EKORAN DEMONSTRASI DI TANAH SUCI
Malam ini saya mendengar berita dari TV Malaysia yang agak mengganggu perasaan dan fikiran. Berita menyebut bahawa Kerajaan Saudi sedang menimbang akan mengenakan tindakan ke atas jemaah Malaysia akibat dari tindakan segelintir rakyat kita yang mengadakan perhimpunan di Makkah dan Madinah serentak dengan demonstrasi di negara kita Bersih 3.0 yang lalu.
Kita tidak mengetahui apakah tindakan yang akan dikenakan, dan hal ini terpulanglah kepada negara tuan rumah yang memiliki dua Tanah Suci itu, sama ada akan mengenakan larangan dari menunaikan haji atau umrah bagi rakyat kita seluruhnya, atau mengurangkan kuota haji yang diberikan kepada kita selama ini, atau tindakan lain, wallahu a'lam.
Namun begitu, apa2 tindakan yang diambil sekali pun, kita merasa amat sedih dan kesal, kerana masjid suci yang tinggal kepada kita orang Islam di dunia ini hanyalah dua buah itulah sahaja, Masjidul Haram di Makkah dan Masji Nabawi di Madinah. Satu lagi masjid suci kini berada di tangan Yahudi maha zalim, iaitu Al-Masjidul-Aqsa di Baitul Maqdis. Maka sekiranya kita duharamkan daripada mengunjungi Makkah dan Madinah, ertinya kita akan kehilangan arah dan matlamat untuk menziarahi ke dua tanah suci itu.
Kalau ditakdirkan, Kerajaan Saudi menegah jemaah kita seluruhnya daripada menunaikan umrah sebulan atau dua sahaja pun, maka akan kerinduanlah banyak umat Islam di negara kita untuk pergi mengadap Ka'abah dan menziarahi Makam Rasulullah SAW itu, apa lagi sekiranya larangan itu berlaku di dalam bulan Puasa yang akan datang ini, maka akan terputuslah niat begitu banyak jemaah kita yang saban tahun pergi berpuasa sebulan di tanah suci itu.
Barang dijauhkan Allah hendaknya dari pada berlakunya tindakan tegas ini, dan barang dilembutkan Allah SWT hati pihak pimpinan negara Saudi agar tidaklah mereka mengambil tindakan tersebut, sungguh pun Saudi biasanya amat sensitif dengan perbuatan cemar yang dilakukan oleh para jemaah di sana, yang ternyata amat menyimpang dari niat asal para jemaah untuk melakukan ibadat dengan kyusuk tawadu' kepada Allah SWT, iaitu sebagai tujuan suci umat Islam pergi ke sana.
Saya amatlah berharap bahawa Kerajaan Saudi mungkin dapat juga menimbangkan bilangan orang yang melakukan perbuatan yang tidak diingininya itu semasa demonstrasi di Makkah dan Madinah. Mungkin bilangan mereka hanya puluhan orang, iaitu satu jumlah yang kecil sahaja, dan peratusan yang amat tercorot jika dibandingkan dengan bilangan umat Islam di Malaysia yang berjumlah jutaan orang. Tambahan pula perbuatan mereka itu bukannya mendapat restu jemaah Malaysia yang lain, yang berada di tanah suci pada hari itu, malah mungkin sebahagian besarnya tidak langsung bersimpati dengan tindakan mereka itu.
Oleh itu saya berdoa semoga Kerajaan Saudi akan menimbangkan fakta dan angka ini, dan mungkin hanya akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dengan tindakan yang amat dilarang itu, sekiranya pihak Kerajaan Saudi mempunyai sebarang kaedah dan jalannya untuk mengenal pasti mereka yang terlibat itu. Jutaan umat Islam di Malaysia akan bertanya adakah kerana tindakan sekumpulan kecil itu maka umat Islam seluruhnya di Malaysia akan terpaksa menanggung "dosa" dari perbuatan mereka itu?.
Bagaimana pun sekiranya semua kita umat Islam di Malaysia terpaksa juga menaggung "dosa" yang mereka lakukan itu, maka hal ini samalah seperti kata pepatah kita "kerana seekor kerbau membawa lumpur maka semuanya turut terpalit" "sebab nila setitik, rosak susu se belanga" dan kita haruslah menerimanya kerana Allah SWT pun telah menyatakan hal ini di dalam Surah Al-Anfal ayat 25 yang bermaksud "
"Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan saja akan menimpa orang2 zalim diantara kamu secara khusus, (tetapi akan menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah amat berat azab seksa-Nya"
Jika sudah ditakdirkan berlakunya tindakan dan balasan yang demikian, maka kita haruslah mengambil pelajaran yang amat berguna dari peristiwa ini, malah dari ayat yang tersebut di atas itu Allah SWT mengingatkan kita bahawa perbuatan jahat itu bukan hanya akan membawa bencana kepada orang2 yang melakukannya sahaja, malah akan menimpa ke atas masyarakat umumnya, termasuk kepada orang2 yang baik dan tidak berdosa, dan hal ini banyak berlaku kepada kaum2 Nabi2 yang dulu seperti yang dapat kita baca sejarahnya di dalam Al-Quran juga..
Setiap orang Islam, bukan sahaja diwajibkan menjauhkan dirinya dari perbuatan yang dilarang Allah, malah berkewajipan mencegah perbuatan itu daripada merebak di dalam masyarakatnya. Itulah mesej penting ayat ini, dan itulah juga mesejnya sekiranya kita umat Islam seluruhnya di negara ini terpaksa menanggung akibat dari perbuatan segelintir saudara2 seagama kita yang mencemarkan kesucian Makkah dan Madinah itu.........
NASTAGHFIRULLAHA WA NATUBU ILAIHI
NASTAGHFIRULLAHA WA NATUBU ILAIHI
Comments
Post a Comment