27/28/29 RAMADHAN 1436 - EPISOD YANG KE-27,28 dan 29 (14/15 dan 16 JULAI 2015) JANGAN DISANGKA AIR YANG TENANG TAK ADA BUAYA


Nampak pada lahirnya, negara dan rakyat kita hidup tenang dan selamat. Orang berperang dan berbunuhan, tetapi kita tidak sampai berbunuhan, cuma riaknya nampak hadir juga seperti kejadian di Low Yat. Riaknya kecil, tetapi maknanya besar, terutamanya pada masa kini apa-apa yang berlaku sering di salah berita dan di salah lapor, malah di tambah-tambah dan di reka-reka cerita, sehingga gambaran sebenarnya telah menyeleweng menjadi satu gambaran lain, yang jika dulunya ketika ketiadaan media sosial, hanya di ketahui oleh ratusan orang, tetapi sekarang melalui media sosial, telah menjadi persepsi ratusan ribu orang, bukan hanya di Low Yat, malah di seluruh negara dan seluruh dunia.

Harap riak-riak negatif itu hanya akan berhenti di situ sahaja, tanpa merebak dan berpanjangan ceritanya. Harap janganlah isu sensitif yang cuba dibangkitkan itu tidak akan menjadi api dalam sekam, yang kemudiannya akan mulai terbakar dan menjadi api yang besar, membahayakan ketenteraman orang ramai...

Menjenguk ke sudut lain pula, , tajuk berita akhbar hari ini amat mencemaskan, iaitu yang berbunyi : 95 maut dalam tempoh EMPAT hari sejak Jumaat. Operasi Ops Selamat yang dimulai pada kira-kira seminggu sebelum Raya ini, iaitu selama empat hari sahaja telah menyaksikan 95 nyawa manusia melayang di atas jalan raya....

Sumber keselamaatan menyatakan bahawa salah satu punca utama kemalangan jalan raya itu ialah bermula dari kecuaian manusia sendiri. Kereta dan kenderaan, terutamanya motosikal, semuanya elok dan tidak ada cacat celanya, tetapi orang yang mengendalikannya yang telah diolek oleh terujanya perasaan, keseronokan menyambut Raya dan keasyikannya memandu dengan laju, atau memotong kiri kanan tanpa peraturan dan rasional akal sendiri, yang akhirnya membawa padah

Yang mati mungkin pegawai awam atau swasta, pelajar, profesional, dan sebagainya. Mereka dilatih sejak dari bangku sekolah dan universiti untuk menjadi pekerja yang mahir, berpengetahuan dan pakar di dalam bidang kerjaya masing-masing. Kalau dijumlah wang untuk membiayai mereka dari pendidikan rendah, menenganh dan tinggi, kemudian melatih di peringkat kemahirn masing-masing ketika dalam peerkhidmatan sehingga muncul sebagai tenaga profesional, maka jumalah keseluruhannya yang mati itu telah memakan jutaan wang Kerajaan dan poket sendiri,

Kematian mereka melenyapkan tanaman modal jutaan itu, kepakaran dan kemahirannya lesap bersama lesapnya mereka dari alam fana ini, dan akan mengambil masa yang panjang pula untuk di ganti oleh orang lain.

Malah 95 yang meninggal telah meninggalkan ribuan keluarga tersayang, termasuk ibu bapa, suami atau isteri, anak-anak dan saudara maranya, yang akan menanggung derita kesedihan dan penderitaan jiwa serta mungkin juga pendapatan keluarga, yang semuanya menimbulkan kesan buruk yang banyak di kalangan para keluarga dan waris mangsa itu.

Memang kejadian seperti kemalangan, maut dan cedera, nahas dan kematian adalah ketentuan Allah, tetapi sekiranya pemandu dan pengguna jalan raya memandu ikut nafsu, gopoh, letih dan mengantuk, maka orang-orang ini sendiri yang sebenarnya mencari kecelakaan, dan membuka ruang kemalangan dan kejadian yang membawa maut itu.

Allah memberikan kita akal dan kebijaksanaan, kesabaran dan hemah tinggi, ikhtiar dan usaha untuk memelihara diri dan nyawa, maka kalau semuanya menggunakan hikmah kebijaksanaan, kesabaran dan ketenangan ini, maka dia dengan pertolongan Allah akan dapat mengelakkan diri dari tersungkur ke dalam kemalangan maut ini, malah sekiranya setelah berusaha dan berjaga-jaga supaya dapat mengelakkan diri dari kemalangan itu telah di laksanakan dengan baik, kemudian terjadi juga kemalangan, maka pada ketika itu barulah boleh diserahkan kepada takdir dan suratan dari Tuhan, Allah SWT.

Pemandu Malaysia, motor, kereta, bas, lori. tanker dan sebagainya, sentiasa kelihatan tergesa-gesa memandu dan melarikan kenderaannya. Mereka sentiasa mahu cepat dan memotong semua orang di depan untuk memecut ke hadapan. Orang yang memandu perlahan sering di ikuti dengan rapat dari belakang, di nyalakan lampu, di bunyikasn hon, malah pemandu motor juga sering kelihatan berlumba-lumba dengan semua kenderaan di atas jalan raya, mencelah seperti ular, memotong di tengah, di tepi dan di kiri kanan jalan dalam kenderaan yang banyak itu.

Kesabaran di atas jalan amat rendah tahapnya. Peraturan lalu lintas amat sedikit di patuhi, lampu terafik, mengikut lorong yang sewajarnya, memandu mengikut had laju yang telah di tentukan, memotong kanan kiri, semuanya di langgar tanpa segan silu, dan tanpa mementingkan keselamatan diri sendiri, apa lagi jiwa orang lain. 

Kemalangan maut amat tinggi di negara kita, kepatuhan kepada peraturan memandu dan undang-undang lalu lintas amat rendah, tali pinggang keledar hanya jadi perhiasan, mengguna talipon bimbit yang di larang telah tidak di patuhi lagi, memandu laju dan gopoh, memang menjadi amalan semua, termasuk kenderaan berat, bas yang membawa berpuluh-puluh nyawa orang, dan segelintir pemandu teksi pula, dia sendiri tidak menunjuk contoh yang baik untuk memakai tali pinggang keledar.

Negara menuju tahap maju dalam ekonomi dan industri, sepatutnya maju juga dalam bidang etika dan adab, nilai-nilai murni dan akhlak, mematuhi peraturan sebagai orang yang bertamuddun, berbudaya tinggi, bersopan dan menjadi contoh generasi baru, atau pengunjung luar ke negara kita, tetapi semuanya ini tidak kelihatan kelibat dan bayang-bayangnya, maka bagaimanakah kita akan mendakwa bahawa kita adalah negara dan rakyat contoh, berperadaban dan beretika, berperaturan dan mematuhi undang-undang, malah yang beragama, yang siang malam mengajar atau belajar agama, maka di manakah ajaran agama tentang akhlak dan moral, etika dan adab, peraturan dan undang-undang yang kita patuhi...

Sebab itulah dari awal lagi saya katakan bahawa kita boleh berbangga, menepuk dada sebagi bangsa contoh yang ideal, aman damai dan sejahtera, tetapi di sebaliknya, kita juga menjadi contoh kejatuhan akhlak dan moral, manusia yang tidak sabar dan membuang ikhtiar, yang tidak mempunyai pandangan jauh untuk kesejahteraan kita sendiri...Kenapakah hal ini berlaku? Masing-masing bolehlah menepuk dada tanyalah selera, kenapa? dan kenapa?

Malah amat perlu di tanyakan diri masing-masing: Apakah ibadat puasa yang banyak memberikan pengajaran itu dapat membentuk jiwa raga dan tingkah laku umat Islam untuk lebih beretika, bermoral dan berakhlak tinggi di dalam segala aspek kehidupan mereka...?

Dari sudut senario yang lain lagi, umat Islam di negara kita berada dalam perpecahan yang serius dalam bentuk kepura-puraan bersatu dan berpadu. Di dalam menunaikan ibadat, umat Islam berpadu, bersolat dengan mengadap kiblat yang satu, bacaan yang sama, perbuatan rukuk sujud yang satu, malah berwuduk yang serupa, bilangan rakyaat solat yang sama banyaknya, dan semuanya ini melambangkan kesatuan umat Islam yang kukuh.

Dalam berpuasa juga umat Islam menahan diri dari makan minum dan tidak melakukan apa-apa saja yang membatalkan puasa dalam satu sistem dan peraturan yang sama, memulakan puasa dan membukakannya mengikut peredaran masa yang sama, menuju ke masjid atau surau beramai-ramai, mendirikan solah dalam satu kumpulan yang amat tertib, dan semuanya tunduk kepada rukun-rukun dan syarat-syarat yang satu, melambangkan lagi kesatuan ummah dan kesepaduannya.

Tetapi di luar, di dalam bidang ekonomi, pendidikan, politik dan urusan kehidupan lainnya, masing-masing mempunyai cita rasa dan caranya yang tersendiri, Menipu, rasuah, gila kuasa, kebendaan, nafsu keduniaan, bersikap parang dua mata, munafik, fasik dan 1001 macam tabiat buruk yang membawa kepada perpecahan dan permusuhan, konflik dan hasad dengki, semuanya berada di dalam masyarakat Islam...

Kesatuan masyarakat yang dilambangkan oleh agama, kesepaduan yang di tunjukkan oleh Rasulullah SAW, kekuatan pasukan dan saf yang diserukan oleh Al-Quran, semuanya hanya tinggal di mulut atau di dada Al-Quran dan Hadis, yang hanya di pelajari dan di fahami, tetapi tidak di amalkan....

Politik sendiri juga yang memecah belahkan masyarakat Islam,,,berlaku kerisis dalam parti Islam, maka tanpa sepakat, masing-masing menunjukkan kekuatan kelompok, keluar dari jemaah, memecah belahkan lagi kumpulan ummah, dari dua tiga, menjadi empat lima, membentuk golongan minoriti dalam masyarakat Islam, berjuang untuk siapa? Hanya mereka sendiri yang tahu menjawabnya.

Cabaran dan gerakan raksaksa yang berlaku di luar untuk menghancurkan agama sedang mara dengan hebatnya ke dalam negara dan masyarakat kita, tetapi kita abaikan, kita seolah-olah tidak mengetahui, kerana kepentingan diri sendiri, atau kelompok masing-masing, yang cuba mencari pengaruh dan kekuatan sendiri-sendiri sahaja...

Semoga akan terdapat pasukan ketiga dan ke empat yang mempunyai kebijaksana dan hikmah yang tinggi, akan dapat tampil ke muka, menjadi sumber inspirasi yang berkecuali bertujuan menguatkan saf dan membetulkan barisan, supaya umat Islam akan mampu mempertahankan keperibadian dan identiti ummah sendiri dengan segala kekuatan dan kekentalan perjuangannya bagi mempertahan lambang dan amalan suci agama, tanpa merebut dan mengharamkan umat lain dari hak dan bahagian mereka...Mudah-mudahan....!!

Berkat puasa yang sampai ke penghujung, dan Hari Raya yang penuh kemenangan serta kejayaan, marilah kita berdoa kepada Allah SWT supaya di bukakan mata hati, akal dan minda kita ke arah kebaikan, di celikkan kita akan gejala-gejala merbahaya  yang sedang kita hadapi dalam mempertahankan umat dan agama kita, di tetapkan iman, diberikan visi dan misi untuk membangunkan tanah air dan harta benda sendiri dalam sistem dan peraturan yang ditunjukkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW, supaya semuanya dapat di pertahankan dengan baik, Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim...Amin, Amin ya Rabbal-Alamin....

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....