Tembok Kebal China
Tiba masanya Indonesia mencuba untuk merampas Piala Thomas dari China, maka nampaknya tembok China itu terlalu kukuh untuk Indonesia merobekkannya. Tembok itu begitu kebal dan perkasa, dan Indonesia terpaksa menggigit jari, kalah dengan agak mudah. Bukit Jalil dan Senayan nampaknya sama saja bagi para penonton Indonesia, di Senayan mereka memenuhi setiap inci stadium, namun di Bukit Jalil juga mereka membanjiri setiap ruang stadium, sorakannya sama, tariannya juga sama, yang kurang hanya satu, mereka tidak dapat juga menggugat lawan, dan lawan begitu kental serta kuat semangat dan kemahiran menangkis bulu tangkis.
Satu perakar saja yang mungkin diambil perhatian oleh BAM dan Kementerian Sukan kita, satu perturan merayakan kemenangan haruslah dibuat. Pemenang yang mendapat mata terakhir kemenangannya dalam gelanggang badminton itu, tidaklah seharusnya mengambil tindakan merayakan kemenangannya dengan membuka baju, mendedahkan badannya, kerana perbuatan itu tidak sesuai dan tidak bersopan dalam konteks budaya dan tradisi kita di sini.
Kita sebagai tuan rumah, mungkin boleh membuat peraturan ini apabila kita menjadi tuan rumah bagi sukan ini pada masa yang akan datang. Sukan atau apa saja aktiviti lain yang diadakan di negara kita haruslah sentiasa menghormati dan meraikan adat tradisi dan budaya kita di sini, dan orang lain haruslah menghormatinya.
Selamat bersiap kepada BAM dan Kementerian, semoga dari jumlah jutaan orang muda kita dari seluruh negara, akan dapatlah dipilih sepuluh, lima belas orang untuk dilatih menjadi pemain yang berbakat dan berkalibar serta bersemangat tinggi untuk mencapai impian kita merampas Piala Thomas dalam pusingan yang akan datang. Piala itu tidak memberi makna apa-apa, tetapi semangat waja dan sifat daya tahan dan daya lawan secara sihat dan penuh semangat kesukanan itulah yang hendak kita lihat pada generasi kita yang akan datang.
Komen bernas dan memberi pengajaran, pendidikan yang baik. Syabas
ReplyDelete