WARGA EMAS PUTRAJAYA

Sehari suntuk warga emas Putrajaya, lelaki dan wanita, hampir-hampir berkurung di Dewan Masjid Sultan Mizan pada hari ini, Selasa 30 Mac 2010, pertama sekali pada waktu pagi iaitu jam 8.30 hingga 10 diadakan upacara pembukaan Mesyuarat Agong Pertama Persatuan Warga Emas Putrajaya yang dirasmikan oleh YBhg Tan Sri Samsuddin Bin Osman, Presiden Perbadanan Putrajaya. Lepas itu ahli-ahli dapat berehat, sambil minum dan makan juadah.

Lepas rehat, jam 10.30 ada ceramah tentang "Peranan dan Sumbangan warga emas sebagai Penjaga Nilai (Custodian of Values) Dan Pengikat Kasih Sayang Keluarga Dalam Pengukuhan Komuniti" oleh Tuan Haji Syed Barkat Ali bin Syed Ali, Yang Dipertua Persatuan Usia Emas Malaysia. Ceramah dan sesi soal jawab melarat sehingga pukul 12 tengahari dan diteruskan dengan jamuan makan tengahari. Pada jam 12.30 barulah Mesyuarat Agong bermula, iaitu mesyuarat agong yang pertama Persatuan Warga Emas Putrajaya, setelah Persatuan ini didaftarkan pada bulan September 2009. Jam 1.30 Solat Zohor, dan jam 2 bersurai. Barulah semuanya lega dapat balik rumah.

Sayangnya saya hanya dapat hadir dalam upacara Perasmian saja, kerana terpaksa meninggalkan sesi ceramah dan Mesyuarat. Saya rasa, ceramah tentulah amat menarik, dan Mesyuarat pun tentu meriah, kerana Persatuan ini memilih para penerajunya yang pertama. Rugi juga saya terpaksa meninggalkannya.

Cuma sedikit yang ingin saya catatkan ialah tentang beberapa pandangan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Samsuddin yang sedikit sebanyak menyentuh tentang Putrajaya yang diletakkan matlamatnya untuk menjadi Bandar Bistari. Bandar Bistari haruslah bersih, aman, tenang, cantik dan teratur segala-galanya. Penghuninya juga haruslah bistari, iaitu dari segi disiplinnya, mematuhi peraturan, bertimbang rasa, beradab, bertamadun, dan bersikap dengan sikap yang baik dan mulia.

Tan Sri memberi contoh yang mudah tentang Bandar lain dinegara maju seperti negara orang puteh umpamanya. Penduduknya berdisiplin, memandu kereta berhemah dan bertimbangrasa, tidak meletak kereta ditempat yang dilarang parker, dan sebagainya, yang menunjukkan tamadun mereka. Pendeknya mereka amat mematuhi peraturan dan undang-undang. Kita di sini, kalau tidak semua, segelintir penghuninya, kalau boleh nak letak kereta di depan pintu Bank untuk keluarkan wang di ATM, sedangkan dalam masa yang singkat itu pun, dia sebenarnya telah menganggu lalu lintas.

Pendeknya kita di sini, apa yang dilarang itulah yang hendak kita lakukan sangat ! Kita menganggap bahawa segala peraturan yang dikuatkuasakan, termasuk peraturan lalu lintas, lampu isyarat dan sebagainya, hanya menyusahkan saja. Ada peluang langgarkan saja, bukan orang nampak ! Lagi pula banyak orang lain lagi yang melanggar peraturan kan?

Oleh itu dalam keadaan ini, iaitu kalau tidak berdisiplin dan mematuhi peraturan dan undang-undang, maka mungkin jauhlah lagi perjalanan kita untuk menjadikan Bandar Putrajaya sebagai Bandar Bistari, dan penghuninya sebagai penghuni bistari dan berperadaban.

Harap warga emas yang menghadiri Mesyuarat pada hari ini telah mendapat maklumat dan bekalan pemikiran yang banyak dari dua agenda penting yang diadakan pada hari ini, iaitu ucapan perasmian dan ceramah tentang "custodian of values" itu dan Persatuan pula harap dapatlah mengedarkan ringkasan ceramah Yang Dipertuan Persatuan Usia Emas Malaysia itu yang saya rasa bukan hanya bermanfaat untuk warga emas sahaja, kerana anak-anak muda dan orang-orang yang belum memasuki usia emas tentulah lebeh penting lagi mengetahui dan mendidik diri mereka dengan nilai-nilai yang baik ini.

Tahniah kepada para peneraju Persatuan ini, dan tahniah kepada Penaungnya , iaitu Yang Berbahagia Dato' Wan Mohamad bin Syeikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM

Harap semua yang lenguh-lenguh lutut, sakit belakang atau tengkuk dan leteh sehari suntuk itu dapatlah direhatkan pada malamnya, sapu-sapu minyak gamat atau minyak kuda, tidur awal, dan yang sakit jangan lupa makan ubat, insya'Allah sihat dan segar semula untuk menghadapi hari esok, dan hari-hari seterusnya, wahai sekelian warga emas Putrajaya!!

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....