KEPANDAIAN MANUSIA
Tak kira bangsa dan agama apa, manusia amat pintar dan berjaya sekiranya mahu menggunakan akal kurniaan Allah SWT. 33 orang yang terperangkap di lombong bawah tanah, amat dalam ke bawah, sehingga ke saat ini beberapa orang di antaranya telah berjaya diselamatkan setelah berada di bawah sana selama 69 hari. 69 hari bukanlah masa yang singkat untuk seorang manusia hidup dalam suasana dan "dunia" begitu, yang terasing, terkurung, tanpa "tamadun" tanpa udara bersih, tanpa minuman dan makanan yang sama dengan makanan biasa bagi manusia dan haiwan memakannya dengan mewah seperti di "dunia" biasa, tambahan pula mereka jauh terpisah dari sanak saudara, orang tersayang, dan masyarakat manusia lain seperti yang sering di temui saban hari dalam dunia biasa.
Tetapi manusia di luar, masih dapat memikirkan sesuatu usaha untuk mereka merasakan bahawa "dunia" ini masih ada untuk mereka, meskipun mereka sebenarnya hidup seperti dalam dunia "kematian" di bawah sana. Mereka di hiburkan, dihidupkan semangat dan jiwanya, disegarkan psikologinya, di samping mendapat makanan dan minuman yang dihulurkan ke bawah melalui lubang yang sempit, yang juga diusahakan oleh tangan manusia di luar "di atas" dunia mereka. Inilah roh dan semangat kemanusiaan yang di peroleh semula oleh insan2 ketika diselubungi krisis dan kesempitan hidup.
Kini mereka di selamatkan, usaha Kerajaannya dan pertolongan kemanusiaan dari negara maju lain, terutamanya para profesional dari Amerika Syarikat, telah menghasilkan satu usaha menyelamat dan menolong yang bakal tercatat dalam sejarah manusia untuk selama-lamanya. Inilah kurniaan Allah kepada manusia yang amat agung, iaitu manusia sebagai makhluk-Nya yang paling istimewa, tidak seperti makhluk2 lain. Maka manusia boleh melakukan ikhtiar dan usaha untuk kesejahteraan sesama manusia. Usaha ini merupakan sebagai satu manifestasi kemajuan sains dan teknologi serta kepakaran manusia sendiri yang mengurus sains dan teknologi itu.
Alangkah bangganya kita menjadi manusia, dan sesuai dengan firman Allah "Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia dalam kejadian yang amat sempurna" memang menepati dengan kebolehan insan itu. Dan alangkah bangga serta bersyukur nya kita andainya kita orang Islam dapat mencipta kejayaan begitu, dapat menggunakan ilmu kepandaian kurniaan Allah itu untuk tujuan yang baik ini. Sekiranya orang Islam berjaya berbuat begitu maka sememangnya bertepatan sekali lah firman Allah itu untuk dipraktikkan oleh orang Islam sendiri.
Kejadian yang berlaku di Chile itu tentulah banyak memberi pelajaran dan iktibar kepada seluruh manusia di seluruh dunia, termasuk untuk kita sendiri sebagai rakyat negara membangun yang berusaha untuk menjadi negara maju, juga kepada orang Islam sendiri yang memahami ajaran agamanya tentang manusia, akal, belas kasihan, iman, Islam dan Ihsan.
Comments
Post a Comment