DAKWAH DENGAN HIKMAH...
Kegelisahan yang ditimbulkan tentang penganjuran seminar di Johor mengenai ancaman akidah umat Islam sepatutnya tidak disensasikan oleh mana2 pihak. Media baru terutamanya, amat cepat menimbulkan rasa marah dan gelisah dengan berita ini yang disensasikan dan dibesar2kan, tanpa cuba membuat analisis yang positif tentang seminar ini yang sebenarnya.
Para ahli politik yang cuba menangguk di air keruh juga, segera mengambil kesempatan mencari keuntungan politik peribadi dan kelompoknya dengan membesar2kan isu yang boleh membangkitkan sentimen dan emosi orang, tanpa berusaha meredanya atau memberikan gambaran yang sebenarnya dari segala sudut.
Seminar ini mungkin memberi gambaran yang sebenarnya tentang ancaman akidah umat Islam dari berbagai2 sudut. Saya menyebut "mungkin" kerana saya tidak tahu sebenarnya apakah yang dibincangkan di dalam seminar tersebut, dan apakah isu2 yang ditimbulkan.
Bagaimana pun aspek yang perlu dipentingkan di dalam seminar2 seperti ini ialah menjauhkan penonjolan sesuatu isu dan sangkaan yang difikirkan sebagai kesalahan orang lain tanpa mencuba untuk melihat kelemahan diri sendiri. Dalam isu ancaman akidah ini pun orang Islam tidaklah seharusnya meletakkan kesalahan keseluruhannya kepada gerakan agama lain yang cuba mengancam akidah orang Islam, terutamanya anak2 muda dan pelajar sekolah umpamanya. Mungkin ancaman orang lain itu merupakan satu daripada aspek ancaman yang sebenarnya yang harus disedari oleh guru2 dan orang Islam sendiri, kerana dalam banyak2 gerakan agama, maka akan terdapat sebahagian kecil darinya yang berusaha untuk mengembangkan agama meereka kepada orang Islam secara langsung atau tidak langsung.
Tetapi umat Islam haruslah lebeh berhikmah dalam menangani isu ini, iaitu tidak perlulah menyalahkan pihak itu seratus peratus tanpa melihat ke dalam diri dan masyarakat Islam sendiri dalam usahanya menentang ancaman dari luar ini.
Mungkin inilah maksud seminar ini, iaitu untuk memberi didikan kepada para guru dan pemimpin masyarakat Islam supaya mempelajari di manakah ancaman ini berlaku, dari sudut mana, dan apakah kelemahan masyarakat Islam sendiri dalam menangani ancaman ini, kemudian barulah dapat disusun agenda yang strategik untuk menghadapai ancaman ini, tanpa melukakan hati sesiapa, dan tanpa mengeluarkan sebarang andaian dan prasangka yang tidak berhikmah dan bijaksana.
Media pula seharusnya lebih bertanggung jawab, dan tidak sepatutnya bersekongkol dengan pihak yang sering berusaha menyalahkan pemimpin Melayu-Islam dalam hal ini, dengan memberitakan perkara2 negatif semata2, tanpa cuba memberikan laporan yang seimbang dalam hal ini.
Amat bijak dan berhikmah sekali dalam menghadapai isu2 sensitif ini, semua pihak mempunyai pandangan yang jauh dengan penuh bijaksana, atau wisdom, merujuk kepada sejarah toleransi dan harmoni masyarakat Malaysia dalam beragama ini sejak lama, dan kini mulai goyang kerana perbuatan segelintir orang yang terlalu ghairah untuk membangkitkan isu2 sensitif tanpa hikmah dan bijaksana.
Dalam Islam sendiri, jelas bahawa sifat bijaksana dan berilmu itu adalah merupakan salah satu syarat penting dalam masyarakat, termasuk dalam menyeru orang kepada jalan Allah sendiri.
Harap semua pihak haruslah lebeh berhati2, dan fahamilah maksud hikmah, atau bijaksana, atau wisdom dalam menjalinkan hubungan antara semua rakyat dan semua manusia sejagat ini, terutamanya ketika kita melihat bahawa seluruh dunia pada masa kini sedang dilanda kerisis moral dan akhlak, salah faham, dan ketika seluruh dunia sedang menuju kehancuran, terutamanya ketika berusaha untuk menyelesaikan masalah sesama mereka, maka mereka sering mengambil jalan kekerasan dan keganasan, sedangkan jalan itu tidak mungkin akan dapat menyelesaikan sebarang kerisis manusia.
Apakah masyarakat kita yang terkenal dengan keamanan ini juga seharusnya mengikut trend yang sama yang diamalkan oleh manusia yang tidak bertamadun itu?
Comments
Post a Comment