MALAM RAYA - 29 Ramadhan 1436 - 16 Julai 2015

Malam Raya baru menjelang, ketika para jemaah beberapa orang berjalan menuju ke Surau kami untuk berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib, kemudian bertakbir raya beramai-ramai.

Malam ini tidak ramai bilangan jemaah seperti biasa,  kerana ternyata ramai jemaah yang telah beredar pulang ke kampung, meninggalkan daerah kami ini, Yang tinggal hanyalah beberapa orang lama yang tidak perlu tergesa-gesa balik ke kampung, atau tidak ada sesiapa lagi di kampung.

Kenangan segera membuka ruang untuk para jemaah yang tinggal ini merasa  agak lain dari yang lain. Selalunya selepas berbuka dan selesai solat maghrib mereka akan mengadap makan malam yang agak banyak lauk pauknya, tetapi pada malam ini hanya beberapa mata lauk untuk di makan sekadarnya saja. 

Lepas isyak, dan setelah bertakbir dari selesainya solat Maghrib tadi, jemaah hanya bersurai tanpa moreh lagi, kerana waktu masih awal, dan mereka perlu pulang ke rumah untuk tujuan lain bagi setiap isi rumah, yang pada malam ini akan kembali kepada kehidupan biasa, berbeza dari malam-malam sepanjang bulan Ramadhan yang baru beredar pada malam ini.

Ramai yang dalam mengalami suasana malam biasa pada malam ini menangis tanpa mengetahui sebabnya. Banyak yang merasa sedih dan sayu. Sesetengahnya kerana perubahan suasana malam dan pertukaran rutin ibadat yang ternyata baru berubah pada malam ini, selalunya menunggu di surau hingga akhir malam, kira-kira jam 10 atau 10.30, tetapi pada malam ini baru jam 9 atau 9.15 mereka telah keluar dari surau, yang telah menjadi gelap kerana lampu-lampunya di padam.

Ramai yang pada malam inilah teringat emak bapa, atau saudara mara, bapak dan emak saudara, yang telah pergi, lama atau pun baru. Ingatan ini secara sepontan sahaja menjelma di dalam ingatan mereka, yang menyebabkan mereka terasa sunyi dan ingin mengalirkan air mata.

Namun satu yang pastinya, esok mereka akan menyambut hari kemenangan, kejayaan dan kembalinya mereka ke penghidupan fitrah setelah melalui masa sebulan beribadat dan melatih diri dengan kepelbagaian riyadah kerohanian yang senang dan sukar.

Malam semakin hening dan sepi, yang tua-tua mulai melabuhkan diri untuk merebahkan badan, mencuba untuk tidur yang biasanya mengambil masa yang lama untuk lena.

Yang muda-muda, terdapat yang baru hendak mengeluarkan baju raya, dan persiapan lain. Mendengar nyanyian selamat hari raya dari artis-artis yang kebanyakannya telah lama meninggal, tetapi lagu-lagu mereka masih segar.

Malam menjadi larut, lagu-lagu raya mulai padam, suasana menjadi semakin hening, dan ramai orang yang telah masuk tidur, untuk bangun pagi esok bagi menunaikan sembahyang raya.........

Demikianlah, satu hari lagi hari raya berlalu dalam kehidupan Muslimin Muslimat, dan satu hari lagi umur mereka bertambah, bermakna satu hari lagi juga umur mereka berkurang. Hari ini berlalu sudah, dan hari yang sama akan menjelma lagi pada tahun hadapan, cuma umur orang-orang yang berpisah dengan hari ini, pada tahun ini, adakah akan sempat menanti kembalinya lagi hari ini pada tahun yang akan datang...hanyalah Allah yang akan menentukannya...

Namun hari ini tetap akan pergi dan datang silih berganti, demikian juga manusia pun akan pergi dan datang silih berganti..yang pergi tetap akan pergi apabila tiba masanya, dan yang datang pun akan tetap datang pada waktunya.....itulah malam raya...dan itulah juga tabiat kejadian manusia, ..yang kekal hidup hanyalah Maha Pencipta, Tuhan Yang Maha Berkuasa ...Allah SWT.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....