Flashback KIM
Kalau Kolej Islam Malaya diibaratkan sebagai satu pandangan latar belakang bagi sebuah derama, maka banyak sekali "flashback" yang boleh dilakukan dalam derama ini, termasuk yang telah saya tuliskan tentang nostalgia KIM itu.
Hal ini sebenarnya telah banyak saya catatkan dalam buku autobiografi saya "Kembara Kehidupan, Dari Atap Rumbia Ke Gedung Diplomat" yang diterbitkan oleh Yayasan Ilmuan KL, tetapi elok juga di sini saya paparkan sebahagian dari pengalaman itu.
Lepasan KIM yang paling menariknya telah melanjutkan pelajaran ke beberapa buah universiti di Timur dan Barat. Banyak yang menyambung pelajaran ke Al-Azhar sehingga ke peringkat ijazah PhD, dan beberapa orang yang memasuki Universiti United Kingdom serta United States juga untuk ijazah MA dan PhD.
Setelah mendapat ijazah dan menjadi "orang yang pandai" dalam masyarakat, maka banyak juga yang menceburkan diri dalam bidang pendidikan, mengajar di Universiti tempatan.
Amat menarik juga dalam banyak2 orang "yang pandai" ini banyak pula yang akhirnya mencebur diri dalam politik, jadi calon, jadi Menteri, atau jadi YB di DUN atau Parlimen.
Kawan rapat saya masuk UMNO dan PAS. Harun Din, Sanusi Daeng Meriok, Ahmad Awang, dan beberapa orang lagi masuk PAS. Kawan2 rapat lain masuk UMNO, Arwah Hamid Othman, Yusuf Nor, Manaf Ahmad, Zihin (yang ambil undang2 di Universiti Wales) Dusuki Hj Ahmad, dan yang lain lagi, masuk UMNO dan akhirnya pegang jawatan penting dalam Kerajaan, berkereta sana sini dan berurusan atas tiket Kerajaan BN.
Harusani, dan arwah Murtadza serta "Pok"Kader (dua2nya dari Sarawak) dan beberapa orang lain jadi Mufti negeri, dan saya tidak masuk politik parti, dan tak jadi Mufti kerana tak layak sebab tak ambil Syari'ah, tapi orang kata saya "pengampu" Mahathir kerana jadi KP IKIM ! Saya kerja Universiti, UKM dan UIA, kemudian mengetuai IKIM, yang saya rasa IKIM tidak buat dosa, kerana masa di IKIM saya hubungi semua orang dari semua parti, malah MB Kelantan pun pernah mengadakan seminar bersama dengan IKIM, dan pernah satu masa kami buat perjumpaan dengan pemimpin UMNO, PAS, Parti Rakyat dan beberapa NGO Islam. Ketika tubuh radio IKIM, orang tanya saya "Awat hang buat radio PAS ke? Radio Islam tu!"
Tapi semua ni tak penting, kerana yang pentingnya keluaran KIM amat fleksibal, masuk macam2, berjuang sana sini, termasuk yang di Brunei jadi Menteri dan Pegawai Tinggi, di Singapura pun masuk bidang pentadbiran dan kehakiman Islam, termasuk menjadi Muftinya.
Inilah kenangan manis dalam bidang keilmuan KIM. Yang pentingnya juga semua keluaran KIM tak kira masuk parti mana pun, apabila bertemu akan bergelak ketawa, bergurau senda, sama seperti masa di Klang dulu, walau pun dalam hati masing2 tak tahulah, hanya Allah saja yang tahu.
Sampai masanya UIM akan ditubuhkan, tentulah harapan amat tinggi bahawa produk yang lebih berkualiti akan dapat di lahirkan, dan arena ilmu serta perjuangannya tentulah lebeh global, sejajar dengan perkembangan dunia baru, pemikiran baru, dan imej baru sekarang ini.
Kalau ditanya para lepasan KIM itu semuanya, saya rasa banyak yang akan mengatakan bahawa pengalaman di KIM itu amat manis dan masih segar dalam ingatan masing2, sungguh pun semuanya sudah di makan usia lanjut, berambut puteh, gigi rongak, kulit kendur, dan berjalan tidak sekuat dulu lagi...!
Lepasan KIM yang ada lagi menepati kriteria yang di berikan oleh Arwah Tuan Haji Abdul Rahman Merbok iaitu "kulitnya kendur, gigi gugur, mata kabur, uban bertabur......" dengan huruf "r" di hujung setiap patah perkataan itu dibunyikan dengan huruf "ain" bahasa Kedah..
Sebab itulah juga saya menggunakan saiz besar untuk menulis nostalgia ini, jangan hairan ya!
Sebab itulah juga saya menggunakan saiz besar untuk menulis nostalgia ini, jangan hairan ya!
Comments
Post a Comment