Inna Lillah Wa Inna Ilaihi Raji'un

(Kita semua kepunyyan Allah, dan kepada-Nya lah kita kembali)

Shaikh Tantawi Dalam Kenangan

Maha mengetahui Allah SWT yang berfirman di dalam kitab suci al-Quran tentang dua perkara yang tidak diketahui manusia yang akan berlaku kepada dirinya, satu : "apakah yang akan dilakukannya esok hari", kedua : "di bumi manakah ia akan meninggal dunia"(Surah Loqman, ayat 34). Maka Shaikh Tantawi, Imam Besar Al-Azhar, telah dipanggil kembali oleh Allah SWT semasa beliau berada di luar negaranya, iaitu di Saudi Arabia, di kota Riyadh.

Imam besar Tantawi merupakan sahabat karib negara kita. Al-Marhum terkenal sebagai seorang yang sentiasa memandang tinggi dan menghargai segala usaha yang dilakukan negara dan umat Islam untuk agama. Beliau sentiasa terbuka kepada pandangan yang dikeluarkan tentang Islam, dan dalam situasi itulah beliau melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam progresif, dinamik dan moden. Beliau menyanjung tinggi agenda pembangunan Islam di negara kita, terutamanya dalam pembangunan keilmuan Islam yang amat komited kepada ajaran dan nilai akhlak Islam yang sejati, sambil mengintegrasikan sains dan teknologi dalam membangunkan negara, serta kejayaan Malaysia dalam memelihara hak orang Islam dan bukan Islam, hak wanita dan semua kalangan rakyatnya dengan aman damai.

Beliau dalam kunjungan-kunjungannya ke negara kita, sentiasa memberikan perangsang dan galakan yang tinggi tentang agenda keislaman yang kita lakukan, dan berharap semoga banyak usaha yang dapat dilakukan seterusnya untuk kepentingan agama dan umat Islam, serta rakyat kita umumnya.

Keistimewaan beliau ialah tentang ketokohannya sebagai ulamak besar yang mengambil sikap berkecuali, tidak pernah mencampuri urusan di dalam negara kita, terutamanya yang melibatkan politik dalaman, sama ada yang melibatkan pemimpin politik yang tertentu, atau isu-isu politik yang sering mengundang negara Barat dan Amerika menyalak di luar sana untuk menganggu gugat kesetabilan politik dan ekonomi kita. Pendirian Al-Marhum amat jelas, bahawa apa-apa yang dilakukan oleh Kerajaan dan pentadbiran negara kita adalah merupakan urusan dalaman yang tidak seharusnya diganggu oleh orang luar, termasuk ulamak yang terdapat diantaranya yang mengeluarkan fatwa itu dan fatwa ini tentang perkembangan politik dalaman kita, demi kepentingan golongan tertentu yang dipujanya di dalam negara kita ini. Alhamdulillah, Al-Marhum amat menjaga batas-batas akhlak dan adab susila ini, sehingga dengan itu beliau amat dihormati oleh semua kalangan.

Semoga Allah SWT memberi rahmat ke atas rohnya dan menempatkan beliau di dalam syurga bersama-sama para anbiya', syuhada' dan orang-orang soleh. Amin Ya Rabbal-Alamin.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....