Tembok Cina Pecah

Negara-negara yang pernah berperang, rakyatnya mempunyai semangat yang kental dan kuat. Contoh yang paling dekat dengan kita ialah Korea dan Jepun. Jadi kalau hendak diambil iktibar, maka Jepun telah dapat mengalahkan Malaysia dalam piala Thomas dengan penuh semangat dan bergaya. Korea dapat memecahkan tembok negara Cina dalam piala Uber, juga dengan semangat yang berkubar-kubar. Malaysia amat pemurah dan baik, kerana itu tidak ada semangat berjuang, semuanya disuap, diberikan subsidi, dimanjakan, dan kerana kemurahan hatinya itulah semangatnya lemah, tidak melawan, malah amat murah hati menghadiahkan kemenangan mudah kepada Cina dalam separuh akhir Piala Thomas.

Dari awal-awal lagi, sekiranya kita tidak cukup persiapan, janganlah letakkan harapan seolah-olah piala Thomas telah berada dalam genggaman kita. Sana sini cakap pasal nak bawa balik piala Thomas ke Malaysia, sehingga orang yang mendengar, termasuk para peminnya mungkin, merasakan amat mudah nak rampas piala itu.

Hal ini bagaimana pun mungkin disedari kemudiannya oleh para pemain, lalu mereka merasa amat tertekan, dan akibatnya mereka longlai, menyerah, dan kalah mudah. Tak tau nak salahkan siapa. Pihak PBM, jurulatih dan orang2 yang bertanggungjawab tidak membuat analisis yang halusi kah dalam menilai dan menjangka mutu permainan para pemain kita? Mereka saja yang lebeh tahu, oleh itu apabila meereka yang mula2 bercakap untuk merampas piala Thomas, maka orang ramai mempercayainya, kerana orang awam menganggap bahawa mereka boleh bercakap demikian tentulah setelah mengkaji mutu permainan kita, siapakah pemain kita jika dibandingkan dengan pemain negara lawan, berapa umur pemain kita, dan sejauh manakah kekuatan mental dan fizikal mereka dan sebagainya.

Kalaulah katakana setahun yang lalu, mereka bercakap seperti selepas kalah, iaitu untuk mengkaji dimanakah silapnya kita, alangkah baiknya, sekurang2nya setahun yang lalu kita telah dapat membuat persiapan, menyediakan pelapis dan sebagainya.

Bagaimana pun TAHNIAH lah atas kesedaran yang diluahkan. Semoga kita akan kuat kembali, walau pun negara kita tidak pernah berperang seperti Korea dan Jepun !

Menyebut pasal perang atau tidaknya yang membangkitkan semangat perjuangan dalam jiwa rakyat sesebuah negara itu sebenarnya sebagai bahan jenaka saja ! Ada sebab lain yang tentunya menjadikan kita semakin menurun dan mundur ke belakang dalam segala bidang, termasuk dalam medan yang paling mudah kita ukur, iaitu bidang sukan. Kita selalu menoleh ke belakang, bernostalgia tentang kecemerlangan kita dalam sukan bola sepak, juga dalam bidang Badminton. Kita cemerlang satu ketika dulu, tetapi sejarah itu amat sukar kita ulangi. Orang baru, seperti Jepun dan Korea, tiba2 muncul amat cekal dan cemerlang. Malah dalam sukan sepak takraw pun, tiba2 Korea muncul, dan kita pernah kalah kepada mereka, kalau tak salah saya.

Hal ini membawa saya berfikir kepada bidang2 lain dalam kehidupan kita rakyat Malaysia keseluruhannya. Saya pergi ke kedai jahit baju Melayu, hari ini, 15 Mei 2010, saya diberitahu oleh tukang jahit, bahawa sekarang ini sukar nak dapat rakyat tempatan untuk menjahit, terpaksa dapatkan orang luar, terutamanya dari Indonesia. Saya Tanya ke manakah perginya orang Malaysia? Dia tak tau nak jawab.

Saya masuk ke sebuah kompleks beli belah yang besar dan mewah, orang yang bekerja ialah orang tempatan, jurujual wanita yang menjaga bahagian kasut wanita, mau tak mau saja melayan saya dan isteri saya. Pergi ke kauntar juruwang untuk membayar, tiba2 juruwang itu sedang lena tak sedar dunia keliling, saya sampai terpaksa mengetuk2 mejanya beberapa kali, baru dia terpinga2 bangun untuk menerima wang bayaran saya ! Saya pun terasa bahawa kalau beginilah keadaannya cara rakyat kita, maka amat jauhlah lagi kita untuk maju dan berbudi, ramah mesra dengan pelanggan seperti yang ditunukkan oleh rakyat negara jiran kita, atau negara2 ASEAN di sekeliling kita.

Baru2 ni ketika menonton TV dalam program perhimpunan pengakap Asia, ketika sesi temuramah dengan para pengakap Malaysia, budak2 itu bercakap entah apa2 tak tau, campur bahasa Inggeris kononnya tetapi hanya kata "so" "then" "go" saja, bahasa Melayunya tak teratur. Tetapi bila ditemuramah pengakap Indonesia, bahasanya bagus, isi percakapannya bernas !

Jadi nampaknya, jangan cakapkan lagi isu Mat Rempit, buang bayi, dan gejala2 negatif lainnya, dalam hal yang sekecil ini pun kita nampaknya semakin menurun, surut ke belakang.

Kita haruslah mulai berfikir sekarang apakah yang tidak kena dengan pendidikan dan pembangunan rakyat kita. Di manakah silapnya, dan apakah masalahnya, kerana hanya dengan mengetahui dimanakah silap dan apakah masalahnya, barulah kita boleh mulai berfikir pula bagaimanakah cara mengatasinya, dan barulah dapat dicari jalan ketika kita hendak memperbaikinya.

Sementara kita mendapat jawapan bagi perkara2 yang tersebut di atas, nampaknya kita akan teruslah berundur ke belakang, sedangkan orang lain semakin maju ke hadapan.

Masa saya menulis ini, kita belum tahu apakah rakyat Indonesia yang pernah berperang dengan Belanda dengan menggunakan buluh runcing akan dapat menembusi tembok Cina yang kebal itu dan akan dapat merampas piala Thomas, yang disebut2 sebelum ini akan kembali ke Malaysia !

Sama2lah kita menunggu !

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....