KENAPA INTERLOK HARUS DIHARAMKAN?
Anak-anak kita punya persepsi dan pemikiran sendiri ketika mempelajari sesuatu subjek di sekolah. Pelajaran mereka merupakan ilmu yang baru, dan ilmu itu sentiasa di jelaskan oleh guru mereka, maka penjelasan guru ini menambahkan lagi latar belakang apa-apa yang mereka pelajari.
Novel Interlok sebagai sebuah karya sastera oleh penulis yang memahami sejarah dan telah membuktikan komitment yang tinggi terhadap keharmonian masyarakat berbagai etnik di negara kita telah di jadikan teks sastera di sekolah atas dasar bahawa novel ini mengandungi tema kepelbagaian kaum yang mendiami bumi Malaysia ini.
Sastera adalah merupakan wadah penting untuk mempelajari sejarah, cita rasa, sosiologi, psikologi dan perasaan sesuatu bangsa di dalam sebuah negara itu. Oleh itu sastera merupakan satu wadah yang memupuk kecintaan para pelajar terhadap negaranya, dan novel ini cuba mengetengahkan tentang asal usul mereka sebagai satu maklumat penting untuk memahami situasi dan kehidupan mereka sekarang.
Tidak semestinya apa-apa yang diragukan oleh orang dewasa, tambahan pula yang tidak begitu memahami fungsi sastera, karya fiksyen, atau yang hanya segelintir sahaja, mesti menjadi isu sehingga sesuatu dasar dan pertimbangan Kerajaan itu seharusnya di kesampingkan.
Tindakan emosi berdasarkan perasaan seharusnya dijauhkan oleh orang dewasa dan rakyat yang matang, kerana tindakan ini merupakan satu perilaku yang ingin memaksakan rasa emosi dan pemikiran yang tidak rasional itu ke atas masyarakat umum supaya turut sama dengan tindakan itu, terutamanya oleh masyarakat umum yang tidak pun pernah membaca karya sasteera, apa lagi membaca dan membuat analisis yang adil terhadap karya Interlok ini.
Saya cadangkan supaya diadakan penjelasan yang meluas tentang kontraversi ini, dan diterangkan konteks isu yang ditimbulkan itu dengan seterang-terangnya, malah karya ini hendaklah dilihat dari sudut pendidikan dan pelajaran, bukan dari sudut partisan antara Kerajaan dan pembangkang. Sesi-sesi dialog hendaklah diadakan, dan peserta yang berdialog itu pula haruslah menerima pandangan yang terbaik, rasional dan adil, bukan berdialog dengan rasa presangka dan pandangan yang tidak fleksibel.
Isu Interlok bukanlah isu politik sempit yang membawa kepada demonstrasi jalanan, membakar bahan yang tidak berdosa, membangkitkan sentimen yang melulu, tetapi isu ini adalah isu pendidikan universal, bukan isu perkauman sempit, kerana kalau sesuatu itu dipandang dari sudut kaum tanpa memahami konteksnya, maka semua kaum akan sentiasa bangun membantah dan membakar emosi serta sentimen kaum dalam segala rancangan pembangunan bangsa dan negara kita, termasuk karya sastera seperti ini.
Orang Melayu dan umat Islam sendiri sentiasa digambarkan dalam berbagai-bagai wajah jelek dan buruknya di dalam karya sastera, novel, cerpen dan gambaran media umumnya, tetapi orang Melayu dan umat Islam sering juga melihat gambaran itu dengan pemikiran yang positif untuk kebaikan bangsa dan umat itu sendiri, terutamanya terhadap sesuatu hakikat sejarah yang tidak boleh dibohongi.
Salahkah penulis karya sastera yang menulis novelnya tentang satu fakta sejarah yang berlaku di dalam negara kita ini? Salahkah umpamanya kita menggambarkan askar Jepun sebagai askar yang kejam dan tidak berperi kemanusiaan ketika Jepun menduduki negara kita pada masa penaklukan mereka terhadap Tanah Melayu dulu, iaitu ketika dalam peperangan, yang juga amat kejam?
Saya harap novel Interlok tidak di haramkan dari teks sastera sekolah, dan tidak perlu di ubah atau di pinda. Hanya penulisnya saja yang berhak melakukan sebarang pindaan atau pengguguran sesuatu fakta, tetapi dari kunjungan saya beberapa kali ketika melawat Datuk Abdullah Hussain, ternyata bahawa keadaannya amat lah uzur, kita seharusnya menggembirakannya, menceriakannya dengan penuh damai, bukan menyusahkannya atau menimbulkan sesuatu yang menghiriskan perasaannya.
Alhamdulillah... saya amat bersetuju dengan Dato.. Sepatutnya kaum yang di sebut di dalam buku interlok tersebut merasa bangga dan bersyukur, kerana perubahan yang di alami mereka dari masa mula datang keMalaya dengan keadaan yang dhaif tapi di ats kecekalan, usaha semangat dan ketekunan mereka maka mereka sekarang berada di tahap yang amat membanggakan Malaysia.Itulah sebenarnya yang hendak di gambarkan oleh penulis, Dato Abdullah Hussain. Syabas kepada penulis dan syabas juga kepada kaum yan telah di gambarkan kejayaanya dalam buku Interlok
ReplyDelete