Apa Bezanya Antara Orang Mengutuk Kita

Dan

Kita Mengutuk Sesama Sendiri ??


 

Ketika kita membicarakan tentang penghinaan yang kita rasakan, iaitu penghinaan terhadap kita umat Islam dan agama kita, ketika musuh atau orang bukan Islam menghina, mengata nista dan memfitnahkan kita, maka apakah bezanya ketika kita sendiri mengutuk sesama Islam, mengata nista kepada saudara-saudara kita orang Islam, malah dengan itu menghina Islam dan penganutnya. Apakah bezanya? Apakah bezanya penghinaan yang dilemparkan kepada kita dengan penghinaan yang kita lemparkan sesama sendiri, sesama agama, dan sesama umat? Apakah bezanya?

Apakah bezanya kesakitan rasa dan hati kita ketika orang lain menghina kita, dengan kesakitn dan kepedihan hati kita kita dihina dan dinista sesama sendiri??

Tentulah tidak ada bezanya orang luar atau orang bukan Islam menghina Islam sebagai agama kolot dan kuno dengan tuduhan kita kepada sesama kita sebagai orang Islam yang tidak beragama, tidak berakhlak, tidak bermoral dan sebagainya.

Tentu tidak ada bezanya sekiranya orang dari kaum lain mengutuk para pemimpin kita orang Melayu dengan kutukan kita terhadap pemimpin kita sendiri sesama kaum dan bangsa sendiri semata-mata kerana terdapat perbezaan pandangan dan ideologi politik sempit yang bersarang di dalam kepala kita sendiri.

Apa bezanya kutukan peribadi terhadap Tun Mahathir umpamanya yang kita sumpahkan sebagai "tersungkur" di tanah asing, dengan kutukan orang lain terhadap beliau?

Kita tidak menunjukkan sebarang nilai moral dan adab ketika kita mengata nista sesama Islam, bagaimanakah kita akan mengharapkan orang lain menghormati nilai-nilai moral dan akhlak yang seharusnya kita pertahankan itu?

Tanyalah sebarang tok alim, tuan guru, para ulamak kita, malah keseluruhan orang Islam yang tidak belajar agama untuk ijazah tingginya pun, semuanya mengetahui bahawa kita harus beradab dan beretika dalam sebarang percakapan kita, dalam perselisihan pandangan dan pendapat, dalam berikhtilaf, semuanya membaca dan memahami adab al-ikhtilaf, tetapi kemanakah kita letakkan adab sopan, budi bahasa sopan santun yang kita fahami dan seharusnya kita amalkan itu? Ke mana perginya adab ketika kita berbicara dengan orang lain, atau menegur dan mengingatkan sesama sendiri, sesama agama dan bangsa?

Sedangkan orang bukan Islam, orang agama lain, orang Barat yang tidak beragama itu pun, memahami etika berbicara, berdialog dan berdebat, kenapakah kita yang beragama Islam, yang menghafal ayat Quran dan hadis, yang pandai bersyarah dan berkhutbah, tiba-tiba menjadi seperti orang jahil ketika kita bercakap dan mengecam sesama kita?

Kalau beginilah keadaannya, maka mungkin inilah permulaannya proses musuh kita untuk menghakis nilai moral dan akhlak Islam, dan akhirnya akan berusaha menghakiskan ajaran Al-Quran dan Sunnah dari masyarakat kita.

Malah jika beginilah keadaannya, apakah kita mengharapkan orang lain akan menghormati agama dan umat kita? Atau kita mengharapkan agar orang lain tidak mengecam dan mengata nista kita, orang Islam, orang Melayu dan agama kita?

Jadi, apakah bezanya kita sebagai masyarakat yang apabila satu anggota kita sakit, maka seluruh anggota badan akan mengalami demam, dan tidak dapat tidur malam? Apakah arti dan apakah bezanya ??? Apakah maknanya ???

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....