KEMALANGAN BAS YANG MENGERIKAN...

Mengikut berita akhbar, 12 nyawa telah terkorban dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan 2 buah bas dan beberapa buah kereta semalam. Bas itu dikatakan dipandu laju, cuba memotong sebuah kenderaan, tetapi tidak berjaya, lalu meluncur dengan terhoyong hayang, melanggar pembahagi lebuh raya, dan melambung ke langit, lalu jatuh di atas lebuh raya yang bertentangan, menghempap kenderaan lain, dan akibatnya 12 orang terkorban, dan banyak lagi yang cedera, sesetenghnya tenat.

Perkara ini berlaku dengan kehendak Allah, yang meninggal sudahlah ajal, yang cedera dan selamat juga adalah kehendak Allah. Hal ini haruslah diterima.

Tetapi manusia diberikan Allah SWT akal fikiran, ikhtiar dan usaha untuk mengelakkan balak bencana, bukan hanya berserah bulat-bulat tanpa ikhtiar dan usaha dengan akal fikiran dan kekuatan yang juga dikurniakan Allah kepada manusia itu.

Kalau kita tidak mahu lemas ketika jatuh di dalam laut, kita hendaklah belajar berenang, supaya kalau jatuh ke dalam sungai atau laut, kita boleh berenang menyelamatkan diri. Tetapi sekiranya seorang itu pandai berenang, dan ketika dia jatuh ke dalam laut, setelah cuba berenang dengan bersungguh-sungguh, tetapi tak kuasa melawan ombak besar atau otot kakinya kaku, dan dia meninggal, maka ketika itu memanglah sudah ditakdirkan Allah, dan semua orang harus menerima takdir ini.

Berbalik kepada kisah kemalangan maut bas yang berlaku ini, saya selalu teringat kepada pengalaman saya ketika berada di negara Eropah dan berada di negara dunia ketiga. Di Eropah sepanjang pengalaman saya menaiki bas di sana, pemandunya amat berhati-hati. Menghormati had laju, tidak melanggar peraturan lalu lintas, sentiasa bertimbang rasa kepada pemandu dan kenderaan lain, dan amat cermat, kerana dia menyedari bahawa dia membawa ramai orang, dan hatinya tentulah menyedari tanggung jawabnya untuk keselamatan orang lain.

Tetapi hal ini berbeza ketika kita memandu di jalan raya negara kita atau di negara2 dunia ketiga. Pemandu bas memandu laju, memotong kenderaan lain dalam kadar had laju yang melebihi had laju yang ditetapkan untuk kenderaan berat, tidak menghormati orang lain, dan tidak juga mengormati nyawa penumpang yang banyak di dalam basnya.

Memang banyak faktor yang menyebabkan kemalangan jalan raya, iaitu keadaan kenderaan, jalan raya, cuaca dan sebagainya. Tetapi mengikut perangkaan yang selalu dikeluarkan, ternyata bahawa kesilapan manusia adalah merupakan faktor terbesar dan utama yang menyebabkan kemalangan jalan raya.

Sikap pemandu kenderaan yang terburu-buru, yang memandu laju dari had yang ditetapkan, yang memotong membuta tuli, tidak menggunakan isyarat lampu yang betul, tidak berhenti ketika lampu isyarat merah, dan 1001 kesalahan lalu lintas lain yang sering dicabuli, maka semuanya ini merupakan faktor berlakunya kemalangan yang sering memakan korban nyawa, khususnya kenderaan berat seperti bas, lori dan lain2.

Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan di negara kita, bahawa kita mempunyai lebuh raya yang baik, lurus, lebar, dan permukaan jalan yang bagus.

Tetapi yang sering saya perhatikan, pemandu di negara kita umumnya, tidak pandai menggunakan lorong-lorong di lebuh raya, khususnya lebuh raya yang mempunyai tiga lorong. Boleh dikatakan semua pemandu yang memandu di lebuh raya tiga lorong akan memandu di lorong tengah, kecuali memotong, maka dia akan memotong di sebelah kanan, atau di sebelah kiri, kemudian kembali semula ke lorong tengah.

Hal ini sebenarnya menyebabkan kemalangan, kerana kereta yang memotong di sebelah kiri, sering bertembung dengan kereta di hadapannya yang berjalan perlahan, atau tiba-tiba kereta yang hendak dipotongnya juga memasuki lorong kiri. Sebab itulah mengikut peraturan lalu lintas jalan raya, memotong mestilah hanya di sebelah kanan, dan semua kenderaan hendaklah mengikut lorong kiri, kecuali masa memotong bolehlah ikut lorong kanan, kemudian kembali semula ke lorong sebelah paling kiri,.

Lebuh raya tiga lorong sepatutnya akan sentiasa dipenuhi kereta disebelah lorong kiri sekali, dan yang memotong di lorong tengah akan kembali semula ke lorong kiri. Tetapi lebuh raya tiga lorong di negara kita, semuanya berada di lorong tengah, kita memandu agak laju sikit, tersekat di lorong tengah yang penuh berderet dengan kereta di hadapan kita, maka lebuh raya tiga lorong akhirnya penuh sesak dengan kenderaan di lorong tengah, dan kita menjadi serba salah, nak potong sebelah kanan, kereta banyak datang dengan laju dari belakang, akhirnya buat keputusan potong sebelah kiri, menyalahi peraturan lalu lintas dan mengambil risiko.

Saya rasa masanya amat keritikal sekali pada masa ini supaya pemandu yang sedang belajar memandu, yang telah mendapat lesen, yang berpuluh2 tahun memandu, haruslah diorientasikan semula bagaimana caranya memandu kenderaan di lebuh raya, terutamanya lebuh raya yang mempunyai tiga lorong. Ikut kiri, ikut kiri, itulah laungan yang harus di laungkan kepada semua. Bolehkah agaknya pihak Kementerian Pengangkutan, JPJ, operator sekolah memandu, para penguji yang menguji pemandu baru, dan pihak berkuasa lainnya, menekankan tentang cara memandu di lebuh raya ini, terutamanya lebuh raya TIGA LORONG dengan lebeh bersungguh-sungguh lagi? Bolehkah kita mendidik pemandu kita tentang cara yang betul ketika memandu di lebuh raya?? Kerana saya nampak hal ini amat ketara di negara kita ini, dan tidak berlaku di negara2 maju lainnya.

Satu hal lain yang saya perhatikan bagi tabiat orang kita ini bahawa kita masih mempunyai mentaliti zaman lampau, iaitu seperti zaman dulu ketika kita tidak mempunyai lebuh raya yang baik, dan ketika kita tidak dipenuhi dengan kereta, bas, lori, lori tangki dan sebagainya.. Dan lebeh teruk dari itu, kita merasa bangga agaknya ketika melanggar peraturan lalu lintas, merasa dialah yang jaguh, berani dan bijak. Kita lihat mereka berbangga kalau melanggar lampu isyarat, meletak kenderaan di tempat larangan, memasuki jalan sehala melanggar arus, memandu laju dan sebagainya. Mereka menghormati undang2 ketika terdapat polis lalu lintas berada di sana, mereka memperlahankan kelajuan, ketika melihat isyarat pemandu seberang jalan yang memberikan isyarat lampu bahawa ada sekatan jalan raya di hadapan...Mereka menjaga jiwa dan nyawa mereka kerana ada penguatkuasa, bukan kerana hendak menjaga jiwa mereka sebagai satu tanggung jawab sendiri.

Mentaliti begini bukanlah mentaliti negara maju. Tetapi rakyat kita bukanlah rakyat yang masih jahil dan mundur. Kita mempunyai rakyat yang berpendidikan dan berperadaban. Namun hal ini tidak kita terjemahkan ketika kita berada di depan "steering" ketika memandu kereta. Orang yang baik pun, apabila berada di depan steering, akan bertukar menjadi raksaksa yang bengis dan garang.

Kalau hal ini berterusan begini, maka kita atidak akan merasa hairan jika pada masa yang akan datang, akan berlaku banyak lagi kemalangan jalan raya maut seperti yang telah lama kita saksikan ini.

Hanya dengan pendidikan, mengikut peraturan, menghormati undang2, menghormati orang lain, hanya tabiat begitulah saja yang dapat membantu pembentukan sikap pemandu kita yang bertimbangrasa dan berdisiplin. Tetapi tak taulah kita sampai bilakah kita harus menunggu untuk melihat pertukaran sikap pemandu kita, terutamanya pemandu bas, yang hanya segelintir, tetapi merosakkan susu sebelanga.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....