KEPELBAGAIAN FATWA ULAMAK : MENGELIRUKAN
The Star pada 1 Julai 2010 yang lalu telah menyiarkan satu berita, yang dipetik dari sumber berita AFP, tentang kuasa mengeluarkan fatwa di Saudi Arabia yang menjadi rebutan para ulamak yang tertentu, sehingga terdapat fatwa yang dikeluarkan amat ganjil dan memeranjatkan. Para ulamak nampaknya bertelingkah tentang siapakah yang berhak mengeluarkan fatwa, dan hal ini saya rasa, merupakan ekoran dari perkembangan yang berlaku di dalam dunia Islam sejak satu dua dekad yang lalu iaitu yang menjadikan fatwa sebagai monopoli golongan yang tertentu, terutamanya golongan radikal yang mengeluarkan fatwa yang berbentuk agak keras, seperti mengharuskan tindakan membunuh orang bukan Islam atas nama "jihad" dan termasuklah tindakan "pengebom berani mati" yang meletupkan dirinya untuk membunuh orang lain yang dianggap musuhnya.
Golongan inilah juga yang mengeluarkan fatwa supaya dijatuhkan Kerajaan yang mengikut takrifan mereka sebagai Kerajaan "thagut" "sekular" dan sebagainya, walau pun Kerajaan itu sebenarnya diterajui oleh para pemimpin Islam sendiri. Golongan ini membuat tafsiran mereka sendiri tentang beberapa konsep yang tertentu seperti konsep "sekular" "syirik" dan sebagainya tanpa cuba mengerti apakah sebenarnya konsep yang cuba mereka tafsirkan itu.
Berita yang dibawakan oleh akhbar yang saya sebutkan di atas ialah tentang pertikaian siapakah sebenarnya pihak yang berotoriti untuk mengeluarkan fatwa, iaitu akibat daripada terbitnya satu fatwa yang mengharuskan "muzik" oleh Imam Masjid Al-Haram, Shaikh Adel al-Kalbani. Fatwa ini menimbulkan kegelisahan dan penentangan dari banyak pihak yang selama ini menghukum bahawa muzik itu adalah "haram". Namun begitu Shaikh al-Kalbani berkeras dengan fatwanya menghalalkan muzik itu dengan menegaskan bahawa beliau tidak pernah menemui sebarang dalil dan nas yang mengharamkan muzik.
Perbalahan begini memanglah tidak dapat dielakkan di dalam negara yang sedang mencuba untuk melepaskan dirinya daripada tradisi dan budaya turun temurun yang masih berpegang kepada pendangan dan "fatwa" lama yang dianggap sebagai teras ajaran agama yang tidak dapat diubah sama sekali. Golongan ini tetap dengan pendiriannya yang tegas, dan tidak dapat menerima bahawa "feqah" Islam adalah sesuatu yang boleh berubah mengikut perkembangan manusia dan zaman, sekiranya tidak bercanggah dengan dasar yang fandemental bagi ajaran Islam, dan tidak melanggar nas yang sahih.
Bagaimana pun hal ini tidaklah sebenarnya membuka pintu ijtihad dan fatwa yang terlalu liberal dan tidak dapat diterima dalam ajaran Islam yang sebenarnya, seperti berita tersebut juga yang menyiarkan "fatwa" yang dikeluarkan oleh Shaikh Abdul Mohsen al-Obeikan yang mangatakan bahawa seorang lelaki dewasa dapat menjadi "anak susu" yang sah kepada seorang wanita sekiranya wanita itu "menyusukannya" beberapa kali kenyang seperti yang dilakukan kepadakanak-kanak kecil untuk menjadikannya "anak susunya" !
"Fatwa" ini menimbulkan keadaan yang menggamatkan di seluruh dunia, dan mendapat tentangan serta ejekan yang amat hebat sekali di kalangan masyarakat ulamak di Saudi sendiri. Saya pernah juga menemui fatwa begini beberapa tahun yang lalu yang melibatkan seorang "ulamak" dari Universiti Al-Azhar sehingga ulamak tersebut telah dipecat dari jawatannya di Universiti Islam yang terkenal dan tertua itu.
Saya beranggapan bahawa sekiranya "fatwa" dibiarkan bebas lepas mengikut pandangan individu ulamak yang tertentu, maka kekecohan begini akan berlaku, kerana individu mempunyai pandangan tertentu mengikut intepretasinya secara peribadi, berdasarkan dalil yang sah pada tanggapannya, maka akan terkeluarlah fatwa yang bercanggah diantara satu dengan yang lain, dan hal ini tentulah akan mengelirukan umat Islam sendiri.
Oleh itu, saya rasa, fatwa haruslah dikeluarkan oleh badan yang khusus yang mewakili Kerajaan semasa, dan setiap individu yang mempunyai pandangan yang berlainan haruslah diajak berdialog dan berbincang oleh badan fatwa seperti Majlis Fatwa Kebangsaan di negara kita.
Pada 2 September 2009, saya terbaca juga satu berita di dalam akhbar tempatan, yang juga memetik agensi berita antarabangsa, yang menyatakan tentang ulamak yang mengejar populariti di Televisyen di dunia Arab yang mempunyai banyak stesyen TV setelitnya. Menurut berita tersebut bahawa di sana terdapat ulamak yang mencari publisiti dengan mengeluarkan "fatwa segera" di dalam kaca Tv iaitu melalui panggilan telefon dan penggunaan teknologi maklumat baru seperti internet, e-mail dan Facebook, malah melalui Pesanan Ringkas SMS.
Seorang pengkeritik media Saudi dan penulis serta tokoh agama, Abdullah Manna berkata bahawa program soal jawab agama di stesyen TV setelit telah tergelincir daripada matlamat penyebaran Islam untuk mendidik umatnya, kerana ulamak tersebut tidak dapat bersemuka dengan penyoal, bersoa; jawab dengan lebeh terperinci, masanya terhad, analisis hukum yang tidak mendalam dan jawapan yang tergesa-gesa tentang persoalan agama yang tertentu.
"Ulamak begini hanya bermotifkan publisiti dan keuntungan semata-mata, dan pentasnya juga adalah pentas untuk bersaing sesama ulamak bagi menonjolkan kejagohan masing-masing, agar publisitinya bertambah hebat dan namanya semakin popular, maka orang awam akan sentiasa mencarinya, yang berarti membuka pintu rezekinya yang lebeh banyak lagi atas nama "dakwah" dan "agama", dan atas nama "tokoh agama TV"
Bagaimana pun hal ini terserahlah kepada masyarakat menilaikannya, kerana hal ini juga sebenarnya berlaku di negara Islam seluruhnya yang menggunakan media letronik untuk siaran agamanya. Tetapi yang dikeritik oleh tokoh Saudi itu ialah aliran "kepenggunaan" atau "konsumarisme" seperti yang diamalkan di kalangan peniaga yang melanda masuk ke dalam masyarakat ulamak sendiri yang telah menggunakan pengetahuan agamanya untuk tujuan "perdagangan" kerana kepentingan material.
Mungkin dari sudut inilah kita harus melihat kepada persaingan para ulamak dalam menggunakan media letronik dan sebagainya untuk tujuan komersil ini, walau pun pada dasarnya hal ini tidak memudaratkan kita. Namun sifat "kebendaan" dan "komersil" ini kadang-kadang boleh membawa kepada penyelewengan yang bercanggah dengan nilai moral kerohanian Islam tanpa disedari oleh para "ulamak" tersebut.
Pada masa ini pun kita dapat melihat di tanah air kita sendiri bagaimana syarikat perniagaan, media lama dan baru, yang membawa para ulamak dan "ahli-ahli agama" untuk melariskan produk dan hasil atau perkhidmatan mereka, yang berarti menambahkan keuntungan wang yang berlipat ganda dengan menggunakan "agama" sebagai pelaris kepada barang-barang keluaran mereka.
Dalam persainagan melariskan produk perubatan umpamanya, etika kefarmasian seringkali tidak dihormati lagi, iaitu apabila dipergunakan nas-nas Al-Quran dan Hadis yang umum untuk difokuskan kepada produk tertentu, dan ketika "ustaz" atau "ulamak" akan mengeluarkan teori-teori perubatan seperti seorang pakar perubatan yang tulin berasaskan kepada pengertian umum nas, yang sebenarnya tidak mempunyai sebarang hubungan secara langsung dengan produk perubatan yang dipromosikan itu.
Hal inilah yang ditekankan oleh pengkeritik Saudi yang tersebut yang mengatakan bahawa dalam zaman ini ulamak juga asyik mencari publisiti dengan menggunakan teknologi maklumat moden tanpa menepati etika dan moral kerohaniaan yang sebenarnya dalam ajaran Islam, dan keadaan akan menjadi lebeh mengelirukan sekiranya para ulamak dalam usaha mengejar kebendaan itu akan mengeluarkan "fatwa" yang tidak tepat dan mengelirukan. "Ulamak harus bersabar dan meneliti setiap isu yang dikemukakan, selain melihat kepada pelbagai pendapat ulamak lain sebelum mengeluarkan fatwanya" tegasnya lagi
Dalam masyarakat kita, hal ini tentulah menjadi bertambah kosot dan mengelirukan iaitu apabila "ulamak politik" mengeluarkan fatwanya yang taksub dan condong kepada kefahaman sempit ideologi politik kepartiannya. Maka pada ketika itu tentulah masyarakat menjadi bertambah keliru.
Oleh itu saya rasa, umat Islam haruslah melengkapkan dirinya dengan ilmu yang cukup, dan mengambil sikap berhati-hati untuk menerima fatwa-fatwa "baru" dan "lama" yang sering dikeluarkan atas nama agama. Kita tidak dapat menafikan hakikat bahawa dalam perkembangan agama masa kini, iaitu ketika semua orang Islam berlumba-lumba untuk kembali kepada ajaran Islam yang syumul dan lengkap dalam semua bidang kehidupannya, maka segala sesuatu yang dikeluarkan atas nama agama akan mendapat sambutan yang istimewa dari umat Islam, maka pada ketika inilah akan terdapat orang-orang berkepentingan yang akan menggunakan peluang ini untuk dirinya.
Apa hendak dihairankan,kerana suatu masa akan datang ulamak pun menggunakan hawa nafsu.
ReplyDeleteUlamak terbahagi kepada dua - satu jahat satu baik
Yang jahat pasti menggunakan bisikan syaitan seperti mana Yahudi yang memdengar apa yang dibaca oleh syaitan syaitan.
Kan umat Islam berpecah 73 puak cuma satu puak sahaja yang diterima. Manakala 72 lagi semuanya macam yahudi.
Allah larang, jangan ikut yahudi dan jangan jadi macam yahudi.
Hari ini dah ramai ulamak ikut yahudi dan jadi macam yahudi, termasuk di negara kita.