HUBUNGAN MALAYSIA DAN SAUDI: HARAP TIDAK TERJEJAS


Saya berada di Saudi Arabia dari tahun 2005 hingga 2008 sebagai menjalankan tugas di sana menjadi Duta Malaysia. Perhubungan dan persefahaman di antara Malaysia dan Saudi adalah amat rapat sekali. Setiap kali bertemu Raja Abdullah, baginda menyebut dua perkara, pertama ialah tentang jemaah haji Malaysia yang beradab, berdisiplin dan berilmu. Baginda menjelaskan maksudnya, iaitu jemaah haji Malaysia, termasuk jemaah yang mengerjakan umrah, sentiasa menjaga adab sopan, menghormati peraturan syariah dan undang2, menunjukkan mentaliti yang bertamadun dan berilmu dalam menjalankan segala syi'ar agama dalam ibadat haji atau umrah.

 Kalau terdapat sesetengah jemaah negara lain sering menunjukkan kelakuan yang tidak sopan, tidak menghormati undang2 negara Saudi, tetapi jemaah Malaysia sentiasa menjaga adab tertib, tingkah laku dan tidak menyakitkan hati orang lain, apa lagi menyentuh kesucian tanah suci dengan tindakan mereka yang bercanggah dengan tata susila dan sensiviti tanah suci, Makkah dan Madinah.

Kedua, Baginda sering melahirkan rasa kagum dengan perkembangan dan amalan umat Islam di Malaysia, yang menggabungkan diantara amalan agama dan dunia, meninggikan syi'ar agama dengan amal ibadat dan dalam masa yang sama berusaha meningkatkan kemajuan teknologi dan industri yang tinggi, sehingga Malaysia muncul di mata dunia sebagai negara Islam yang baik dari sudut pembangunan agama dan tamadun sejajar dengan perkembangan dunia global dan moden hari ini, termasuk dalam bidang teknologi, industri, toleransi kaum dan agama, dan sebagainya.

Menyedari hakikat inilah, Raja Abdullah telah mengarahkan para pegawai Kementerian Pelajaran negaranya supaya berusaha menghantar  para pelajarnya untuk menyambung pelajaran ke Malaysia, iaitu dalam bidang pengurusan agama dan dunia, terutamanya untuk menjadi pelapis pimpinan negara yang akan datang. Mengikut para pegawai yang menemui saya di Kedutaan Malaysia Riyadh, Raja Abdullah menyedari bahawa selama ini Saudi telah menghantar para pelajarnya ke Barat, terutamanya ke Amerika Syarikat.

Oleh itu Baginda telah menyediakan seribu biasiswa pada permulaannya untuk para pelajar Saudi datang menyambung pelajaran di Malaysia, dalam berbagai2 bidang, terutamanya bidang profesional dan teknologi serta industri, dengan mengharapkan juga bahawa para pelajar tersebut akan dapat menghayati dan memahami pembangunan yang seharusnya dilakukan dalam bidang kerohanian, fizikal, dunia dan akhirat yang cuba dilakukan di negara kita. Hasil dari keperihatinan Baginda inilah maka sekarang kita menyaksikan ribuan pelajar Saudi yang sedang menyambung pelajaran mereka di negara kita, alhamdulillah.

Sebelum musim haji setiap tahun semua perwakilan negara Islam akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa Saudi Arabia yang diketuai oleh Menteri Haji dan Wakaf. Pertemuan rombongan Malaysia dengan pihak berkenaan sering mengambil masa yang singkat sahaja, kadang2 tidak melebihi setengah jam, kerana kita tidak mempunyai banyak masalah tentang jemaah kita dari segi tata tertib, tempat tinggal, makanan, pengangkutan, perubatan, ilmu penmgetahuan mengerjakan haji dan umrah, dan sebagainya, yang semuanya telah disediakan dengan rapi oleh Kerajaan kita melalui Lembaga Tabung Haji, iaitu satu Lembaga yang tidak wujud di negara2 Islam yang lain. Para Jemaah haji dan umrah Malaysia mempunyai persiapan yang cukup untuk menunaikan Haji atau Umrah, berilmu dan mengetahui selok beloknya, di samping tidak menganggu pihak berwajib Saudi sendiri dalam masalah termpat tinggal, adab sopan, disiplin dan sebagainya..

Berdasarkan hal ini, saya memerhatikan bahawa Saudi dan Malaysia mempunyai hubungan dan ikatan kerjasama yang amat rapat sekali sejak lama lagi, dan ikatan itu menjadi bertambah erat dengan tertabalnya Raja Abdullah menjadi Raja Saudi Arabia sejak tahun 2004, dan keberangkatan Yang Di Pertuan Agong menunaikan haji dalam tahun 2007, serta lawatan2 para pemimpin negara kita ke sana dari masa ke semasa.

Oleh itu saya merasa agak terganggu dengan perkembangan terbaru yang berlaku di tanah suci baru2 ini iaitu peristiwa yang belum pernah berlaku dalam hubungan Malaysia dan Saudi, ketika para warga Malaysia telah menganjurkan satu tunjuk perasaan di tanah suci serentak dengan peristiwa tunjuk perasaan yang berlaku di tanah air kita yang dikatakan perhimpunan Bersih 3.0.

Saya amat mengharapkan agar Kerajaan kita akan segera mengambil tindakan proaktif untuk menjelaskan hal ini kepada Kerajaan Saudi Arabia, khususnya kepada Baginda Raja Saudi sendiri, supaya hal yang berlaku ini tidak disalah tafsir dan akan menjadi satu persepsi yang negatif kepada Kerajaan Saudi Arabia, malah mungkin menimbulkan salah tanggapan pihak berkuasa Saudi kepada jemaah dan rakyat Malaysia yang selama ini amat positif dan berdisiplin ketika berada di tanah suci semasa mengerjakan haji atau umrah.

Perhubungan keagamaan dan perniagaan, pendidikan dan pekerja mahir diantara kita dengan Saudi adalah amat baik dan meningkat maju dari tahun ke tahun, sehingga banyak para pekerja mahir kita dalam semua bidang diterima baik oleh Saudi sebagai pekerja yang juga diormati kerana kepakaran dan kebolehan mereka, malah sebagai pekerja yang profesional dan bertata tertib dalam menjalankan tugas di sana.

Umat Islam Malaysia telah menunjukkan penghormatan yang tinggi kepada dua tanah suci yang menjadi lambang keagongan agama dan Rasulullah SAW seerta para Nabi dan Rasul utusan Allah. Umat Islam Malaysia dari segala peringkat mempunyai niat untuk mengerjakan haji dan umrah di tanah suci, dan amat merinduinya, kalau boleh setiap tahun mahu mengunjunginya. Oleh itu maka jemaah Malaysia yang menunggu untuk mengerjakan haji telah meningkat bilangannya dengan banyak, sehingga ramai diantaranya yang terpaksa menunggu berbelas tahun untuk mendapat giliran bagi menunaikan haji. Malah bilangan jemaah Umrah kian bertambah dari tahun ke tahun. Semuanya menyedari bahawa tanah suci, Makkah dan Madinah, amatlah dirindui, dan perlu di ziarahi untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dan menyaksikan sejarah perjuangan Rasulullah SAW serta susah payahnya Baginda menyebarkan agama yang benar itu ke seluruh pelosok dunia, bermula dari tanah tempat darah baginda di Makkah al-Mukarramah.

Maka hasrat dan niat ribuan umat Islam  ini, janganlah dihampakan oleh perbuatan segelintir manusia warga negara kita, yang mungkin telah terlupa diri, atau terpengaruh dengan ajakan nafsu melulu, sehingga masalah yang tidak seharusnya di bawa ke tanah suci itu, tiba2 di letupkan di sana dalam keadaan yang amat jijik sekali, menyimpang dari inspirasi wahyu Allah SWT dan menyentuh kedudukan tanah suci yang menjadi kiblat umat Islam seluruh dunia ini.

Marilah kita semua berdoa agar Kerajaan kita akan segera membawa air penawar untuk membersihkan kekotoran yang mungkin telah dijelmakan oleh perbuatan segelintir rakyat kita yang lalai itu, semoga Allah SWT juga akan memberi taufik dan hidayah-Nya kepada mereka dan kita semua, menyedari yang mana kaca dan yang mana permata, yang mana benar dan yang mana salah, yang manakah yang haq dan yang manakah yang batil.

Amin, Amin, Ya Rabbal 'Alamin.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....