KENAPA RAKYAT ARAB MEMBERONTAK?

Rakyat Tunisia mulai memberontak, dan Presidennya terpaksa meletakkan jawatan. Rakyat Mesir melihat saudara-saudra mereka di sana berjaya memaksa Presidennya meletakkan jawatan, maka mereka juga merasa perlu berbuat demikian untuk mendesak Presiden mereka, Hosni Mubarak, mengundurkan diri.

Rakyat Arab di beberapa buah negara yang lain juga mulai sedar akan kuasa mereka, maka berlakulah beberapa gerakan pendahuluan seperti itu di Jordan, Yemen, Algeria dan lain-lain, yang menyebabkan banyak ketua negara Arab berada dalam kecemasan, sehingga memaksa beberapa orang dari mereka memecat Perdana Menteri, menteri atau melancarkan beberapa pembaharuan yang dirasakan akan menteteramkan hati dan perasaan rakyat.

Inilah sebenarnya perubahan yang berlaku di kalangan rakyat, yang sebelum ini tidak kelihatan sangat akan suhu panasnya yang mendidih seperti ini.

Ketika saya berada di Mesir semasa menyambung pelajaran di sana sekitar akhir-akhir tahun eanm puluhan dan seterusnya mungkin sehingga berpuluh-puluh tahun kemudiannya, rakyat Arab mempunyai budaya taat setia yang amat taksub kepada ketua negara. Mereka menganggap ketua negaranya sebagai pemimpin agong yang seharusnya dipertahankan sehingga ke titisan darah yang terakhir. Kalau ada pungutan suara untuk melantik Presiden sepanjang hayat, maka kelihatannya undi yang menyokong hampir seratus peratus.

Hosni Mubarak masih mempunyai perasaan itu, malah telah pun mencadangkan supaya anaknya, Gamal Mubarak, bakal menggantinya memerintah Mesir.

Saya teringat semasa saya berada di sana, mata wang Mesir masih teguh. Satu Paun Mesir bernilai kira-kira 5 RM, tetapi sekarang satu ringgit Malaysia, hanya beberapa sen sahaja, tidak sampai pun satu paun Mesir.

Gaji pekerja mereka saya percaya tidak pernah naik banyak. Dulu masa pelajar-pelajar Malaysia pergi ke Universiti, kami menaiki bas di kelas pertama di hadapan, tetapi pensyarah kami, berkejaran menaiki bas kelas dua di belakang.

Kami dulu pun faham akan keadaan rakyat di sana. Tidak boleh bersuara menentang Presiden atau pemerintah, apa lagi menentang Kerajaan, kerana para penentang itu akan di hukum dengan berbagai-bagai cara.

Ikhwanul-Muslimin lahir dalam penentangan yang agak keras, sama seperti gerakannya menentang kerajaan British, berjihad, dan akibatnya banyak pemimpin mereka di hukum penjara dan dibunuh.

Gerakan ini terus menjadi pemberontak bawah tanah, terutamanya setelah diharamkan. dan tekanan pemerintah menjadi lebeh kejam, Ikhwan dan Pemerintah berada di kedudukan yang ekstrem, bermusuhan dengan kuat sekali.

Kadar kemiskinan begitu ketara, pengangguran semakin meningkat, ekonomi meruncing, saki baki kekayaan negara tidak di bahagikan dengan adil kepada rakyat.

Keadaan inilah yang sekian lama membara dalam hati rakyat, dan pemberontakan yang berlaku di Tunisia, umpama pemetik api yang dipetik ke atas rumbun api yang sudah di siram minyak, lalu api pun marak menyala dengan hebatnya ke seluruh negara Mesir.

Ketua-ketua negara yang sudah berumur lanjut (lapan puluhan) saperti di Tunisia dan di Mesir ini, sememangnya masih dipertahankan oleh Amerika Syarikat dan regim Tal Aviv, kerana mereka ini merupakan penyambung dasar luar Amerika Syarikat terhadap percaturan politik di Timur Tengah, ketika Israel menjadi semakin rakus dan ganas. Hal ini disedari oleh rakyat, sebab itulah mereka menentang campur tangan Obama dan kuncu-kuncunya di Barat dalam perjuangan mereka sekarang, walau pun Obama nampaknya pada masa-masa yang terakhir ini mulai melonakkan nada suaranya seolah-olah menyokong perjuangan rakyat Mesir.

Pendeknya, kalau kita membuat analisis secara yang mudah ini, maka kita dapat membuat kesimpulan bahawa politik negara Arab seperti Mesir ini amat tidak adil kepada rakyat, kemiskinan dan kejahilan tidak mendapat perhatian, kebajikan rakyat juga di abaikan, lunas-lunas demokrasi tidak dilaksanakan dengan baik, kebebasan rakyat di kongkong, tahanan politik semakin banyak di dalam penjara, tekanan ini semua menjadi amat ketara apabila rakyat semakin sedar dan berani menentang pemerintah mereka, dan rakyat pula sedar akan pengaruh kuasa asing dalam pentadbiran negara mereka.

Maka mereka memberontak, tanpa menghiraukan lagi kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan negara. Matlamat mereka hanya satu, iaitu Hosni Mubarak haruslah mengangkat kaki meninggalkan singgahsananya. Itu saja yang mereka mahu... .

Amerika Syarikat, Eropah dan Tel Aviv mungkin merasa cemas, siapakah pemerintah Mesir selepas Hosni Mubarak ? Golongan Islam? Merekan beranggapan bahawa golongan Islam adalah sama seperti pemerintah Iran, akan menjadi musuh Barat dan regime Israel.

Hal ini tentunya akan mengheret Mesir kepada satu kedudukan yang tidak menentu, walau pun pemberontakan dan kecelaruan dalam negara Mesir ini telah berlarutan memasuki minggu yang ke-3.

Rakyat sanggup menderita untuk mencari kebebasan mereka, sanggup tidak makan dan minum asalkan mereka dapat melihat cahaya matahari yang baru. Sanggup mengorbankan ekonomi mereka asalkan mereka dapat mencapai matlamat yang mereka perjuangkan.

Apakah yang akan terjadi seterusnya? Hanya Allah saja yang Maha Mengetahui.Kita hanya dapat bersyukur kerana anak-anak kita para pelajar di sana telah dapat diselamatkan, keluar dari unggun apai yang sedang marak
itu.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....