JAUHI GANGGUAN TENTANG "RITUAL" AGAMA MASING-MASING

Dalam tulisan ini, saya hanya akan menyentuh satu isu sahaja daripada kenyataan Raja-Raja Melayu tidak lama dahulu, iaitu tentang kedudukan Islam sebagai agama negara yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan. Dalam masyarakat kepelbagaian agama ini, tidak seharusnya timbul gangguan dan persoalan dari pengikut agama yang tertentu tentang ibadat dan ritual agama lain. Dalam perayaan Thaipusam dua tiga hari ini, malah semenjak berpuluh-puluh tahun yang lalu, tidak ada sesiapa pun yang mempersoalkan tentang acara "sembahyang" dan ritual para pengikut agama Hindu yang dilakukan dalam perayaan tersebut. Demikian juga dalam perayaan para pengikut agama Sikh, Budha, Kristian dan lain-lain lagi.

Sejarah negara kita mengemukakan banyak fakta dan peristiwa yang memugkinkan pihak Raja-Raja Melayu mengingatkan rakyat kepelbagaian kaum supaya tidak bertindak melampau menafikan kedaulatan agama Islam di negara ini. Raja Melaka, Parameswara, mengikut catatan sejarah, memeluk Islam sebagai lambang pengislaman kerajaan Melayu, dan permulaan sejarah negara di bawah naungan Raja Melayu ini tidak seharusnya dicabar dengan swenang-wenangnya.

Prinsip perundangan dan perlaksanaan Islam selaras dengan adat istiadat Melayu yang telah diterima berdekad-dekad lamanya di negara kita seharusnya diambil sebagai satu kepunyaan rakyat semua kaum, kerana perlaksanaan Islam secara adil itu tidak pernah menyentuh hak dan kepentingan serta kebebasan beragama rakyat bukan Islam.

Sejarah juga membuktikan bahawa Kerajaan Melaka pernah menerbitkan teks undang-undang yang bernama "Risalah Hukum Kanun" berasaskan undang-undang Islam tentang perkahwinan, muamalat, keterangan, kehakiman dan jinayat. Risalah ini merupakan dokumen penting tentang perlaksanaan Islam di dalam masayarakt Tanah Melayu, untuk menjamin kesetabilan dan keadilan pemerentahan bagi masyarakat berbilang kaum yang sedia wujud pada ketika itu.

Sejarah juga mencatatkan bahawa terdapat beberapa buah negeri Melayu yang telah menjadikan Islam sebagai dasar perlembagaan negeri tersebut, seperti yang telah dilakukan di negeri Johor pada tahun 1895 dan Trengganu pada tahun 1911. Tetapi sayangnya fakta sejarah ini hanya tinggal dalam catatan sejarah, tanpa dijadikan asas maklumat dan pendidikan rakyat umum, sehingga seolah-olah Tanah Melayu ini merupakan satu bumi asing dari kita semua, sehinggakan orang Melayu sendiri juga telah dilihat sebagai "pendatang" di negaranya sendiri.

Sejarah Tanah Melayu baru, yang diberikan nama "Malaya" oleh penjajah, juga memperlihatkan pengiktirafan yang sejati tentang status agama Islam, iaitu ketika parti Perikatan mengemukakan memorandum kepada Lord Reid, Pengerusi Suruhanjaya Deraf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Perlembagaan Merdeka 1957) mencadangkan supaya agama Islam dijadikan agama negara Malaya, dan sebagai balasannya yang adil maka prinsip ini tidak menyentuh hak warga negara bukan Islam untuk menganut agama mereka. Cadangan inilah yang telah diterima dan dimaktubkan di dalam Perlembagaan negara kita.

Kesedaian dan komitment tiga kaum terbesar Malaya ketika menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada Kerajaan British, iaitu tentang kedudukan agama Islam dan kebebasan bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka dalam aman dan harmoni, merupakan satu persefahaman asas yang menjadi prinsip pemerentahan negara ini. Hal inilah juga yang merupakan satu pendirian bersama yang dapat ditafsirkan sebagai kontrak sosial dalam beragama di negara ini, disamping kontrak sosial di dalam aspek-aspek yang lain lagi, yang tidak saya sentuh di sini.

Kontrak sosial tentang agama ini adalah merupakan persetujuan bersama diantara rakyat keseluruhannya tentang kandungan persetujuan yang telah diterima untuk diperuntukkan di dalam Perlembagaan kita. Oleh itu amatlah malang sekali jika terdapat pihak-pihak yang cuba menafikan tentang wujudnya kontrak sosial ini ketika negara kita mencapai kemerdekaan dulu, atau berusaha untuk tidak memahaminya sebagai satu wadah keharmonian bangsa di dalam negara kita pada saat ini. Golongan inilah yang kelihatannya sedang mencuba untuk mencabar prinsip agama Islam di negara kita yang telah pun menjadi amalan dan diterima baik oleh semua kaum ketika negara kita mencapai kemerdekaannya.

Keputusan yang dikeluarkan oleh Raja-Raja Melayu amatlah kena dan tepat pada masanya ketika masyarakat berada di ambang perpecahan, dan menghadapi keadaan yang runcing, terutamanya sehingga terheret isu-isu agama yang remeh dan tidak sepatutnya ditimbulkan di dalam masyarakat kita yang bertamadun ini.

Institusi Raja Melayu merupakan institusi yang mempertahankan Islam di semua negeri dalam Malaysia kerana Raja-Raja merupakan ketua agama Islam. Istilah "Islam" ini pula tidaklah seharusnya dipertikaikan sebagai amalan ritual semata-mata, iaitu satu konsep yang cuba disempitkan pentafsirannya seperti yang sedang dilakukan oleh sesetengah golongan di dalam masyarakat kita.

Adalah amat diharapkan bahawa proses dan usaha mempertingkatkan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia, dan usaha mengemaskinikan latihan dan pengeluaran tenaga manusia yang berkemampuan di dalam pentadbiran agama akan dapat dilipat gandakan lagi untuk melahirkan institusi pentadbiran, kehakiman, pendidikan dan semua institusi agama yang lebeh berwibawa dan cekap sesuai dengan perkembangan negara yang pesat membangun.

Pendeknya, kedudukan Islam di Malaysia merupakan satu teras kewujudan institusi Raja Melayu, dan hal ini amat terserlah kepada dunia kerana Yang Dipertuan Agong sendiri ketika mengangkat sumpah jawatan, diantara lainnya telah berikrar akan mempertahankan agama Islam. Sebagai pemerentah tertinggi negara, ikrar yang dilafazkan ini amatlah bermakna sekali bagi rakyat dan negara.

Oleh itu, apabila Raja telah bertitah, maka tidaklah seharusnya akan timbul lagi sebarang gerakan melampau yang bertujuan mempolitikkan agama mengikut kepentingan peribadi, atau kumpulan yang tertentu sehingga meletakkan Islam di persimpangan jalan yang merbahaya.

Kita dalam keadaan sekarang tidak memerlukan golongan pelampau, termasuk golongan pelampau di dalam agama, iaitu kumpulan pelampau agama dari semua agama yang diamalkan di Malaysia. Hal ini disebutkan kerana di dalam apa saja agama yang wujud di dalam dunia ini akan terdapat golongan pelampau dan fanatik melulu di dalam agama tersebut. Golongan agama pelampau dan taksub inilah yang seharusnya kita lenyapkan daripada berleluasa di dalam negara kita yang selama ini telah berjaya menghayati kehidupan aman dan tenteram, penuh toleransi dan harmoni.


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....