Kenapa Bukan Islam Tidak Harus Menjadi Peguam Syar'i?
Islam merupakan syariah, akidah dan akhlak. Ketiga-tiga elemen ini merupakan tiga komponen asasi bagi seorang Muslim, dan ketiga-tiga komponen ini haruslah menjadi syarat bagi seorang Islam dalam menjalankan tugasnya dalam semua urusan agama dan dunia.
Oleh itu sekiranya seorang itu ingin menjadi pengamal undang-undang Syariah, iaitu undang-undang yang diwahyukan oleh Allah SWT dan dijadikan teras dalam kehidupan beragama manusia, maka ia mestilah mencukupi tiga komponan agama itu, iaitu syariah, akidah dan akhlak.
Syariah adalah merupakan undang-undangnya, akidahnya mestilah mengikut akidah Islam dan akhlaknya juga merupakan akhlak dan cara hidup Islam yang berasaskan kepada syariah dan akidahnya itu. Orang Islam sentiasa terikat dengan faktor bentuk dan niat ini dalam menghayati kehidupannya, kerana tanpa kedua-dua faktor ini maka ia sebenarnya merupakan orang yang tidak dapat menghayati sepenuhnya segala kerjayanya. Ia hanya melakukan perbuatan lahir bagi sesuatu yang tidak diiktikadkan di dalam hatinya sebagai satu komitmen kepada Allah, selain daripada komitmen kepada profesiannya.
Kita akan dapat memahami isu ini dengan lebeh mudah lagi sekiranya kita melihat kepada elemen-elemen ibadat di dalam Islam. Ibadat dalam Islam seperti sembahyang, puasa, haji dan sebagainya, semuanya mempunyai dua elemen, "rupa bentuk" dan "penghayatan" keimanan dan kerohaniannya.
Sembahyang merupakan perbuatan, iaitu rukun-rukun perbuatan seperti berdiri tegak bagi yang boleh berdiri, kemudian rukuk, sujud dan seterusnya sehingga seorang yang bersembahyang itu memberi salam. Semuanya ini meerupakan bentuk dan perbuatan "sembahyang". Tetapi dengan bentuk lahiriah ini sahaja, segala gerak geri dan perbuatan itu tidak menjadi ibadat sembahyang sekiranya perbuatan itu tidak disertai dengan "niat" dalamannya untuk Allah SWT yang memerintahkan orang Islam bersembahyang dengan segala syarat rukunnya..
Kombinasi perbuatan dan gerak geri sembahyang yang disertai dengan niat hanya untuk Allah inilah sahaja maka perbuatan ini menjadi ibadat sembahyaang. Di sinilah lahirnya kepentingan akidah keislaman itu, iaitu seseorang yang hendak berniat untuk melakukan sesuatu kepada Allah dan kerana Allah, maka ia terlebeh dahulu perlulah mengikut akidah Islam, iaitu menjadi seorang Islam.
Seorang yang membasuh muka, membasuh tangan, menyapu kepala dan membasuh kaki, perbuatan ini bukan secara otomatik menjadi perbuatan mengambil "wuduk" sekiranya ia tidak melakukan segala perbuatan ini dengan niat untuk berwuduk dan dilakukan kerana Allah SWT sebagai seorang Muslim.
Seorang yang hendak menjadi peguam syari'i, maka syarat utamanya ia hendaklah meyakini akan kewibaan undang-undang syarak itu, iaitu undang-undang dari Allah. Dan seorang yang meyakini akan syariah Allah haruslah menyakininya dan mengambilnya sebagai akidahnya. Ia menjadi pengamal undang-undang syariah, bukalah hanya dari segi ilmu pengetahuan dan kelayakan akademiknya sahaja, kerana bagi Islam "ilmu" dan "amal" itu adalah satu, ia mempunyai ilmu syariah, maka ia haruslah beramal dengan syariah itu. Tanpa kombinasi ini seorang itu mungkin merupakan seorang munafiq sahaja, atau hanya melakukan seesuatu berdasarkan eleman luaran dan lahiriah sahaja, bukan dari penghayatan dari kepercayaan dan kayakinannya kepada Allah terhadap sesuatu yang dilakukannya itu.
Berdasarkan hal ini, maka seorang pengamal undang-undang syariah mestilah merupakan seorang Muslim yang memegang akidah Islam, mengakui Allah sebagai Tuhannya yang maha esa, Nabi Muhammad sebagai Rasul-Nya yang terakhir, dan Al-Quran merupakan kitab Allah SWT.
Kita semua mengetahui bahawa semua perbuatan baik kita adalah merupakan ibadat sekiranya mencukupi beberapa syarat penting, iaitu yang paling pentingnya ialah niat kerana Allah SWT. Bagaimana hendak melaksanakan satu tugas pada jalan Allah dan syariah-Nya sekiranya seseorang itu tidak beriman kepada Allah yang maha esa, dan tidak mengakui bahawa Nabi Muhammad adalah nabi yang terakhir?
Berdasarkan hal inilah, maka kita dapat menjustifikasikan bahawa seorang peguam syari'e mestilah seorang yang beragama Islam. Untuk beramal dengan syariah, seorang itu haruslah meyakini syariah itu sebagai akidah dan agamanya, bukan menceburkn diri dalam bidang agama Allah, sedangkan ia tidak beramal kepada Allah dan tidak mepraktikkan amalan mengikut akidah Islamiah.
Comments
Post a Comment