PERGOLAKAN DI ASIA BARAT DAN AFRIKA UTARA:
MUNGKINKAH MENJALAR KE DUNIA LAIN?
Dalam Persidangan Antarabangsa Pergerakan Global untuk Keadilan, Perdamaian dan Jati Diri anjuran bersama Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa Malaysia (ISIS), Universiti Bahcesehir Civilization Studies Center, Turki (MEDAM) dan The International Movement For A Just World (Just) selain dari pada sesi kemuncak yang dirakamkan oleh BBC untuk Program World Debate yang di sertai oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak, dan Timbalan Perdana Menteri Turki, satu sesi penting sebelumnya telah diadakan dengan anggota penalnya yang terdiri dari dua orang peserta Malaysia, Mufti Syria, dan seorang ahli akademik dari Amerika Syarikat.
Objektif sesi ini ialah membicarakan isu moderation yang di timbulkan oleh Perdana Menteri ketika berucap di Perhimpunan Agong Bangsa-Bangsa Bersatu dalam bulan September 2010. Pendekatan moderation yang dimaksudkan ialah menolak kaedah keganasan dan radikal dalam memperjuangkan sessuatu hak seperti yang di lakukan oleh segelintir puak pelampau selama ini.
Moderation adalah merupakan saluran yang paling sesuai untuk menegakkan keadilan dan perdamaian dunia daripada mengambil jalan keganasan dan radikal yang sering di lakukan oleh segelintir individu atau kumpulan manusia yang tertentu dalam dunia pada hari untuk memperjuangkan kes mereka masing-masing. Berdasarkan pendekatan inilah sesi perbinncangan ini di adakan di Istanbul yang dihadiri oleh peserta Malaysia dan Turki, juga dari negara yang lain.
Dalam satu persoalan yang ditimbulkan oleh moderator sesi ini, Dr Surin Pitsuwan, bekas Menteri Luar Thailand, dan sekarang ini menjawat jawatan Setiausaha Agong ASEAN, tentang gelombang kebangkitan yang timbul di beberapa buah negara Asia Barat dan Afrika Utara, iaitu yang telah berlaku di Tunisia dan Mesir yang telah berjaya menjatuhkan ketua kerajaan dua buah negara tersebut, dan sekarang ini sedang berlaku dengan hebatnya di beberapa buah negara Arab yang tertentu, maka apakah insiden dan gelombang perubahan dalam bentuk yang sama ini akan menjalar ke dunia lain, seperti ke negara-negara Asia umpamanya, atau di Malaysia dan Indonesia?
Penalis dari Malaysia yang terdiri dari Prof Chandra Muzafar dan Khairi Jamaludin, juga Mufti Syria dan Prof Falk dari Amerika Syarikat masing-masing telah memberikan penjelasan yang cukup meyakinkan kenapakah gelombang kebangkitan rakyat tiba-tiba telah bangkit dengan hebatnya di beberapa buah negara di dunia Arab, dan kenapakah hal yang sama tidak mungkin berlaku di dunia Islam yang lain, termasuk Malaysia.
Prof Chandra memberikan pandangannya bahawa Istanbul dan Kuala Lumpur yang menganjurkan persidangan ini secara bersama adalah merupakan dua buah bandaraya yang masing-masing mempunyai kemahuan yang tinggi dalam mencarikan keamanan, perdamaian dan tamadun manusia. Kedua-dua buah negara ini juga telah menempa banyak peistiwa sejarah yang telah mencatatkan kejayaan dalam membentuk jati diri masing-masing sebagai manusia dan negara yang bertamadun. Dua buah negara ini telah mengamalkan dasar demokrasi dan mendengar pandangan rakyat serta menjaga kepentingan mereka dengan saksama, di samping berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan masyarakat yang bebas dari cengkaman kemiskinan, kejahilan dan cengkaman politik kuasa luar.
Dari perbincangan para penalis pada hari itu, termasuk Mufti Syria sendiri, keseluruhan mereka berpendapat bahawa majoriti rakyat yang berdiam diri selama ini di beberapa buah negara tertentu di rantau Asia Barat dan Afrika Utara, malah mengambil sikap membisu begitu lama adalah kerana ketidak upayaan mereka untuk bersuara atau bertindak melalui saluran politik yang bebas terhadap perkembangan negara mereka yang tidak mementingkan dasar demokrasi serta hak rakyat, malah tidak memberikan keutamaan kepada rakyat dalam berkongsi kuasa, kekayaan, pekerjaan dan sebagainya, maka hal inilah yang telah meletup dan memuncak bahangnya, terutamanya apa bila rakyat Tunisia mengambil inisiatif menjatuhkan kepala negara mereka, diikuti oleh rakyat Mesir, yang akhirnya memaksa ketua negara mereka melepaskan jawatannya. Maka perkembangan yang hebat inilah yang sedang menjalar dan melanda ke beberapa buah negara Asia Barat dan Afrika Utara sekarang.
Dari penjelasan para penalis ternyata bahawa ntuk memahami kes ini yang sebenarnya, kita haruslah mengkaji dan melihat fakta-fakta angka dan sejarah kebanyakan negara Asia Barat dan Afrika Utara yang sedang bergolak itu. Kita harus melihat kepada peratusan rakyatnya yang menganggur, atau bekerja dengan mendapat gaji yang rendah, juga dasar ekonomi yang menyalurkan kekayaan negara hanya dibolot ketua negara yang kebanyakannya telah memerintah begitu lama sekali, dan kelompok yang tertentu tanpa berusaha mengagihkan pendapatan negara untuk kesejahteraan dan kepentingan rakyat umumnya.
Negara-negara yang kaya dengan hasil bumi seperti minyak dan gas kurniaan Allah SWT kepada negara tersebut sering di jadikan harta kekayaan pucuk pimpinan Kerajaan, malah di belanjakan dengan amat mubazir sekali untuk tujuan peribadi dan kumpulan yang tertentu, yang dengan itu mengakibatkan kerisis harga barang, terutamanya harga makanan yang melonjak tinggi dalam masyarakat yang rata-ratanya miskin dan berpendapatan rendah.
Dari sudut yang lain, Kerajaan kebanyakan negara-negara kawasan ini juga sering menghadapi tekanan dan pengaruh ekonomi dan politik dari luar, khususnya Amerika Syarikat, yang bertindak menekan Kerajaan tersebut atas alasan bagi menjaga kesetabilan politik dan keamanan rantau ini, yang jika dibiarkan akan menggugat Kerajaan yang memerintah. Akibatnya, rakyat dapat melihat pengaruh Barat yang menjadikan ketua negara mereka sebagai boneka asing dan merelakan pula kehadiran bala tentera asing berpengkalan di negara mereka yang sering digunakan untuk menghancurkan Kerajaan di rantau ini yang dianggap sebagi musuh Barat.
Dengan itu maka Kerajaan ini akan bertindak menekan kebebasan rakyat mereka sendiri yang cuba untuk bangun menentang dasar pemerintah mereka itu, sehingga kebebasan bersuara dan bertindak telah di kongkong sama sekali, malah sesiapa yang bertindak demikian akan ditahan dan dimasukkan ke dalam penjara. Oleh itu sistem demokrasi berparlimen tidak mungkin dapat dilaksanakan, malah sekiranya diadakan pilihan raya sekali pun maka sama ada pilihan raya itu hanya diadakan dibeberapa peringkat daerah sahaja, atau di gubal sistemnya dengan begitu rupa sehingga rakyat umumnya tidak mempunyai hak untuk mengundi bagi merialisasikan hasrat mereka terhadap bentuk Kerajaan yang mereka kehendaki.
Aliran politik yang cenderung kepada Barat, khususnya Amerika Syarikat, ini sememangnya disedari oleh rakyat sekian lama, tetapi mereka tidak berkuasa untuk mengubahnya, malah banyak para pejuang demokrasi dan hak asasi manusia telah di masukkan ke dalam penjara, atau pertubuhan mereka diharamkan dengan sewenang-wenangnya.
Pihak Barat dan Amerika Syarikat amat memahami kemahuan negara-negara kawasan ini dari sudut ekonomi dan keselamatan mereka, maka hal ini secara langsung atau tidak langsung telah menyumbang kepada tujuan politik Barat untuk menjaga keselamatan negara Israel yang seharusnya dilindungi itu, sekali gus bermaharaja lela mengaut kekeyaan minyak dan gas negara-negara yang kaya itu.
Hal ini juga yang mendorong rakyat Arab memberontak dan bertindak berani pada kali ini, kerana rakyat umumnya telah menyedari dasar kongkongan yang dilakukan oleh Kerajaan mereka dan sistem pemerintahan yang membelakangkan kepentingan rakyat umum dalam bidang ekonomi, pendidikan, kesejahteraan keluarga dan sosial, juga peranan mereka dalam politik yang selama ini hanya berada di tangan beberapa pihak yang tertentu sahaja.
Kekangan inilah yang sebenarnya mendorong kemunculan golongan militen yang berjuang secara kekerasan untuk menghapuskan pengaruh Barat, khususnya Amerika Syarikat, yang sedang mengaut kekayaan minyak negara mereka, dan menindas Kerajaan mereka, yang kemudiannya Kerajaan itu pula akan bertindak menindas rakyatnya dalam berbagai-bagai bentuk yang menjejaskan kesejahteraan rakyat dan kebajikannya sejak sekian lama.
Bertolak dari perkiraan inilah maka para penalis dalam perbincangan tersebut berpendapat bahawa pemberontakan rakyat tidaklah hanya dilakukan secara membuta tuli, iaitu pemberontakan yang semata-mata dilakukan untuk menjatuhkan Kerajaan, tanpa sebarang dorongan dan alasan yang amat besar dan konkrit.
Malaysia yang mempunyai Perlembagaan yang amat seimbang, telah berjaya membangunkan kerajaan dan rakyat yang sejahtera dan makmur, kesetabilan politik dan ekonomi, kenikmatan yang dicapai dari pembangunan ekonomi negara dan pendidikannya yang menyeluruh dan adil, dan telah mewujudkan sebuah negara yang demokrasi dari segi pembentukan Kerajaan yang baik dan membangun kesetabilan politik, sosial dan ekonomi negara yang mantap dalam jangka masa 53 tahun sejak negara mencapai kemerdekaannya.
Kerajaan pimpinan rakyat yang baik sering mengambil langkah yang pro aktif dalam memelihara kemerdekaan negara dan kesejahteraan serta keadilan kepada semua golongan rakyatnya, iaitu yang berusaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan mengurangkan kadar pengangguran, membasmi kemiskinan dan kejahilan, berusaha menghapuskan amalan rasuah secara berhabis-habisan, membangun ilmu dan toknologi dan seterusnya mendengar suara rakyat umum yang dapat membantu pembangunan negara.
Hal inilah, mengikut para penalis Perbincangan di Istanbul, yang sedang dan telah dilakukan di Malaysia, dan sering diabaikan oleh beberapa buah negara rantau Asia Barat dan Afrika Utara yang membangkitkan semangat rakyat untuk memberontak terhadap Kerajaan mereka.
Malaysia mempunyai Perlembagaan yang seimbang dan adil untuk semua rakyat, sikap moderat dan cintakan perdamaian rakyat kerana berada dalam persekitaran politik dan ekonomi yang setabil, kesejahteraan sosial dan hak sama rata rakyat dalam negara yang mengamalkan dasar demokrasi berparlimen yang teguh Hal ini menjadikan rakyat majority menyedari apakah artinya moderation dan keamanan, dan sikap inilah yang diserukan oleh Perdana Menteri supaya dunia hari ini mengambil sikap moderation menggantikan sikap pelampau dan ekstrem, satu hal yang tidak memungkinkan Malaysia menyaksikan pemberontakan rakyat seperti yang berlaku di rantau Asia Barat dan Afrika Utara sekarang ini.

Ismail Ibrahim
(Hotel Conrad, Istanbul, 24 Februari 2011)

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....