KERESAHAN KAUM : UBATI PENYAKITNYA
Memang sewajarnya kita mengecam semua perbuatan ganas termasuk gangguan terhadap tempat ibadat, seperti yang berlaku di negara kita ketika terdapat percubaan membakar atau memusnahkan gereja dan sekolah Kristian.
Bagaimana pun dalam masa yang sama, kita haruslah cuba memahami hakikat yang sebenarnya bahawa perbuatan ganas dan biadab itu adalah merupakan simptom atau gejala dari penyakit lain yang menular di dalam badan seseorang itu. Memuncak suhu badan yang menyebabkan seorang itu mengalami demam, kadang-kadang boleh diubati dengan ubat demam, dan demam itu akan hilang. Tetapi demam juga kadang-kadang merupakan tanda dan simptom penyakit lain yang lebeh kronik di dalam badan, yang ada kalanya tidak diketahui, seperti kanser, batu karang dan sebagainya. Dalam keadaan ini, ubat demam yang dimakan hanya akan menyembuhkan penyakit ini buat sementara sahaja, kemudian demam ini akan tiba lagi, mungkin tiap-tiap hari, maka dalam keadaan ini, demam ini adalah merupakan tanda penyakit lain, dan dalam keadaan ini kita haruslah berujmpa doktor untuk mengetahui apakah penyakit kita yang sebenarnya supaya penyakit itulah yang akan dirawat, bukan tandanya sahaja.
Perbuatan segelintir manusia yang cuba menunjukkan kemarahannya dengan mengancam keselamatan bangunan gereja itu juga adalah merupakan simptom dari satu penyakit lain yang lebeh serius lagi di dalam masyarakat kita, iaitu akibat daripada keputusan mahkamah membenarkan kalimah Allah digunakan oleh risalah Katholik itu.
Memanglah kita boleh mencari orang yang membuat angkara itu sehingga ke lubang cacing sekali pun, untuk ditangkap dan dihukum, tetapi menangkap dan menghukum mereka mungkin hanya merupakan satu tahap bagi menyelesaikan masalah ini. Oleh itu penyelesaian yang lebeh besar lagi ialah mencari sebab kenapakah mereka bertindak begitu? Hal ini perlu diselesaikan, meskipun tidak ada sesiapa yang boleh menjustifikasikan perbuatan segelintir manusia itu. Tetapi penyakit asal itulah yang seharusnya diubati, bukan hanya mengubati gejala dan tanda penyakit tersebut.
Syukur kepada Allah, pada hari ini, nampaknya akhbar di negara kita telah mngemukakan pandangan seorang tokoh Kristian Sabah supaya pihak yang berkenaan menggugurkan tuntutan penggunaan kalimah Allah di dalam risalah Herald. Tokoh tersebut, seperti yang diberitakan oleh akhbar, ialah Datuk Clarence Bongkos Malakun, dan awal-awal lagi menyatakan bahawa kenyataannya itu mungkin akan menimbulkan kemarahan ramai penganut Kristian, tetapi beliau berkata bahawa dalam hal ini telah tiba masanya masyarakat Kristian, khususnya Katholik, membuat penilaian kepada keadaan sekarang demi keselamatan dan ketenteraman awam.
Pandangan tokoh Kristian ini adalah merupakan cadangan beliau untuk mencari punca penyakit resah gelisah di dalam masyarakat yang mengakibatkan beberapa insiden di dalam masyarakat kita dan mengancam keselamatan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini. Beliau tentu percaya bahawa sekiranya tindakan yang disyorkannya itu mendapat perhatian yang serius dari kalangan yang tertentu, maka sekurang-kurang ketegangan yang berlaku di dalam masyarakat akan reda, dan tindakan yang mengancam keselamatan akan dapat dihapuskan.
Sebenarnya inilah semangat tolak ansur yang sedia ada di dalam masyarakat kita sekian lama, dan kita pupukkan dengan penuh kepayahan selama ini, maka hasilnya seperti yang kita maklum, negara kita telah terkenal di seluruh dunia sebagai sebuah negara berbilang kaum yang aman damai.
Hal ini saya dengar dan alami sendiri ketika saya berada di luar negara mewakili negara kita, iaitu sebagai Duta Besar Malaysia di Saudi Arabia. Kalangan pemerentah Saudi dan para perwakilan asing di sana, sentiasa mengkagumi keharmonian dan kesetabilan politik dan sosial kita, yang dengan kesetabilan sosial, politik dan ekonomi inilah yang berjaya melahirkan Malaysia sebagai sebuah negara yang dapat membangun dan maju dengan baik di dalam semua aspek pembangunannya.
Menyedari realiti budaya dan suasana negara dan rakyat dalam menyelesaikan permasalahan, seharusnya diberikan keutamaan untuk kesejahteraan kita, daripada semata-mata memperjuangkannya melalui saluran undang-undang, tanpa menafikan hakikat, bahawa dalam banyak hal, kita memang perlu menyelesaikan konflik menerusi undang-undang. Tetapi di sinilah terletaknya hikmah atau "wisdom" kita dalam menyelesaikan masalah, terutamanya ketika menghadapi dunia yang serba konflik pada hari ini.
Marilah ramai-ramai sokong apa yang disyorkan oleh pendita Kristian Sabah itu demi kesejahteraan masyarakat kita. Kita perlu mengubati asal dan punca penyakit itu, bukan simptomnya saja. Betul kata Dr Ismail.
ReplyDelete