ISU NAMA ALLAH


 

Umat Islam di Malaysia yang bersarapan dengan akhbar pada hari pertama tahun baru 2010 agak terkejut dengan keputusan mahkamah yang membenarkan penggunaan nama Allah di dalam penerbitan Kristian. Keputusan itu dibuat, mengikut berita yang di baca, adalah berdasarkan Perlembagaan dan hakikat bahawa penerbitan itu bukanlah bermaksud untuk menyibarkan ajaran agama lain kepada masyarakat Islam.


 

Masyarakat Islam tentulah tidak berniat untuk mencabar keputusan Mahkamah, atau mempertikaikan proses perundangan semata-mata berdasarkan sentimen melulu, kerana ruang untuk merayu mengikut proses perundangan juga masih terbuka luas.


 

Cuma kalau dapat difahamkan perasaan umat Islam dan pentafsiran mereka tentang nama "Allah" itu, maka hakikatnya nama "Allah" adalah khusus kepada Tuhan penganut agama Islam dalam konsep dan definesi bahawa "Allah" adalah Tuhan Yang Maha Esa, yang merujuk kepada konsep ketuhanan agama Islam.


 

Islam menolak sebarang sekutu Allah dalam sebarang bentuk, dan hal ini bukan hanya merujuk kepada makna dan konsep ketuhanan Islam itu sahaja, malah dalam konteks bahasa dan budaya Melayu sendiri, "Allah" adalah sinonem dengan Tuhan yang esa, berdasarkan konsep tauhid yang dibawa oleh Islam untuk seluruh umat manusia. Dan apabila konsep ini dicemarkan, maka Islam menolak sebarang konsep ketuhanan yang berdasarkan wujudnya sekutu Tuhan itu, terutamanya kerana hal ini akan menimbulkan kekeliruan yang banyak di kalangan generasi baru umat Islam sendiri tentang konsep ketuhanan mereka.


 

Memang benar seperti yang dihujahkan oleh sesetengah kalangan masyarakat bahawa orang-orang kafir musyrikin telah berterus terang mengakui Allah sebagai pencipta langit dan bumi ini, umpamanya seperti yang dijelaskan di dalam Al-Quran, iaitu di dalam surah Al-Ankabut ayat 61 dan 63 ketika orang kafir musyrikin mengakui bahawa Allah yang menjadikan langit dan bumi, juga menundukkan matahari dan bulan untuk mereka manfaatkan, tetapi di akhir ayat tersebut Allah bertanya pula, kalau demikianlah pengakuan mereka, maka kenapakah mereka dapat dipalingkan daripada jalan yang benar?


 

Dalam ayat 63 pula ketika mereka mengakui bahawa Allah yang menurunkan air daripada langit lalu menghidupkan bumi yang telah mati, tetapi Allah bertanya pula di akhir ayat itu, kalau begitu maka mengapakan kebanyakan mereka tidak memahaminya.?


 

Pendirian mereka ketika mengakui bahawa Allah yang menjadikan segala-galanya itu mungkin boleh di tafsirkan sebagai pengakuan mulut yang tidak disertai dengan keimanan kepada Allah dalam konsep Tuhan yang Maha Esa, sebab itu Allah bertanya kenapakah mereka berpaling daripada jalan yang benar. Demikian juga pengakuan mereka bahawa Allah itulah yang menurunkan hujan dari langit dan menghidupkan bumi yang telah mati, mungkin juga dapat diertikan sebagai pengakuan mulut juga, kerana mereka masih tidak mahu memahami konsep keesaan Allah swt seperti yang di akui dan disaksikan oleh orang Islam.


 

Untuk penjelasan lanjut marilah kita baca bersama ayat 61 dan 63 dari surah Al-Ankabut itu;


 

"Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka, siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?, tentu mereka akan menjawab : Allah, maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar") Ayat 61.


 

"Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka : Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya? Tentu mereka akan menjawab : Allah, katakan (wahai Muhammad) al-hamdulillah, tetapi kebanyakan mereka tidak memahami (nya") ayat 63.


 

Kiasan Allah bahawa ucapan mereka yang mengakui tentang kekuasaan Allah tetapi dalam masa yang sama masih melakukan amalan syirik dan menyeleweng, jelas membayangkan bahawa bagi mereka konsep Allah itu tidaklah sebenarnya menepati konsep Allah seperti yang diturunkan wahyunya oleh Allah sendiri tentang keunikan tuhan bagi manusia Muslimin yang bernama Allah itu, dan kerasulan Nabi Muhammad SAW yang merupakan Nabi dan Rasul terakhir bagi umat manusia.


 

Penggunaan istilah Allah untuk tuhan, dan pengakuan tentang keunikan kandungan kalimah ini tentu tidak memungkinkan amalan ahlil-kitab untuk mengubah dan meminda kitab suci mereka, dan tidak membenarkan sama sekali mereka menyengutukan Allah dengan tuhan yang lain.


 

Konsep ini jelas menunjukkan percanggahan yang ketara tentang penggunaan nama Allah bagi tuhan selain dari pada tuhan orang Muslimin, dan amat bertentangan dengan sifat Allah yang diyakini dan diimani oleh orang Islam.


 

Bagaimana pun atas dasar ajaran agama Islam sendiri yang memberikan kebebasan beragama "Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku" maka orang Islam bersetuju bahawa masing-masing agama adalah bebas melakukan sembahan terhadap tuhan mereka. Ketuhanan adalah sesuatu yang mempunyai hubungan rapat dengan sistem kepercayaan pengikut agama yang tertentu. Orang Islam tidak dapat berkongsi dengan bukan Islam, termasuk pengikut Kristian yang percaya kepada konsep trinity, kerana orang Islam percaya bahawa Nabi Esa bukanlah anak Allah. Tetapi berdasarkan unity in diversity maka orang Islam tidak sedikit pun mengganggu amalan dan akidah mereka, juga berdasarkan konsep agree to disagree.


 

Rasulullah SAW sendiri ketika diajak supaya berkongsi menyembah Allah dan tuhan mereka secara bergilir-gilir, iaitu orang musyrikin menyembah Allah untuk beberapa hari, dan Rasulullah SAW menyembah tuhan mereka untuk beberapa hari pula, maka baginda tidak dapat menerimanya, sebaliknya menegaskan bahawa "bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku", (Surah Al-Kafirun), yang berarti bahawa dalam soal akidah seorang Islam itu tidak mungkin dapat bertolak ansur sama sekali, termasuklah segala sesuatu yang mempunyai hubungan dengan akidah ketuhanannya yang maha esa..


 

Bagaimana pun, saya rasa, apa-apa saja keputusan mahkamah, atau tanggapan orang tentang dasar penggunaan nama Allah dan konsepnya yang berbeza-beza, maka umat Islam sendiri haruslah menerimanya dengan dada yang terbuka, dan dalam menghadapi keadaan ini, maka mereka haruslah mempersiapkan diri sendiri dengan kekuatan ilmu dan akidah yang tidak mungkin dapat digoyangkan oleh sebarang tafsiran dan gagasan lain yang akan seterusnya timbul dari masa ke semasa dalam hal ini.


 

Bentuk reaksi umat Islam terhadap cabaran ini adalah amat penting dalam mengekalkan sifat toleransi Islam dan keterbukaannya, yang tidak bermaksud bertolak ansur dalam akidah dan amalan agamanya, tetapi dalam bentuk menjaga keharmonian sesama umat manusia, dan mengelakkan sebarang tindakan dan reaksi yang tidak bertamadun.


 

Kebimbangan bahawa hal ini akan mengelirukan generasi muda Islam tentang agama mereka, seharusnya mendorong umat Islam dengan lebeh kuat lagi untuk menyusun agenda mereka bagi memberikan kefahaman dan keyakinan generasi yang tersebut tentang agama mereka dan ajarannya yang unik itu, terutamanya tentang akidah dan syariah nya.


 

Moral dan maruah umat Islam tidaklah jatuh dengan satu dua keputusan mahkamah, kerana mahkamah adalah bertindak mentafsirkan undang-undang, dan sekiranya hal itu merupakan sesuatu yang amat subjektif, maka terdapat beberapa peringkat mahkamah lain dalam proses membuat keputusan. Malah sekiranya dalam proses itu masih terdapat keadaan yang tidak memuaskan perasaan beberapa kalangan masyarakat, maka ingatlah "bumi mana yang tidak ditimpa hujan". Yang pentingnya adalah iman dan akidah umat Islam itu sendiri yang seharusnya sentiasa kuat dan utuh.

Comments

  1. kalau kristian tidak berniat untuk menyebarkan agamanya apakah rasionalnya dia bermati matian menuntut ke mahkamah untuk menggunakan nama Allah pada penerbitannya.

    Dalam bahasa inggeris mengapa kristian sebut "god". god itu ialah tuhan, tuhan tuhan selain Allah. Bukan Allah yang dimaksudkan.Sudah tentu ada faedahnya untuk menyesatkan umat Islam.

    Kristian kufur dengan Allah sepertimana yang kita faham. Tiba tiba kristian mahu mengunakan nama Allah.

    Sudah tentu penggunaan nama Allah lebih mudah untuk menarik orang melayu masuk kristian.lebih lebih lagi orang umno pernah sebut semua agama sama sahaja. bermakna diakui agama kristian itu benar.Lebih lebih lagi orang Melayu kini sudah mulai tinggal agama mereka.

    Contohnya 83 peratus orang melayu tidak solat lima waktu sehari semalam. Minum arak arak berzina dan judi jadi darah daging mereka.

    Kalau kristian tidak mempunyai apa apa motif masakan mereka dengan bertungkus lumus menuntut agar nama Allah boleh digunakan dalam mana penerbitannya.

    Hairan juga dengan pendapat Dr. Kalau dahulu banyak tulisan Dr mengelirukan. Saya tak mahu sebut ramai orang kerja makan gaji ada sifat mengampu.

    Tenguk pada blog Dr, Dr masih guna perkataan Prof semacam masih memiliki sifat berbangga diri yang tidak harus dimiliki oleh orang macam Dr, sedangkan gelaran profesor itu hanya dikeluarkan oleh universiti sahaja. dipakai semasa menjawat jawatan di U sahaja.Lainlah dengan gelaran Profesor diraja yang diberi kepada Ungku Aziz. Gekaran itu kekal.lainlah jika perkataan Dr (PHD) yang Dr dapat dan adalah wajib digunapakai.

    maaf.

    ReplyDelete
  2. Sdra Abdullah Ngah, selamat bertemu dan berpolemik kembali. Saya balik ke U dan dibenarkan menggunakan Prof, bukan saja2 nak takabbur..Nanti saya tukar kemudian. TK

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....