KEGAWATAN POLITIK : HIKMAH ATAU FITNAH ?
Kegawatan politik yang sedang berlaku di negara kita pada masa kini, iaitu berikutan dari kerisis yang dialami di dalam Pakatan Pembangkang, dengan tindakan beberapa orang ahli PKR yang telah keluar meninggalkan Parti Politik mereka, dan kekecohan yang berlaku di dalam Parlimen, yang mengandungi berbagai-bagai pendedahan dan sebagainya, sehingga menghabiskan masa yang panjang semata-mata dalam perbicaraan peribadi dan tektik politik mereka, semuanya ini tentulah ada sebab dan puncanya. Mungkin kita memerlukan analisis yang mendalam kenapakah ahli-ahli parti politik itu bertindak keluar parti, kemudian amat lantang pula mendedahkan segala kepincangan dalam parti dan kelemahan serta tektik kotor bekas para pimpinan Parti mereka.
Saya serahkan kepada para penganalisis politik untuk mengkaji hal ini dan memberikan jawapan untuk rakyat, yang sebenarnya banyak yang masih bingung dan keliru dengan keadaan ini.
Secara sepintas lalu yang dapat saya fikirkan, hal ini berlaku diantara lainnya, adalah berpunca dari sikap kita ketika membuat keputusan untuk mengikut dan menyertai parti politik yang tertentu, iaitu sikap taksub serta fanatik melulu ahli parti kepada parti dan pemimpin tertingginya. Taksub dan fanatik partisan melulu, melampaui had dalam mengikut Parti dan pemimpin parti yang tertentu akan membawa kepada "taqlid buta" "ikutan" yang melulu juga terhadap perjuangan yang didakwa oleh pemimpin parti tersebut sebagai "perjuangan sejati" parti politik itu tanpa memikirkan natijah dan akibatnya kepada "perjuangan politik" yang sebenar. Inilah hakikatnya sesetengah para pengikut parti politik di negara kita dewasa ini, iaitu sikap taksub melampau terhadap parti dan ketuanya, seolah-olah parti dan ketuanya sajalah yang benar dan betul dalam sebarang keputusan dan perancangan parti untuk agenda negara, malah seolah-olah ketua parti itu merupakan seorang yang "maksum" yang tidak mungkin melakukan sebarang dosa dan kesalahan.
Maka dalam keadaan ini, pemimpin parti itu juga akan merasakan bahawa dirinya telah "disembah" oleh para pengikutnya, dan para pengikutnya telah dapat dipengaruhinya sehingga mereka akan "membati buta" mengikutnya, maka pada masa ini ia juga akan meluahkan semuanya kepada ahli parti, menceritakan segala tektik dan agenda parti, tanpa membezakan lagi sama ada agenda itu agenda peribadi, tektik berbau politik melulu tanpa mengandungi unsur-unsur kebenaran, ikhlas atau tidaknya, kerana ia percaya bahawa segala apa yang disebutkannya akan ditelan "bulat-bulat" oleh pengikutnya yang setia.
Sebab itulah apabila berlakunya tindakan melompat keluar dari parti, dan ditambah pula dengan kesedaran terbaru yang dirasakan oleh peribadi tersebut, yang masih mempunyai "harga diri" dan "ikhlas' kepada perjuangan yang sebenarnya, maka berlakulah apa yang berlaku di dalam Parlimen sekarang. Pendedahan, pembongkaran rahsia, membuka pekong, dan seribu satu kes dan isu kepincangan yang diluahkan tentang bekas ketua dan kuncu-kuncunya yang dirasakan amat menyeleweng dan merugikan perjuangan bangsa.
YB Zulkifli Nordin umpamanya memberikan sebab kenapa ia bertindak demikian, iaitu salah satu sebabnya ialah kerana prinsip keagamaannya yang kuat, yang tidak mahu digadaikannya walau pun dijanjikan kemewahan dan sebagainya. YB Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pula menegaskan bahawa ia keluar parti adalah kerana prinsip juga, iaitu setelah melihat kepad perjuangan parti yang tidak sejajar dengan keadilan dan keseksamaan diantara kaum, dan yang bercanggah dengan janji serta prinsip perjuangan yang pernah diketengahkan untuk memenangi Pilihan Raya yang lalu, maka tibalah masanya ia melepaskan diri dari penipuan itu. Cabaran yang mereka lakukan terhadap pimpinan DAP, khususnya Karpal Singh, tentang pendirian DAP dalam isu "negara Islam" juga memperlihatkan betapa isu ideologi yang diperjuangkan oleh parti politik juga merupakan satu isu penting dalam mewujudkan kesepakatan dalam membentuk kerajaan. Dulu DAP menolak konsep negara Islam yang diperjuangkan PAS, dan PAS sendiri tidak dapat menerima DAP dalam sebarang pakatan, tetapi akhirnya perbezaan ini dilupakan sahaja ketika tertubuhnya Pakatan Rakyat. Sekarang ternyata bahawa kembali kepada rasional perjuangan yang asal, mereka mempersoalkan bagaimanakah dua parti yang berbeza ideology politiknya itu akan dapat bersatu dan bekerjasama untuk mentadbir negara yang adil bagi semua rakyat. Inilah hakikat yang mahu dipersoalkan oleh wakil-wakil rakyat yang telah meninggalkan parti mereka itu.
Oleh itu, saya rasa rakyat semua haruslah sedar bahawa dalam perjuangan politik pada masa kini, sifat taksub secara partisan melulu, taat setia membuta tuli kepada Parti, termasuk kepada pemimpinnya juga, haruslah dielakkan, ditapis, dan difikirkan dengan baik dengan menggunakan rasional dan lojik sendiri, supaya ahli politik yang nampak licin dan bijak tidak dapat menagguk di air keruh, dan mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi atau kelompok yang tertentu.
Rakyat juga haruslah sedar bahawa dalam bekerjasama dan bersatu untuk memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara, parti-parti politik haruslah mempunyai ideologi politik yang sehaluan, tidak mempunyai perbezaan yang ketara dan ekstrem, yang satu ke kanan dan yang satu lagi ke kiri, maka bagaimanakah kesepakatan dapat dilakukan untuk memperjuangkan agenda rakyat keseluruhannya?
Hal ini memerlukan pendidikan dan kesedaran yang cukup meluas di kalangan rakyat kita ketika mengambil keputusan untuk menyokong parti politik yang berada di negara kita ini, dan perlu kepada suasana politik yang matang, rasional dan aman. Kita berdoa kepada Allah SWT semoga kegawatan politik yang berlaku sekarang ini mempunyai hikmah yang baik untuk negara kita dan rakyat seluruhnya, iaitu untuk kepentingan agama, bangsa dan negara kita yang tercinta ini.
Comments
Post a Comment