendaklah dianggap sebagai cabaran bagi kita untuk menguatkan lagi pegangan dan akidah kita kepada agama kita, dan dalam menghadapi cabaran itu, kita haruslah melengkapkan diri sendiri dengan ilmu yang lebeh mendalam tentang akidah dan syariah kita, disamping bersikap lebeh tenang dan bertindak secara tamadun, dalam batas-batas yang dibenarkan oleh agama kita.

Dengan itu kita tidak akan merasa bimbang tentang kekeliruan yang mungkin timbul di dalam masyarakat kita terhadap sebarang cabaran yang ditujukan kepada kita. Ibarat badan kita yang cukup daya tahannya, maka sebarang kuman yang menyerangnya, insya'Allah akan dapat dipatahkan, dan badan kita akan terus merasa sihat.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....