AMBIL YANG JERNIH-Tun Dr Mahathir dan Tuan Guru Datuk Nik Aziz

Saya tidak mahu bicara politik kepartian, kerana Tun Dr Mahathir (TDM) dan Tuan Guru Datuk Nik Aziz (TGNA), kedua-duanya adalah ahli politik dalam parti politik yang berbeza. Oleh itu apabila mereka berdua berdebat atau saling tuduh menuduh, maka sedikit sebanyaknya adalah bertitik tolak dari ideologi politik masing-masing. Dan oleh kerana mereka berdua berbicara tentang konflik di antara umat Islam, sambil menyentuh pula beberapa isu agama, maka selain dari isu politik, isu agama juga turut disentuh, termasuk yang berkaitan dengan hukum hakam yang mirip kepada fatwa agama. Maka tentang isu agama inilah yang saya rasa kita boleh turut berbicara.

Dalam kebanyakan jawapan yang diterangkan oleh TGNA sebagai menjawab komen TDM, iaitu yang berdasarkan kepada sejarah kedatangan Islam dan keperibadian Nabi Muhammad SAW serta beberapa kesimpulan yang dibuat oleh TGNA tentang Islam pada umumnya adalah benar.

Soal Nabi ditegur malaikat, dua era zaman yang dikenali sebagai Jahiliah dan Islam yang dihubungkan dengan zaman Nabi dan sebelumnya, Nabi Muhammad menggunakan agama dalam perjuangannya, Nabi Muhammad tidak harus dipertikaikan perjuangannya, semuanya adalah kenyataan yang betul.

Cuma apabila TGNA menyamakan perjuangannya dengan Nabi, sokongan kepada partinya sebagai sokongan kepada Islam (Tidak menyokong Jahiliah) perjuangannya yang juga tidak harus di pertikaikan kerana perjuangan Nabi Muhammad tidak harus dipertikaikan, Nabi Muhammad menggunakan agama, oleh itu TGNA adalah menggunakan agama dalam perjuangannya seperti Nabi Muhammad, dan banyak lagi perkara yang dikaitkan dengan Nabi dan Islam yang dibawakan oleh baginda, maka dalam hal ini saya rasa kita perlu berhati-hati dan bercermat membuat perbandingan antara kita dengan Nabi, antara perjuangan kita dengan perjuangan Nabi, antara konsep Jahiliah dengan tindakan orang Islam pada hari ini yang boleh dimasukkan ke dalam kategori Jahiliah itu, terutamanya kerana kenyataan ini dikeluarkan dalam konteks politik kepartian seratus peratus ketika dalam pilihan raya kecil Tenang.

Nabi Muhammad membawa agama Islam,iaitu agama wahyu Allah SWT, Nabi Muhammad adalah Nabi terakhir, Nabi Muhammad menentang kaum kafir jahiliah yang tidak mengakui kenabiannya dan kitab suci yang dibawanya, iaitu Al-Quran. Tetapi kita pada hari ini menerima Islam, semuanya yang Islam adalah mengucap dua kalimah syahadah, bersaudara, kita percaya kepada rukun iman, amalkan rukun Islam, kita tidak mengaku diri kita sebagai Nabi, dan kita tidak harus menghukum orang Islam yang lain sebagai orang Jahiliah, seolah-olah kita sekali lagi melakar sejarah seperti Nabi dan membawa agama Islam sekali lagi kepada umat manusia yang berlarutan di dalam syirik dan sesat.

Yang lebeh perlu kita berhati-hati bahawa apa saja parti politik yang kita tubuh, maka parti itu tetaplah parti, bukan agama yang diwahyukan oleh Allah. Benar kita bermatlamatkan agama, tetapi orang Islam lain juga memperjuangkan Islam, kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama, cuma pendekatannya mungkin berbeza, malah dalam masyarakat orang Islam sendiri pun, terdapat dua orang Islam yang mengetahui tentang hukum halal haram, dosa pahala mengikut Islam, namun terdapat diantara keduanya yang melakukan dosa, kedua-duanya adalah manusia biasa, bukan maksum, tetapi tidak mungkin berlaku hukum menghukum antara keduanya kepada yang lain sebagai jahiliah atau sebaliknya.

Saya cuma ingin mengeluarkan rasa cinta dan sayang saya kepada sesama Islam, dan ingin pula menghilangkan salah faham dan rasa keliru umat Islam sendiri dalam hal ini, kerana persoalan ini bukanlah persoalan kecil, malah kadang-kadang mungkin menyentuh akidah kita sendiri.

Saya kenal dan rapat dengan TDM, kenal dan mesra dengan TGNA, pernah mengadakan seminar di Kelantan dengan kerjasama yang rapat dari TGNA semasa saya di IKIM dulu. Saya percaya kedua-dua tokoh ini mempunyai kelemahan dan kekuatan masing-masing, tetapi kelemahan dan kekuatan itu tidaklah sampai seperti kelemahan musuh Nabi Muhammad yang menentang baginda pada zaman kedatangan Islam, maka hl ini boleh mempengaruhi pemikiran umum, terutamanya apabila TGNA bercakap pasal agama, orang tentu amat menghormatinya.

Bagi saya apabila kita berbicara tentang agama, maka kita haruslah faham bahawa kita bukan Nabi, walau pun kita waris Nabi. Bila bercakap tentang politik, terutamanya sesama Islam di negara kita ini, yang semuanya adalah umat yang satu, maka kita tidaklah harus mengatakan bahawa perjuangan kita saja yang Islam, yang lainnya tidak Islam, apa lagi ketika kita membicarakan tentang parti politik, maka janganlah kita memberikan persepsi bahawa parti kita itu adalah sama dengan "agama Islam".

Saya mohon maaf kepada semua saudara-saudara saya umat Islam di negara kita ini kerana mengeluarkan pandangan ini, kerana saya mempunyai pandangan saya sendiri yang wajib saya sampaikan, namun sekiranya saya salah, maka saya memohon keampunan daripada Allah SWT, dan sekiranya terdapat sedikit kebenaran, maka marilah kita renung dan fikir-fikirkan. Wallahu A'lam

Comments

  1. Asalamualaikum WBT
    It Has Been Awhile To Quench The Thirst From Your River Of Knowledge.

    Your Precise Explanation Above Is One Of The Best Comment I Ever Read During This Turmoil. (Tun Dr M Blog OR PAS Blog)

    Thank You Ayahanda. Your Wisdom Is Needed In Malaysia & The World. Hope You Had A Fruitful Trip In Turkey Recently.
    Jazzakallah.
    Ikhlas Azuddin Jud Ismail

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....