ALLAH GANTI TUHAN DALAM RUKUN NEGARA ?

Saya rasa hanya segelintir masyarakat bukan Islam yang akan bersetuju untuk meminda Rukun Negara tentang kepercayaan kepada Tuhan menjadi kepercayaan kepada Allah. Mungkin segelintir masyarakat bukan Islam, seperti golongan penganut Katholik dari Sabah yang membawa kes ini ke dalam mahkamah baru-baru ini untuk menggunakan kalimah Allah di dalam risalah mereka, yang akan bersetuju dengan pertukaraan kalimah tersebut, iaitu Tuhan menjadi Allah. Majoriti masyarakat bukan Islam di negara kita ini, saya percaya tidak bersetuju dengan perubahan itu, kerana mereka memahami bahawa Allah adalah Tuhan kepada orang Islam. Mengakui Allah sebagai Tuhan, artinya menafikan bentuk tuhan yang lain, termasuk tuhan Kristian yang membawa konsep Triniti, dan tuhan-tuhan penganut agama lain lagi yang jelas mempunyai tuhan mereka sendiri, yang semuanya itu adalah berbeza konsepnya dengan Allah. Sebaliknya jika orang bukan Islam menerima Allah sebagai Tuhan mereka, berarti bahawa mungkin mereka akan beriman kepada Tuhan Yang Maha Asa itu.

Tradisi dan budaya rakyat serta negara ini haruslah juga diberikan perhatian yang serius dalam membina negara bangsa ini menjadi bangsa yang saling faham memahami, hidup di dalam harmoni dan aman damai. Telah sekian lama, iaitu sejak turun temurun, hal mengenai Tuhan atau Allah ini telah diterima dengan baik oleh berbagai-bagai penganut agama di negara kita. Rukun Negara dirangka begitu rupa adalah untuk difahami dan dihayati oleh semua kaum di negara kita yang mempunyai kepelbagaian agama dan budaya ini, sebab itulah digunakan nama Tuhan untuk semua rakyat Malaysia, dan hal ini diterima dengan baik oleh semua warga negara Malaysia.

Saya rasa rakyat bukan Islam akan merasa tersinggung sekiranya cadangan meminda perkataan Tuhan kepada Allah dalam Rukun Negara ini dilakukan, kerana seperti yang telah saya sebutkan di atas bahawa kita masing-masing mempunyai Tuhan mengikut kepercayaan kita sendiri, dan segala sesuatu yang khusus untuk sesuatu kepercayaan itu haruslah dihormati dan tidak perlu diganggu gugat oleh penganut agama lain.

Sekiranya Presiden PAS, dan disokong pula oleh Mursyidul Amnya, ingin membawa perubahan ini, dua perkara yang harus mereka kemukakan untuk menyokong cadangan ini, pertama ialah mendapatkan pandangan umum ahli-ahli PAS, adakah mereka semua menyokong cadangan ini, dan kedua mendapatkan pandangan orang-orang bukan Islam, adakah mereka juga menyokong pindaan ini?

Sekiranya dua perkara ini tidak dapat dikemukakan dengan jelas, maka segala cadangan seperti yang dikemukakan itu hanya akan menjadi satu kenyataan politik semata-mata, bukan berdasarkan kehendak majoriti rakyat, sama ada Islam atau bukan Islam.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....