18 RAMADHAN 1436 - EPISOD KELAPAN BELAS (5 JULAI 2015) BALIK KE PANGKAL JALAN
Halim menyambung perkongsian pengalamannya di Syria.
"Saya berada di tengah-tengah pemuda pemudi asing yang banyak dalam memperjuangkan satu kes yang saya sendiri tidak memahaminya, kecuali atas alasan berjuang sebagai seorang Jihadis menentang musuh Allah dan musuh Islam"
Setelah menyedari hakikat bahawa peperangan ini tidak seharusnya merupakan jihad, kerana terkeluar dari definisi jihad zaman Rasulullah SAW, ketika baginda dan para sahabatnya berperang untuk mengembangkan agama Islam di kalangan orang-orang kafir yang menolak Islam sebagai agama Allah, dan berusaha menyerang baginda untuk menghancurkan misi Islam itu sendiri, maka perjuangan yang di sertai Halim serta ramai "jihadis" luar negara Arab, adalah merupakan pertempuran berdarah dan pembunuhan nyawa manusia, terutamanya pembunuhan sesama Islam, yang tentunya amat jauh dari perang juhad yang sebenarnya.
"Saya pernah bertanya para belia negara Arab luar Syria yang berjuang dalam kumpulan IS ini tentang dorongan yang membuatkan mereka rela menyabung nyawa di negara orang lain, malah memancing kematian dalam satu pertempuran yang mengancam nyawa sendiri"
Jawapan yang mereka berikan kepada Halim, bahawa sebenarnya mereka adalah dalam proses peperangan di negara mereka sendiri, kerana para belia yang datang dari negara-negara Arab adalah merupakan para penduduk yang sedang mengalami peperangan di negara mereka sendiri. Negara-negara Arab, termasuk Iraq, Libya, Mesir, Yaman dan beberapa buah negara yang lain sebenarnya sedang berada dalam peperangan saudara, bermotifkan qabilah, aliran politik dan ekonomi serta berbagai-bagai kerisis lain yang hanya di fahami oleh penduduk negara-negara tersebut sahaja.
Mereka berkata "Kalau kami berada di dalam negara sendiri pun, kami saban hari terdedah kepada peluru dan roket yang sering mensasarkan para penduduk awam. Kebanyakan orang awam yang tidak berdosa yang sering menjadi korbannya, termasuk kanak-kanak dan wanita" kata mereka
"Seperti negara Syria ini, maka kami di negara Arab dan negara Afrika Utara sering menjadi mangsa pertempuran di antara pengawal keselamatan negara sendiri dan kumpulan militan yang sering bertempur. Akhirnya penduduk yang tidak terlibat, termasuk kanak-kanak, orang tua, wanita dan rakya awam terpaksa melarikan diri dari negara sendiri, menjadi orang pelarian perang, menghadapi segala azab sengsara, kesusahan dan kesulitan berpindah ke negara lain yang lebih selamat, tinggal di dalam kem-kem yang serba daif, tidak kecukupan bekalan kemudahan, air, api, makanan dan keperluan lain yang biasanya di dapati agak mudah di rumah sendiri" jelas kumpulan lain pula
"Yang menyedihkan kanak-kanak sekolah dan universiti, atau kolej pengajian, terpaksa melarikan diri, meninggalkan sekolah dan tempat pengajian, meninggalkan buku pelajaran, para guru dan pendidik mereka yang selama ini menjadi tempat untuk pembelajaran dengan aman dan damai"
Mereka juga menyebut "Bahawa dilihat dari kesan dan implikasi jangka panjangnya, maka negara-negara yang mengalami kerisis peperangan ini, akan mengakibatkan satu atau dua generasi rakyatnya akan musnah dan hancur masa depannya untuk menjadi rakyat yang berpendidikan dan bakal membangunkan negara mereka sendiri pada masa hadapan"
"Bagaimanakah mereka boleh membesar sebagai orang yang berilmu dan mempunyai kepakaran untuk membangunkan rakyat serta negaranya sendiri, sekiranya mereka terpaksa mengabaikan pelajaran dan bidang pendidikan mereka, menjadi pelarian perang yang berselerak di negara-negara lain, yang hanya tahu untuk berusaha untuk menyambung nyawa sendiri sahaja" tanya mereka
Halim menyebut bahawa hal inilah juga yang pada satu ketika menjadikan dia insaf dan sedar kenapakah dia seharusnya datang ke negara orang lain untuk berjuang tanpa motif yang jelas yang mendorongkannya menyertai perjuangan ini. Pada masa itu barulah dia insaf bahawa tanpa motif dan matlamat yang jelas, iaitu setelah meneliti bahawa perjuangan ini tidak mempunyai sebarang kreteria peperangan jihad, malah di negara sendiri tidak terdapat sebarang perkembangan negatif yang membawakan dia serta para temannya dari negara sendiri untuk keluar berjuang di negara orang lain, sedangkan suasana di negara sendiri berada di dalam aman damai, maka pada masa itu terfikirlah dia betapa ceteknya pemikirannya menyertai perjuangan yang sia-sia ini.
"Inilah satu hakikat yang menjadikan saya terfikir untuk surut ke belakang, dan mengambil keputusan, bahawa propaganda selama ini yang menghubungkan perjuangan "Arab" atau "kearaban" dengan urusan dan amalan agama, adalah merupakan satu gambaran yang jauh dari kenyataan yang sebenarnya, apa lagi untuk meyakinkan bahawa peperangan yang disertainya merupakan jihad yang membawa ke syurga. Malah kefahaman itu hanyalah merupakan satu persepsi kosong semata-mata" tambahnya.
Dia menceritakan bahawa pada ketika itulah dia melarikan diri dari gelanggang peperngan....mengembara jauh ke negara jiran Syria, dan dengan berbaki wang yang mencukupi, dia membeli tiket penerbangannya balik ke Kuala Lumpur..
Comments
Post a Comment