POLITIK ISLAM, ATAU, ISLAM DIPOLITIKKAN ?
APAKAH TINDAKAN KITA ?
Apabila timbul sesuatu isu agama di dalam masyarakat kita, orang awam sering menjadi keliru kerana terlalu banyak "fatwa" yang dikeluarkan. Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan sering mendapat kata sepakat para mufti dan ahli-ahli Majlis tersebut. Tetapi isu ini sering mengelirukan orang awam Islam ketika terdapat pandangan ahli-ahli agama secara individu, atau yang menganut ideologi politik yang berbeza-beza, yang bertentangan pula dengan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan. Akibatnya orang ramai akan menjadi keliru, fatwa yang mana satukah yang harus diikuti.
Kita ambil contoh isu kalimah Allah yang dipolemikkan baru-baru ini. Pernah satu ketika dulu, iaitu semasa YB Dato' Zahid Hamidi menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang bertanggung jawab dalam urusan agama Islam. Beliau pernah menimbulkan isu ini di dalam Parlimen, dan menerangkan pendiriannya bahawa kalimah "Allah" ini dalam negara kita adalah khsus kepada nama Tuhan dalam konsepnya yang diamalkan oleh para penganut Islam. Beliau mendapatkan pandangan YB Taib Azamuddin, bekas Imam Masjid Negara, yang telah menjadi MP mewakili PAS. MP PAS ini, pada fahaman saya, juga menyatakan pandangan yang sama.
Tetapi isu yang sama ini, baru-baru ini menjadi perbincangan yang mengelirukan orang awam Muslim, kerana nampaknya para ulamak sendiri mempunyai pandangan yang berbeza. Di dalam PAS sendiri umpamanya, Tok Guru Nik Aziz pada mulanya memberikan pandangan bahawa kalimah ini boleh digunakan oleh orang bukan Islam, tetapi kemudiannya menyatakan bahawa sekiranya orang bukan Islam menggunakan kalimah ini untuk tujuan-tujuan yang boleh menyeleweng, maka ianya tidaklah seharusnya digunakan oleh mereka, mengikut kaedah " menutup pintu" penyelewengan, "Sad-azzari'i" itulah yang saya faham daripada kenyataannya yang terbaru. Yang Di Pertua PAS, Datuk Haji Hadi Awang, tetap memberikanpandangannya bahawa kalimah ini harus digunakan oleh orang bukan Islam, tetapi penjelasan haruslah juga diberikan. Datuk Dr Harun Din pula menyatakan bahawa sesiapa yang menerima keharusan penggunaan kalimah ini di kalangan orang bukan Islam, maka hukumnya syirik, iaitu mengikut maksud yang saya fahami dari kenyataan yang disiarkan oleh akhbar. Kes YB Zulkifli Nordin, yang mengeluarkan kenyataan keras dan membuat laporan polis menentang kenyataan YB Khalid Samad, juga dilihat sebagai satu pertentangan yang amat nyata di kalangan ahli-ahli politik dalam isu ini, walau pun mereka berdua berada dalam Pakatan Rakyat.
Pendirian Khalid Samad, tidak banyak perbezaannya dengan tafsiran Dr Mohd Nor Manutty (PKR) dalam hal ini, yang telah menulis bahawa dengan membenarkan penggunaan kalimah ini di kalangan bukan Islam, berarti kita membuka peluang yang baik untuk menjelaskan tentang Islam, Tuhan dan sebagainya dari perspektif Islam, itulah juga yang saya faham dari kenyataannya.
Kalangan orang awam Muslim yang hanya mahu mendengar apakah kalimah Allah ini boleh digunakan oleh orang bukan Islam, iaitu sama ada "boleh", atau "tidak boleh", tidak mendapat jawapan yang muktamad. Mungkin hanya fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan sahaja yang mengatakan "tidak boleh", dan mendapat "fatwa" yang sama dari beberapa orang ulamak Islam, tetapi pandangan ulamak lain, walau apa pun tafsiran di belakangnya, banyak yang mengatakan "boleh".
Di sinilah timbulnya kekeliruan orang ramai, terutamanya kalangan generasi muda Islam, yang akhirnya tidaklah berminat lagi untuk mendengar pandangan ulamak tentang isu agama kerana para ulamak nampaknya tidak mampu mempunyai pandangan yang sepakat, terutamanya dalam isu besar yang melibatkan isu fundamental Islam seperti isu penggunaan kalimah Allah ini.
Saya mungkin salah, tetapi sepanjang pemerhatian saya, isu agama juga sering dipolitikkan oleh ahli-ahli politik, entah apakah tujuannya, hanya mereka saja yang tahu. Fatwa agama nampaknya mengikut rentak dan perjuangan politik masing-masing, Cuma ada segelintir sahaja ulamak "politik" yang ikhlas dalam mengeluarkan fatwanya mengikut tafsiran agama yang sebenar, menurut fahaman majoriti ulamak dalam konteks negara kita.
Oleh itu saya rasa, kita memerlukan satu institusi Ulamak yang bebas dari ikatan parti politik, iaitu para ulamak yang mempunyai kewibaan yang tinggi dan disegani di kalangan masyarakat kita, untuk memberikan satu pandangan yang dapat diterima oleh umat Islam di negara kita ini, yang apabila mengeluarkan fatwanya, maka fatwa itu adalah bebas dari fahaman politik, dan tidak dipolitikkan. Badan ulamak bebas ini tidak berarti satu badan yang akan mencabar kedudukan Majlis Fatwa Kebangsaan, tetapi akan menjadi badan yang dapat memberikan pandangan yang kedua untuk kefahaman dan kepentingan umat Islam seluruhnya. Majlis Fatwa Kebangsaan dan badan bebas ini haruslah bekerjasama dan sentiasa mengadakan dialog serta muzakarh diantara mereka untuk kebaikan agama kita, dan mengelakkan dari agenda politik kepartian dalam sesuatu isu agama yang timbul dari masa ke semasa di tanah air tercinta ini.
Comments
Post a Comment