HUKUM MEMBUNUH

Hari Sabtu 1 Mei 2010 seluruh dunia menyambut Hari Buruh, dan terdapat juga insiden dalam perarakan hari buruh yang menimbulkan keganasan, pertempuran dengan polis dan sebagainya, tetapi tidak seteragis seperti yang berlaku di Somalia.

Umat Islam di Somalia menyaksikan insiden kematian dan pertumpahan darah pada Hari Buruh, dan pertumpahan darah serta pembunuhan ini bukan berlaku di jalan atau di padang, tetapi berlaku di masjid, tempat suci dan rumah Allah, dan berlakunya pula ketika umat Islam sedang menunggu untuk menunaikan ibadat, sembahyang Zohor.

Tidak kurang daripada 30 orang yang mati dalam serangan kejam dan berdarah itu, dan ratusan yang lain cedera. Yang amat menyedihkan pula, yang menyerang dan membunuh bukanlah musuh yang berbeza agama atau bangsa, tetapi musuh sesama Islam, iaitu orang Islam membunuh orang Islam.

Sebabnya? Tak tahu sangat kita, tetapi menurut berita, keganasan ini berlaku kerana permusuhan sesama sendiri disebabkan agenda dan fahaman perjuangan politik yang berbeza. Ideologi politik dan perjuangan yang berbeza menimbulkan sikap dan rasa fanatik partisan yang melampau, dan bila berlaku perbezaan dalam perjuangan masing-masing, maka perbezaan itu boleh menimbulkan permusuhan, maka cara penyelesaiannya ialah bertindak membunuh musuh itu, walau pun terpaksa dilakukan di dalam masjid.

Barang dijauhkan Allah, semoga hal ini tidaklah meresap masuk ke dalam negara kita ini, dan tidak pula menjadi "trend" bagi "perjuangan" politik umat Islam, yang sememangnya kelihatan bahawa umat Islam pada hari ini lebeh suka bermusuhan sesama sendiri, daripada bermusuhan dengan musuh yang sebenarnya.

Insiden membunuh sesama umat Islam ini sebenarnya bukan baru. Telah berlaku sekian lama di dalam negara Islam, orang Islam bertindak membunuh sesama sendiri. Pembunuhan ini sering juga dilakukan dengan "pengebom berani mati" iaitu tindakan seorang "pejuang" yang membalutkan dirinya dengan bahan letupan yang banyak di bawah bajunya, kemudian berjalan sebagai orang biasa di mana-mana sasaran yang hendak dimusnakannya, dan apabila berada di dalam khalayak yang tertentu, maka ia akan bertindak meletupkan dirinya, berkecai daging dan tulang belulangnya, serta membunuh sesiapa saja yang berada berdekatan dengannya.

Orang yang mati di sisinya, mungkin juga kanak-kanak, orang tua atau wanita, tetapi hal itu tidak dihiraukannya, asalkan dia berjaya menjalankan "misinya". Orang yang melakukannya mungkin telah diberitahu oleh orang lain bahawa hal itu adalah merupakan "jihad" yang harus dilakukannya, dan ia akan mendapat syurga dengan mudah.

Saya cadangkan supaya kita di Malaysia segera mengambil satu pendirian tentang pengebom berani mati ini, kerana membunuh diri sendiri, atau membunuh orang lain tanpa hak yang dibenarkan oleh syarak adalah dosa besar, dan Allah tidak mengizinkannya. Jadi tindakan membunuh diri, walau pun seandainya orang yang hendak kita bunuh itu benar-benar musuh kita, pada hokum agama adalah haram dan berdosa, kerana Islam tidak membenarkan cara itu, walau pun tujuan dan matlamatnya diharuskan. Matlamat tidak mengharuskan cara.

Satu Fatwa yang boleh juga dibincangkan oleh para ulamak dunia Islam hari ini ialah fatwa yang dibuat oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi tentang pengebom berani mati yang bergerak di Israel. Mengikut Dr Yusuf Al-Qaradawi bahawa perbuatan itu adalah harus, kerana " masyarakat Israel semuanya adalah masyarakat tentera, lelaki dan perempuannya, dan orang Palestin adalah bertindak menentang pendudukan Israel, oleh itu hak untuk mempertahankan tanah air adalah merupakan hak yang diizinkan syarak, dan pengebom berani mati itu tidak menggunakan orang lain, malah mengorbankan dirinya sendiri untuk menakutkan musuhnya itu"

Persoalannya di sini, benarkah semua anggota masyarakat Israel itu adalah masyarakat tentera? Bagaimanakah keadaannya sekiranya pengebom berani mati itu menyebabkan kematian kanak-kanak, orang tua dan lemah, atau orang luar yang bukan terdiri daripada orang Israel?

Dan persoalan yang lebeh sukar lagi, apakah tujuan untuk membunuh musuh ini boleh dilakukan dengan membunuh diri sendiri?

Saya tahu bahawa Dr. Yusuf Al-Qaradawi adalah seorang yang pakar dalam fatwa, malah pemikirannya amat terkini. Tetapi dalam hal ini, timbul persoalan di kalangan ulamak lain, kerana belkiau menjustifikasikan perbuatan membunuh diri untuk membunuh musuh.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....