PENYAPU DAN KASUT !!



Bagi orang Melayu, penyapu dan kasut merupakan dua jenis benda yang dianggap sial dan tidak seharusnya digunakan untuk memukul orang. Tetapi tindakan membaling kasut atau selipar kepada orang yang dimarahi nampaknya telah berlaku dua kali di negara kita, menurut laporan akhbar, mungkin berlaku banyak lagi yang kita tak tahu kerana tidak dilaporkan..





Perbuatan ini berlaku dalam dunia antarabangsa agak lama dulu di ibu kota Iraq, Baghdad, iaitu ketika seorang wartawan membaling kasutnya kepada Presiden Bush dalam satu persidangan akhbar yang dihadiri juga oleh Presiden Iraq.





Peristiwa membaling kasut di dalam negara kita ini berlaku baru2 ini di dalam mahkamah, ketika seorang bekas Imam masjid membaling kasut (atau seliparnya?) kepada tiga orang hakim yang menolak rayuannya dalam satu kesnya. Sungguh pun kasut itu tidak mengenai sasarannya, iaitu para hakim tersebut, tetapi mengenai pegawai mahkamah, lalu kemudiannya si pembaling kasut itu dihadapkan ke mahkamah sekali lagi kerana perbuatannya yang dianggap menghina mahkamah dan dia telah menerima hukuman penjara.





Peristiwa ini rupa2nya berulang lagi bagi kali kedua, apabila kali ini seorang guru pula yang bertindak membaling seliparnya, dan sasarannya ialah muridnya sendiri. Tetapi kes ini tidak dibawa ke dalam mahkamah, kerana telah diselesaikan di luar mahkamah, iaitu ketika guru ini segera memohon maaf dari murid dan ibu bapanya itu.




Kalau mengikut adat dan tradisi kesopanan orang Melayu, maka kasut dan penyapu tentulah tidak boleh digunakan untuk menyakiti orang lain, apa lagi jika orang yang kita cuba sakitkan itu merupakan orang yang kita harus hormati dan kasihi, malah orang biasa, bukan pencuri atau penyangak, samseng atau peerompak. Bukan hanya setakat membaling kasut atau memukul dengan penyapu, malah menunjukkan sesuatu dengan kaki pun nampaknya agak kasar, kerana membuat isyarat tunjuk sesuatu mestilah dilakukan dengan jari tangan, dan lebeh bersopan lagi dengan ibu jari, oleh itu amat tidak sopan sekiranya seseorang menunjuk sesuatu di atas lantai dengan kakinya.




Demikian juga penyapu tidak seharusnya di gunakan oleh orang Melayu untuk menyentuh orang atau bergurau dengan orang lain. Sebab itulah penyapu hanya mungkin digunakan orang Melayu untuk menghalau kucing atau anjing, atau isteri yang terlalu marah kepada suaminya, namun selalunya ketika marah seperti ini pun, dia kadang2 hanya akan mengacu2kan penyapu saja, tidak sampai memukul suaminya itu dengan penyapu, walau pun suami yang berang mungkin tergamak memukul isterinya dengan penyapu! (bergurau saja saya!)




Itu satu hal, tetapi kelakuan yang berlaku ini lebeh2 menyedihkan kerana yang melakukannya ialah orang dewasa dan berkedudukan terhormat dalam masyarakat, tentulah lebeh besar lagi bahananya kepada masyarakat, dan tentulah lebeh merbahaya, kerana pepatah Melayu juga ada menyebut, kalau guru kencing berdiri, murid kencing berlari, iaitu kalau guru boleh membaling kasut, murid mungkin boleh membaling lesong batu kepada orang yang dimarahinya!! Bukankah padahnya lebeh besar dan merbahaya lagi, dan murid ini boleh berkata bahawa guru dia boleh baling kasut, kenapakah dia tidak boleh baling lesong batu??!




Tetapi kita pun faham, bahawa orang yang terlalu marah, sering bertindak di bawah sedar, ragut dan capai apa saja yang ada di dekatnya untuk dijadikan senjata dan alat untuk menyakiti orang lain. Kalau ada senapang, mungkin akan ditembaknya!




Inilah bahayanya marah tanpa pertimbangan. Sebab itulah agaknya dalam Quran, Allah sentiasa mengingatkan kita supaya banyak bersabar dan mengingati Allah, malah orang yang beriman seharusnya lebeh banyak dan lebeh tinggi lagi tingkat kesabarannya.....Siapa yang kurang kesabarannya, dan sering mengikut nafsu "ammarahnya" maka alamatnya dia kurang iman...!




Allah bersama2 orang yang sabar..











Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....