25 RAMADHAN 1436 - EPISOD YANG KEDUA PULUH LIMA-(12 JULAI 2015) HAFAZ DAN TADABBUR AL-QURAN

Saya hanya memikirkan bahawa untuk peningkatan ilmu umat Islam pada masa kini dan masa yang akan datang, kita haruslah meneruskan pengajian Al-Quran mulai dari menghapal, menulis, membaca kepada memahami dan mentadabbur kandungan Al-Quran iaitu dengan menganalisisnya, mengkaji nya dari berbagai-bagai perspektif ilmu supaya Al-Quran benar-benar menjadi panduan yang menyeluruh kepada umat Islam di dalam kehidupannya di dunia dan di akhirat. 

Terdapat beberapa pihak yang mencuba untuk membuat perbandingan di antara dua kategori ini tentang menghapal dan mengupasnya secara ilmiah, dengan mengemukakan pertanyaan manakah yang lebih baik: menghapal seluruh Al-Quran, atau menguasai, walau pun sebahagiannya sahaja, meskipun tidak menghapalnya.

Bagi saya kedua-dua nya adalah mempunyai kelebihan masing-masing. Orang yang menghapal nya mempunyai keistimewaan dan kelebihannya yang tersendiri, meski pun dia tidak memahami isinya secara mendalam, dan orang-orang yang tidak menghapal keseluruhan kandungan Al Quran, tetapi apa bila membacanya, dia mengetahui dan memahami secara mendalam tentang maksud dan makna ayat-ayat yang di bacanya, maka dia juga mempunyai kelebihannya tersendiri, meskipun dia tidak menghapal keseluruna kitab suci Al-Quran.

Perbandingan yang sering di buat dengan mengatakan kumpulan ini lebih baik dari kumpulan yang lain, mungkin hanya akan menimbulkan konflik di kalangan masyarakat Islam, sehingga menimbulkan perpecahan dan persaingan yang tidak berfaedah, Kita sendiri tidak mungkin mengatakan seorang Muslim itu lebih baik dari seorang Muslim yang lain berdasarkan persepsi peribadi dan ukuran luaran semata-mata.

Dalam konteks perbicaraan ini, bagi saya sememangnya membaca dan menghapal Al-Quran tanpa mengetahui kandungannya secara mendalam mempunyai kelebihanya tersendiri, tetapi membaca Al-Quran dengan memahami dan menyelami setiap ayat yang dibaca dari segi falsafah dan pengajaranya tentulah amat baik lagi, tanpa merendah-rendahkan para huffaz itu sendiri yang tidak menguasai ilmu tadabburnya.

Sebab itulah saya merasakan bahawa untuk masa yang akan datang penumpuan kita hanya kepada hafazan, dengan mendirikan sebanyak-banyaknya pusat menghapal Al-Quran, haruslah di pertingkat dan di teruskan kepada hafazan serta mentafsirnya, memahami bahasanya dan rahsia tafsirannya secara mendalam, supaya dengan itu kita memahami Al-Quran sebgai sebuah kitab perbendaharaan ilmu, satu panduan hidup dunia dan akhirat, dan benar-benar merupakan sebuah Perlembagaan agung yang mengatasi semua perlembagaan lain untuk panduan manusia sejagat.

Sekarang ini nampaknya, orang Islam tidak sangat mampu menguasai bahasa Arab secara mendalam, yang menjadi bahasa Al-Quran. Mutu bahasa Arab di kalangan masyarakat umum dunia Arab sendiri pun sebenarnya semakin merosot mengikut kajian yang dilakukan. Sesetengan negara Arab sendiri nampaknya mengambil mudah tentang perkembangan bahasa mereka sendiri, iaitu tidak sangat menumpukan usaha-usaha untuk memperkayakan ilmu bahasa mereka, meningkat kaedah pengajaran dan pembelajarannya, menyediakan alat-alat bantuan mengajar dan sebagainya.

Para pelajar Melayu yang pergi menyambung pelajarannya ke negara-negara Arab juga pada umumnya tidak terdedah kepada orientasi dan iklim yang dinamik dalam menguasai bahasa Arab dengan baik. Mereka pada umumnya terdedah kepada kehidupan sosial dan pembelajaran yang tidak tertumpu kepada satu dorongan untuk penguasaan bahasa itu dengan sebaik-baiknya. 

Persekitaran yang menjadi tempat tinggal mereka di dunia Arab juga tidak jauh bezanya dari negara sendiri, pergaulan, pembacaan, budaya ilmu dan saluran komunikasinya juga tidak eksklusif untuk meningkatkan penggunaan bahasa Arab, terutamanya dalam penggunaan dan penguasaan bahasa Arab kelasik sebagai bahasa ilmu dan bahasa Al-Quran.

Oleh itu dalam suasana di negara kita, yang menumpukan perhatian kepada Al-Quran sebagai kitab suci peribadatan semata-mata, dan sebuah kitab suci untuk hafazan dengan ganjaran pahalanya sahaja, haruslah di majukan lagi kepada mempelajari, mengkaji, mengupas, menganalisis kitab suci itu sebagai sumber ilmu dunia dan akhirat, malah mengandungi prinsip dan dasar segala bidang ilmu seperti sains teknologi, sains sosial, sejarah dan tamadun, kemanusiaan, alam nyata dan alam ghaib, dan pencapaian ini semua hanya dapat di usahakan dengan menguasai bahasa Arab dengan sebaik-baiknya.. 

Sememangnya kitab suci Al-Quran bukanlah merupakan sebuah buku dalam satu bidang ilmu tertentu seperti yang sering di hasilkan oleh manusia, malah Al-Quran bukanlah buku sejarah atau cerita, bukanlah buku sains, perubatan dan teknologi, bukan buku ilmu kemanusiaan dan sains sosial, malah Al-Quran adalah wahyu Allah SWT yang amat lengkap, yang mempunyai rahsia dan hikmahnya yang amat luas dan unik sekali, sehingga merupakan satu mukjizat yang besar kepada baginda Rasulullah SAW.

Oleh itu banyak perkara lain yang seharusnya di pelajari dari kitab suci ini, dan untuk mengkajinya dengan sempurna, kita haruslah mempunyai methodologinya yang tersendiri bagi menguasai ilmu tata bahasa dan prama sasteranya yang amat luas, menjangkaui lebih jauh dari menghapalnya sahaja....

Oleh itu ketika kita menghadapi hari-hari terakhir yang membawa kita ke hari pengakhiran Ramadhan, maka penumpuan kita dalam pengajian Al-Quran bukanlah sekadar hanya berhenti untuk peribadatan dan hafazan, malah haruslah kita teruskan lagi ke peringkat seterusnya, iaitu menguasai bahasa Al-Quran dengan sebaik-baiknya, agar Al-Quran dapat di baca dengan penuh makna, penuh perutusannya untuk dunia dan akhirat, lahir dan batin, yang jelas dan yang tersembunyi...Mudah-mudahan...

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....