KALAU FATIMAH SEKALI PUN MENCURI ....
Saya rasa ramai yang mengetahui tentang ketegasan Islam, seperti yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW untuk menegakkan keadilan. Kita selalu mendengar para alim ulamak kita mentafsirkan banyak ayat Al-Quran tentang keadilan. Keadilan adalah sesuatu yang seharusnya ditegakkan, dilaksanakan, iaitu setelah menjalani proses hukum atau perbicaraan yang adil, maka orang yang salah tetap akan dihukum, walau pun keatas kaum keluarga sendiri, iaitu sekiranya telah dibuktikan seorang itu salah, tidak kira sesiapa, maka ia akan dihukum. Bukankah Rasulullah SAW menegaskan bahawa umatnya menjadi rosak kerana terdapat diskriminasi dalam menjatuhkan hukuman yang adil terhadap pesalah, iaitu maksud baginda, orang yang berkuasa, atau yang berpengaruh, ketua dan sebagainya, tidak akan dihukum sekiranya ia melakukan kesalahan. Baginda menegaskan, kalau tak salah bacaan saya, kata baginda "walau pun Fatimah, anak aku, yang mencuri , nescaya akan aku potong tangannya..."
Semua orang tahu prinsip ini, tambahan pula para ilmuan agama, ulamak besar atau kecil, ulamak Melayu atau Arab, semuanya tahu, apabila ada tuduhan, maka tuduhan itu hendaklah dibuktikan salah atau tidaknya. Hukum agama menetapkan kewajipan yang seharusnya dilakukan di dalam pembicaraan, tentang mencari saksi dan buktinya, dan tentang siapakah yang harus bersumpah di dalam mahkamah untuk membersihkan dirinya dari tuduhan, iaitu perincian tanggung jawab pihak pendakwa dan pihak yang terkena tuduh. Saya serahkan hal ini kepada pakar-pakar syariah dan ilmuan Islam kita untuk menghuraikannya dengan lebeh lanjut dan mendalam. Apakah sesuatu tuduhan itu perlu kita gugurkan berdasarkan "keistimewaan" orang yang dituduh?
Apakah ulamak berhak untuk mengatakan seorang itu tidak bersalah sedangkan kesnya masih di dalam perbicaraan? Atas dasar apakah tuntutn ini dibuat? Atas dasar kawan, kenamaan, pengaruh? Atau kerana apa? Bukankah tuntutan ini akan membuktikan sikap orang yang menuntut sebagai jahil, tidak berilmu atau sengaja membelakangkan proses undang-undang yang sedia berjalan di dalam sesebuah negara itu ?
Saya tidak perlu menjelaskan apakah kes atau tuduhan, dan siapakah dituduh, atau suspek dan orang yang membelanya di luar mahkamah yang saya maksudkan dan yang sedang melakukan perilaku seperti yang saya sebutkan di atas. Saya hanya ingin menjelaskan tentang proses keadilan yang diamalkan di dalam agama kita.
Orang bukan Islam boleh mengikut hukum dunia, seperti beberapa orang ahli Paarlimen Australia, boleh menuntut tuduhan digugurkan. Tetapi bagaimanakah dengan kita orang Islam? Bolehkah kita menuntut supaya tuduhan terhadap seseorang itu digugurkan? Atas dasar apa? Atas dasar lahiriah orang yang dituduh yang kelihatan "tidak bersalah"? Bukankah salah atau tidaknya seseorang itu akan ditentukan oleh mahkamah? Dan sekiranya didapati bersalah oleh mahkamah peringkat bawah, bukankah orang yang didapati bersalah itu berhak mengemukakan rayuan demi rayuan untuk membuktikan bahawa ia tidak bersalah?
Saya tidak membicarakan individu yang tertentu, atau ulamak besar yang tertentu, Cuma yang saya persoalakan dimanakah kebenaran hukum agama itu pada pentafsiran agama dan para ulamaknya? Kenapakah Rasulullah SAW sendiri menegaskan bahawa sekiranya puterinya sekali pun mencuri, maka baginda sendiri akan memotong tangannya?
Amat menghairankan, amat menakjubkan sekali ! Siapakah ulamak "besar" itu dibandingkan dengan baginda Rasulullah SAW ?
Comments
Post a Comment