FATWA AL-QARADAWI TENTANG PENGEBOM BERANI

Sebelum saya memetik fatwa daripada ulamak terkenal, Dr Yusuf Al-Qaradawi, tentang hukum pengebom berani mati iaitu perbuatan orang Islam yang bertindak nekad meletupkan dirinya dengan bom yang disalut pada badannya untuk membunuh orang lain, maka saya ingin memberikan sedikit gambaran tentang pembunuhan yang berlaku di dalam dunia pada hari ini, khususnya di dalam dunia Islam.

Hari Sabtu 1 Mei 2010 seluruh dunia menyambut Hari Buruh, dan terdapat juga insiden dalam perarakan hari buruh di seluruh dunia yang menimbulkan keganasan, pertempuran dengan polis dan sebagainya, tetapi tidak seteragis seperti yang berlaku di Somalia.

Umat Islam di Somalia menyaksikan insiden kematian dan pertumpahan darah pada Hari Buruh, dan pertumpahan darah serta pembunuhan ini bukan berlaku di jalan atau di padang, tetapi berlaku di masjid, tempat suci dan rumah Allah, dan berlakunya pula ketika umat Islam sedang menunggu untuk menunaikan ibadat, sembahyang Zohor.

Tidak kurang daripada 30 orang yang mati dalam serangan kejam dan berdarah itu, dan ratusan yang lain cedera. Yang amat menyedihkan pula, yang menyerang dan membunuh bukanlah musuh yang berbeza agama atau bangsa, tetapi musuh sesama Islam, iaitu orang Islam membunuh orang Islam.

Sebabnya? Tak tahu sangat kita, tetapi menurut berita, keganasan ini berlaku kerana permusuhan sesama sendiri disebabkan agenda dan fahaman perjuangan politik yang berbeza. Ideologi politik dan perjuangan yang berbeza menimbulkan sikap dan rasa fanatik partisan yang melampau, dan bila berlaku perbezaan dalam perjuangan masing-masing, maka perbezaan itu boleh menimbulkan permusuhan, maka cara penyelesaiannya ialah bertindak membunuh musuh itu, walau pun terpaksa dilakukan di dalam masjid.

Barang dijauhkan Allah, semoga hal ini tidaklah meresap masuk ke dalam negara kita ini, dan tidak pula menjadi "trend" bagi "perjuangan" politik umat Islam, yang sememangnya kelihatan bahawa umat Islam pada hari ini lebeh suka bermusuhan sesama sendiri, daripada bermusuhan dengan musuh yang sebenarnya.

Insiden membunuh sesama umat Islam ini sebenarnya bukan baru. Telah berlaku sekian lama di dalam negara Islam, orang Islam bertindak membunuh sesama sendiri. Pembunuhan ini sering juga dilakukan dengan "pengebom berani mati" iaitu tindakan seorang "pejuang" yang membalutkan dirinya dengan bahan letupan yang banyak di bawah bajunya, kemudian berjalan sebagai orang biasa di mana-mana sasaran yang hendak dimusnakannya, dan apabila berada di dalam khalayak yang tertentu, maka ia akan bertindak meletupkan dirinya, berkecai daging dan tulang belulangnya, serta membunuh sesiapa saja yang berada berdekatan dengannya.

Orang yang mati di sisinya, mungkin juga kanak-kanak, orang tua atau wanita, tetapi hal itu tidak dihiraukannya, asalkan dia berjaya menjalankan "misinya". Orang yang melakukannya mungkin telah diberitahu oleh orang lain bahawa hal itu adalah merupakan "jihad" yang harus dilakukannya, dan ia akan mendapat syurga dengan mudah.

Saya cadangkan supaya kita di Malaysia segera mengambil satu pendirian tentang pengebom berani mati ini, kerana membunuh diri sendiri, atau membunuh orang lain tanpa hak yang dibenarkan oleh syarak adalah dosa besar, dan Allah tidak mengizinkannya. Jadi tindakan membunuh diri, walau pun seandainya orang yang hendak kita bunuh itu benar-benar musuh kita, pada hukum agama adalah haram dan berdosa, kerana Islam tidak membenarkan sesuatu "cara", walau pun tujuan dan matlamatnya diharuskan. Matlamat tidak mengharuskan cara.

Sila lihat ayat-ayat Al-Quran tentang peraturan-peraturan berperang di dalam Islam, dan hukum Allah terhadap perbuatan membunuh orang lain atau membunuh diri sendiri. (2:190 , 4:29-30, 17:33, 2:178-179) dan lain-lain

Dr Yusuf Al-Qaradawi telah agak lama mengemukakan fatwanya tentang hukum orang yang membunuh diri untuk membunuh orang lain, seperti yang disebutkan di atas, iaitu yang dikenali sebagai suicide bomber ini.

Beliau dalam buku koleksi fatwanya yang terbaru sekali lagi menegaskan bahawa perbuatan pengebom berani mati di bumi Israel oleh orang Islam adalah harus. Beliau berhujjah bahawa perbuatan ini harus dilakukan ialah kerana " masyarakat Israel semuanya adalah masyarakat tentera, lelaki dan perempuannya, dan orang Palestin adalah bertindak menentang pendudukan Israel, oleh itu hak untuk mempertahankan tanah air adalah merupakan hak yang diizinkan syarak, dan pengebom berani mati itu tidak menggunakan orang lain, malah mengorbankan dirinya sendiri untuk menakutkan musuhnya itu"

Berdasarkan alasan inilah beliau memberikan fatwanya bahawa hanya para pengebom berani mati di Israel itu sahaja yang dibenarkan Sayarak, tidak di tempat lain, menurut yang saya fahami dari nas fatwanya itu (Fatawa Mu'asirah, juzuk 4, halaman 795, 2008, Doha)

Beliau telah memberikan kupasannya yang amat baik tentang adab-adab peperangan di dalam Islam, dan hukum Syarak tentang perbuatan membunuh, tetapi di dalam isu pengebom berani mati di Israel seperti yang dijelaskannya itu mungkin menimbulkan beberapa pertanyaan, umpamanya kita boleh bertanya : benarkah semua anggota masyarakat Israel itu adalah masyarakat tentera? Bagaimanakah keadaannya sekiranya pengebom berani mati itu yang membunuh dirinya lalu menyebabkan kematian kepada kanak-kanak, orang tua dan lemah, atau orang luar yang bukan terdiri daripada orang Israel?

Hal ini mungkin agak tepat sekiranya dilihat kepada perbuatan membunuh diri oleh tentera Jepun di dalam peperangan dunia kedua yang dikenali sebagai Kamikaze, iaitu ketika tentera Jepun, khususnya juruterbang jet pejuangnya yang bertindak menjatuhkan pesawatnya ke atas kapal perang pihak Bersekutu di laut, malah terdapat tentera Jepun yang menerjunkan dirinya ke dalam serombong kapal perang Bersekutu untuk memusnahkan kapal perang musuh.

Tentara Jepun yang bertindak begitu memang menujukan sasarannya kepada armada angkatan laut musuh yang begitu banyak, dan pihak tentera Jepun melakukan gerakan membunuh diri ini semata-mata ditujukan kepada musuh, kerana kapal perang itu memang penuh dengan tentera musuh, maka Jepun ingin memusnahkan seberapa banyak kapal perang musuhnya itu, dan kerana itulah mereka bertindak nekad menjatuhkan pesawat perang mereka ke atas kapal perang musuh itu dan memusnahkannya.

Tetapi perbuatan pengebom berani mati di Israel yang tidak berjaya menembusi benteng pertahanan tentera Israel untuk memasuki ke kem tentera Israel untuk membunuh mereka dengan cara meletupkan dirinya itu, sering juga melakukan perbuatan ini di pasar, di stesyen bas, di kedai kopi, restoran dan sebagainya. Dalam keadaan ini timbullah persoalan di atas, iaitu apakah hukumnya pula dengan pembunuhan ini yang ada kalanya membunuh orang awam yang tidak berdosa, dan mereka bukannya tentera? Malah satu persoalan lain akan timbul juga di sini, iaitu apakah "tujuan" untuk membunuh musuh ini boleh dilakukan dengan membunuh diri sendiri sebagai "cara"nya, dalam kaedah "matlamat mengharuskan cara? (Al-Ghayah Tubarriru Al-Wasilah)

Semua orang mengiktiraf dan tahu bahawa Dr. Yusuf Al-Qaradawi adalah seorang yang pakar dalam fatwa, malah pemikirannya amat terkini. Tetapi dalam hal ini, timbul persoalan di kalangan ulamak lain, kerana beliau menjustifikasikan perbuatan membunuh diri untuk membunuh musuh.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....