KEPENTINGAN BIOGRAFI UNTUK GENERASI AKAN DATANG

Dalam bulan ini kita kehilangan tiga orang negarawan yang berpengalaman. Allah Yarham Datuk Mohammad Rahmat, Tun Fatimah Hashim dan Tun Ghazali Shafie. Mereka telah berkhidmat dengan negara kita sejak berdekad-dekad lagi, iaitu mulai dari era Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan terus berkhidmat sehingga ke zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, atau kalau tidak berkhidmat pun, mereka masih dapat menyaksikan perkembangan dan pembangunan Malaysia sehingga ke era Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pengalaman yang begitu lama, dengan begitu banyak yang berlaku di dalam negara semasa akan mencapai kemerdekaan dan selepas Merdeka, saat-saat genting yang dilalui oleh bangsa dan tanah air, juga saat-saat kegemilangan yang dicapai oleh bangsa, semuanya telah mereka saksikan, dan telah juga menyumbang tenaga serta pemikiran dalam membangun sebuah negara Merdeka dan bangsa yang berketerampilan di dalam bidang ekonomi, pendidikan, sosial dan bidang-bidang yang lain lagi.

Mereka tentunya banyak menimpan khazanah pengalaman peribadi dalam kehidupan dan tugas serta tanggung jawab yang telah mereka lalui dalam masa yang lama itu.

Pengalaman mereka adalah merupakan peristiwa dan catatan sejarah, yang ada kalanya tidak kita temui di dalam buku sejarah, atau di mana-mana sekali pun. Akhirnya dengan pemergian mereka, maka akan lenyaplah bersama segala pengalaman penting yang mereka alami dalam perjuangan masing-masing ketika membangun Malaysia.

Maka bertepatanlah sekali kenyataan Perdana Menteri pada hari pemergiaan Tun Ghazali Shafie, bahawa Kerajaan sepatutnya memberikan tanggung jawab kepada pihak-pihak yang tertentu untuk menulis pengalaman mereka bagi diterbitkan buat memenuhi persada persuratan kita, untuk dibaca dan dikaji sebagai fakta dan peristiwa sejarah kita semua dalam perjuangan bangsa yang masih muda ini.

Tidak syak lagi, bahawa pengalaman kepada mereka yang berusaha mendapatkan kemerdekaan dan mula mengisikannya, tentulah banyak arti dan pengajarannya kepada rakyat. Peristiwa yang dialami dari penjajahan Inggeris, Jepun, Komunis dan falsafah perjuangan mereka masing-masing, merupakan catatan sejarah yang amat berharga untuk kita kaji pada zaman ini, sebagai panduan dan pelajaran untuk terus mengisi kemerdekaan tanah air kita. Peristiwa Darurat, 13 Mei dan lain-lain, merupakan titik-titik hitam dalam sejarah kebangkitan bangsa kita, maka kita tentulah perlu mendapatkan input peribadi mereka tentang peristiwa sejarah ini, iaitu dari perspektif mereka sebagai orang-orang yang bertanggung jawab ketika itu.

Saya rasa agensi Kerajaan yang berkenaan, seperti Dewan Bahasa dan Pustaka umpamanya, haruslah mengambil langkah menerbitkan buku-buku biografi mereka dari sudut perjuangan dan pengalaman mereka, kerana selama ini pun kita telah kehilangan agak banyak juga tokoh bangsa kita, yang pergi buat selama-lamanya tanpa meninggalkan sebarang catatan untuk kita pelajari.

Pihak yang berkenaan haruslah segera mengenal pasti tokoh-tokoh negara, untuk ditemu ramah, di dengar pengalaman dan perjuangan mereka dari mulut mereka sendiri, kemudian disusun bagi dijadikan bahan bacaan yang bermutu, jangan menunggu sehingga mereka pergi dari alam maya ini.

Kepada semua yang pergi, kita doakan semoga Allah SWT mencucurkan rahmat keatas roh mereka. Al-Fatihah.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....