Thursday, October 28, 2010


 


 


 


 

CABARAN TERHADAP ISLAM : APAKAH REAKSI KITA


 

Penentangan terhadap Islam dan pertembungan Barat dan Islam dari segi agama dan politik, sebenarnya telah lama berlaku, yang dapat ditafsirkan sebagai pertembunga

n diantara ideologi sekularisme dan Islam, atau, dalam beberapa segi, pertembungan diantara Kristian dan Islam.


 

Telah banyak berlaku peristiwa dan gerakan asing yang menunjukkan penentangan terhadap Islam dan para penganutnya yang berlaku selama ini, terutamanya dari dunia Barat, atas nama agama atau politik.


 

Peristiwa terbaru ialah larangan Kerajaan Switzerland terhadap pembinaan menara bagi bangunan masjid di sana. Sebelum ini banyak cabaran dan penentangan lain yang berlaku, umpamanya dalam tahun 2004, Perancis melarang para pelajar Islam memakai tudung sebagai mematuhi ajaran Islam untuk menutup aurat.


 

Setelah itu berlaku peristiwa lain, yang bukan hanya merupakan cabaran, malah telah menunjukkan penghinaan terhadap Islam, termasuk penghinaan kepada peribadi Nabi Muhammad SAW dan agama Islam iaitu dengan lahirnya lakaran kartun, filem dan sebagainya, yang amat menyentuh dan melukakan hati umat Islam.


 


 

Pertentangan ini berlaku sejak lama, kembali kepada sejarah silam ketika berlakunya peperangan Salib, dan berterusan ke zaman moden dengan berlakunya kerisis Bosnia tidak lama dulu, yang antara lainnya menggambarkan bahawa Islam tidak seharusnnya lahir sebagai satu agama yang mendominasikan masyarakat Barat, dan lambang Islam tidaklah seharusnya mengganggu landskap negara sekularisme itu.


 

Dunia Barat sebenarnya mempunyai agenda tersendiri dalam menentang, dan dalam masa yang sama, menguasai negara Islam, dan sekali gus mempunyai agenda ekonomi, iaitu untuk mengaut kekayaan dari negara Islam yang mewah dan makmur itu.


 

Dasar peperangan terhadap keganasaan Global war on terrorism (GWOT)
tajaan Amerika Syarikat (AS) setelah berlakunya serangan kilat terhadap negara itu pada 11 September 2001 (9/11) merupakan satu bentuk baru intipan yang dilakukan ke atas dunia Islam untuk menaklukinya, termasuklah tindakan melancarkan serangan bersenjata atas nama peperangan ke atas pengganas Muslim di mana-mana sahaja "pengganas" itu berada.


 

Peristiwa 9/11 menjustifikasikan pendudukan AS ke atas Iraq dan Afghanistan, memecah belahkan rakyat kedua-dua buah negara, membantu ketegangan dan keganasan diantara pihak-pihak yang bertelagah di dalam kumpulan puak-puak Islam sendiri, menjadikan negara Iraq dan Afghanistan sebagai tanah jajahan yang bergantung nasib dan bertuankan kuasa AS, dan akhirnya akan memudahkan pihak AS membina saluran paip minyak dan gas dikawasan Timur Tengah dan sebahagian negara Asia Tengah yang kaya raya itu.


 

Gerakan mengintip negara Iraq dan Afghanistan oleh pihak AS telah lama berjalan sebelum berlakunya peristiwa 9/11 lagi. Rantau kaya yang mempunyai rezab minyak dunia lebeh daripada 60 peratus ini berjaya dikuasai atas nama GWOT tajaan AS, disokong pula oleh NATO dan beberapa buah pertubuhan bukan Kerajaan, malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga memberikan lampu hijau kepada AS untuk menyerang Iraq atas alasan untuk menghapuskan senjata pemusnah besar-besaran yang bernama WMD (Weapon of Mass Destruction) yang kononnya berada di dalam milik Saddam Husein pada ketika itu.


 

Gerakan Kristian di negara-negara Islam, terutamanya di Iraq dan Afghanistan, oleh golongan pendakwah mereka secara langsung atau tidak langsung, merupakan gejala yang tidak lagi menjadi rahsia umum, sehingga seorang penulis Arab yang berpengalaman luas di dalam industri minyak dan gas di peringkat antarabangsa telah membuat analisisnya tentang penguasaan AS ke atas telaga minyak Iraq dan negara-negara lain di Timur Tengah dengan melebelkan penaklukan ini sebagai perang
salib petrol yang sedang dilancarkan oleh pihak Barat terhadap dunia Islam. Penulis yang sama juga membuat kesimpulan bahawa AS dan sekutunya sedang melancarkan perang dunia ke-4 ke atas dunia Islam, setelah memenangi perang dunia ke-3 ketika menumbangkan kuasa besar Soviet Union. Perang Dunia ke-4
lebeh merupakan perang diantara dunia Kristian dengan dunia Islam.
(Abdulhayy Yahya Zalloum Hurub Al-Bitrol Al-Salibiyyah Wa Al-Qarn Al-Ameriki Al-Jadid.) (Perang Salib Petrol dan Abad Baru Amerika – The Oil Crusades and The New American Century) Beirut 2005)


 

Bagaimana pun, kerisis politik dan agama diantara Barat dan Islam itu tidak pernah menganggu gugat kesetabilan dan keharmoniaan rakyat kita, di negara kita yang mempunyai kepelbagaian kaum dan budaya dengan kepelbagaian agama ini.


 

Majoriti rakyat kita, khususnya para penganut agama Islam, mungkin masih merasakan bahawa kerisis diantara Barat dan Islam tentang beberapa isu yang tertentu, seperti isu pemakaian tudung kepala atau purdah, menara masjid dan isu-isu keagamaan yang tertentu, tidak mengundang kontraversi yang besar, dan tidak seharusnya menimbulkan protes besar-besaran atau keganasan dan kekerasan sehingga mengurbankan nyawa orang yang tidak berdosa seperti yang berlaku di sebahagain negara lain.


 

Kita mungkin dapat berfikir secara rasional dan tidak perlu membangkitkan emosi dan sentimen melulu terhadap beberapa isu yang tidak menyentuh akidah dan syariah kita dalam beberapa isu yang bukan fundamental. Umpamanya, seperti yang tersiar di dalam akhbar, bahawa seorang Imam masjid dari Kanada menegaskan bahawa ia masih dapat bertolak ansur tentang masjid tanpa menara di negara Barat, kerana kita dalam keikhlasan beribadat kepada Allah SWT itu, maka bukan simbolnya yang menjadi isu besar, tetapi pengisian di dalam masjid itu yang seharusnya diberikan penekanan yang berat sebagai umat Islam, terutamanya untuk mengelakkan konfrantasi dengan umat lain, dan mengelakkan penentangan terhadap undang-undang negara Eropah itu.


 

Mungkin sebahagian besar umat Islam bersetuju dengan pendekatan Imam ini, iaitu dalam menangani cabaran terhadap Islam, maka isunya yang seharusnya diberikan perhatian, apakah penentangan itu merupakan cabaran dan penafian terhadap akidah dan syariah serta akhlak Islam yang fundemental, atau mencabar hak umat Islam dalam memahami kitab suci Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SWT dalam dasar dan falsafah ketuhanan dan ibadah khususnya. Rekasi dan tindakan umat Islam tentulah bergantung di atas bentuk dan motif cabaran ini.


 

Dalam konteks ini, saya merasa mungkin buat pertama kalinya, masyarakat umat Islam di Malaysia telah dihadapkan dengan kerisis berbentuk agama yang agak serius, iaitu tentang penggunaan nama Allah di dalam satu penerbitan Kristian yang diputuskan oleh mahkamah menjelang tahun baru 2010 baru-baru ini, yang membenarkan penggunaan nama Allah di dalam risalah yang tersebut.


 

Umat Islam di Malaysia tentulah tidak mempunyai niat untuk menentang keputusan Mahkamah dan mencabar proses undang-undang yang membuka ruang untuk rayuan ke peringkat perundangan yang lebeh tinggi. Tetapi penentangan ini adalah berdasarkan cabaran yang dianggap mencabar isu akidah umat Islam tentang konsep dan definesi "Allah" itu yang amat unik dan hanya boleh dirujukkan kepada makna ketuhanan yang ditafsirkan mengikut takrifan "Allah Yang Maha Esa" yang hanya merujuk kepada konsep ketuhanan dalam agama Islam. Hal ini ditegaskan Allah SWT dengan jelas di dalam Surah Al-Ikhlas.


 

Islam menolak sebarang sekutu Allah, malah dalam konteks bahasa dan budaya Melayu Islam di negara ini, Allah adalah Tuhan bagi agama yang mengasakan Tuhan, bukan seharusnya digunakan sewenang-wenangnya kepada apa saja nama tuhan lain yang disembah oleh penganut agama bukan Islam.


 

Maka dalam konteks ini, kalau boleh difahami perasaan umat Islam di Malaysia ini, ternyata bahawa rasa bimbang dan khuatir terhadap keputusan mahkamah itu ialah tentang penggunaan nama Allah untuk Tuhan agama lain yang mungkin membawa kepada kekeliruan kefahaman masyarakat Islam terhadap konsep ketuhanan dalam agama Islam sendiri. Maka hal inilah yang menimbulkan perasaan tidak puas hati masyarakat Islam, yang juga merasakan bahawa kefahaman tentang sesuatu konsep agama di dalam masyarakat negara ini tidaklah hanya dapat ditafsirkan melalui proses undang-undang sahaja, tetapi seharusnya diambil kira juga tentang konteks bahasa dan budaya negara ini, serta sensitivi umat majoriti negara ini yang dilindungi oleh Perlembagaan, juga yang disimbolkan di dalam kedaulatan Majlis Raja-Raja Melayu yang seharusnya mempunyai otoriti yang mutlak tentang isu-isu agama di bumi ini.


 

Namun begitu, umat Islam tidaklah juga selama-lamanya akan berada di posisi pertahanan semata-mata, bahkan umat Islam haruslah sentiasa berada di barisan hadapan dengan gagah dan kuat, tanpa menggugat kekuatan orang lain. Artinya dalam menghadapi cabaran-cabaran terhadap Islam dan penganutnya ini, umat Islam haruslah sentiasa meningkatkan kekuatan dan kemampuannya dalam segala bidang, iaitu ilmu, ekonomi, sosial, keluarga, politik dan sebagainya.


 

Sekiranya motif cabaran yang dihadapi ialah untuk mengelirukan penganut agama Islam sendiri terhadap akidah dan syarihanya, maka umat Islam haruslah diperkuatkan dengan bersungguh-sungguh dalam akidah dan syariahnya, serta dikuatkan juga nilai-nilai moral kerohaniannya, supaya apa-apa saja cabaran yang dihadapi, maka umat Islam tetap kental dan mampu mempertahankan kekuatan akidah dan syariahnya. Jika kita benar-benar berpadu dan kuat, maka cabaran yang kita hadapi akan dengan sendirinya menurun, atau kalau semakin kuat cabaran itu, maka semakin kuatlah pertahanan diri kita. Dan dengan itu sebarang cabaran yang mendatang tidak sedikit pun akan menjatuhkan maruah kita umat Islam, kerana kita akan sentiasa memahami bahawa tujuan cabaran itu ialah untuk melemahkan kita, atau sekurang-kurangnya memecah belahkan kita, dan menjadikan masyarakat kita porak puranda supaya senang dikuasai dan dijerut lehernya.


 


 


 


 


 


 


 


 

Pageviews last month