MUZAKARAH : ELOK BATALKAN !

Saya setuju dengan pendirian Presiden PAS bahawa muzakarah yang dibicarakan dengan heboh sekarang ini diantara PAS dan UMNO itu haruslah dibatalkan sahaja. Kalau diteruskan juga dalam segala prejudis dan keritikan yang tidak beretika sekarang ini, maka dengan sendirinya muzakarah itu tidak lagi bersifat keislaman dan amat menyimpang dari  etika serta nilai akhlak Islam.

1. Islam di negara kita ini bukan HANYA kepunyaan UMNO atau PAS, tetapi kepunyaan semua umat Islam tanpa mengira keturunan dan fahaman politik masing2, oleh itu sebarang muzakarah, dialog, diskusi, seminar, persidangan, wacana, konvensyen dan namakan saja apa2 perbincangan lain tentang Islam, maka semua pihak berhak dan sepatutnya mengambil bahagian, bukan UMNO atau PAS sahaja. 

2. Pendirian PAS yang menyatakan bahawa PAS hanya akan  mengadakan muzakarah dengan NGO's memang boleh diterima, kerana hal itu adalah haknya, tetapi tidak membawa erti bahawa  PAS sahaja yang berjuang untuk Islam sehingga dengan itu PAS sahaja yang boleh menentukan sebarang isu mengenai Islam dan agendanya.

3. Kalau PAS boleh bermuzakarah dengan NGO's, maka haruslah diterima bahawa UMNO juga boleh bermuzakarah dengan NGO's kerana UMNO juga mempunyai agenda pembangunan Islam, malah telah berjuang untuk Islam sejak puluhan tahun kewujudannya lagi.

4. Untuk mencari kebaikan, terlepas dari persoalan politik kepartian, maka Islam tidak haruslah dipolitikkan, dan tidaklah seharusnya merupakan satu perjuangan politik yang diberikan gambaran seolah2 terdapat pihak yang membolot perjuangan Islam, dan terdapat sebuah parti politik Melayu sahaja yang memperjuangkan Islam, sedangkan parti lain tidak mempunyai agenda keislaman. Islam tidak seharusnya dilebalkan sebagai Islam ala PAS, ala UMNO, ala Melayu, Arab dan sebagainya, malah Islam adalah Islam yang satu; syariah, akidah, rukun Islam, rukun Iman, ihsan, nilai akhlak dan keseluruhannya adalah mempunyai persamaan dari segi prinsip dan dasar umumnya.

5.    Alangkah baiknya kalau dalam keadaan sekarang, ketika Islam telah banyak disalah ertikan, dipolitikkan sebegitu rupa, maka umat Islam sendiri keseluruhannya yang seharusnya mengadakan muzakarah sesama sendiri, secara ilmiah dengan fakta dan data yang berasaskan penyelidikan dan kajian menyeluruh tentang pembangunan Islam di negara kita ini.

6.     Mungkin gabungan dari beberapa buah institusi pengajian tinggi, badan2 bukan Kerajaan yang bebas, tokoh2 akademik dan profesional, para pendakwah dan aktivis masyarakat dan Islam yang ikhlas, perlu berganding bahu untuk mengadakan muzakarah atau dialog ini tanpa sebarang prejudis dan berat sebelah, malah muzakarah diadakan dengan penuh jujur untuk mengupas dan berbincang tentang apakah pengertian Islam yang sebenarnya, apakah agendanya, apakah kemajuan dan kelemahannya selama ini, apakah perjuangan Islam dalam dunia ibadat, dunia akhirat,  fenomena fizikal dan spiritualnya, aktiviti pendidikan, perbankan, kewangan, kerohanian, media, sosial, politik  dan sebagainya, dan bagaimanakah Islam dapat dibangunakn dengan lebeh baik lagi di dalam negara kita yang secara umumnya telah pun terkehadapan dalam penghayatan dan perlaksanaan Islam ini.

7.     Islam bukanlah hanya ritual dan fardu 'ain semata-mata, malah Islam merangkumi segala hal ehwal kehidupan keseluruhannya. Islam bukan hanya terletak kepada lambang dan retorik, tetapi perlaksanaanya yang praktikal dan menjadi amalan harian di dalam masyarakat. Istilah2 Kebangsaan, Sekular, Tidak Islamik, Tak Mahu Islam, ekstrem, radikal, sempit dan sebagainya haruslah dianalisa dengan baik, bukan menjadi permainan bibir untuk tuduh menuduh tanpa bukti dan asas yang kukuh. Orientasi pembicaraan tentang Islam ialah orientasi ilmu, bukan propaganda dan emosi melulu.

8.    Kesimpulannya, dalam keadaan sekarang, ketika hampir semua negara Islam di dunia ini mengalami kerisis identiti, kerisis pemikiran, konflik diantara mazhab, pertumpahan darah sesama sendiri, pembunuhan dan sebagainya, maka telah tiba masanya pihak masyarakat Islam yang ikhlas dan jujur, penuh insaf dan sedar, dengan penuh ilmu dan akhlak, haruslah segera bangun membetulkan keadaan dan menunjukkan jalan yang benar, malah menjelaskan dengan sepenuhnya apakah Islam itu yang sebenarnya dan apakah agenda, world view nya, kerana Islam tidak lagi hanya dapat dipelajari melalui pentas2 politik, pentas2 kempen pilihan raya, iklan2 jual ubat, kalangan yang memperalatkan agama untuk kepentingan tertentu, atau melalui orang2 yang taksub politik,  tertutup akal mindanya, kerana Islam adalah kepunyaan seluruh ummah, maka muzakarah ummah saja yang dapat menjernihkan keadaan dan membetulkan pemikiran ummah juga.

9.   Batalkan saja muzakarah politik, kerana muzakarah ini mungkin hanya akan membawa lebeh banyak kekeliruan dan perpecahan, dan sekali gus menghapuskan kesepaduan dan kesatuan umat Islam di negara kita ini, terutamanya ketika negara kita berada di ambang pilihan raya, maka sebarang muzakarah mungkin hanya akan digunakan sebagai alat untuk memancing undi, tujuan politik yang sempit dan tidak sesuai dengan matlamat syariah dan cara hidup Islam yang sebenarnya. Cukuplah dengan perpecahan dan kecelaruan yang berlaku selama ini di dalam masyarakat kita. Cukuplah !

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....