1 MALAYSIA DAN MELAYU-ISLAM
Sebagai orang Melayu yang beragama Islam, kadang-kadang terfikir saya, apakah relevennya konsep 1 Malaysia untuk menyatu padukan semua keturunan rakyat Malaysia, sedangkan umat Islam dan umat Melayu di negara sendiri berkerisis dan bercakaran? Relevenkah kita membicarakan konsep 1 Malaysia, sedangkan kita sendiri sesama umat dan kaum tidak mengamalkan konsep satu ummah dan satu kaum itu?
Kita beccakaran kerana perbezaan ideologi politik dalam isu yang remeh temeh dan isu-isu sampingan yang tidak kena mengena dengan isu dasar dan perssoalan pokok mati hidupnya kita sebagai bangsa dan umat yang mempunyai satu agama?
Cukuplah fahaman politik kepartian yang selama ini telah menjadi pendorong kepada perpecahan dan pertelegahan umat kita sehingga kadang-kadang menimbulkan perilaku tuduh menuduh yang bukan-bukan kepada orang lain yang dianggap musuh politik kerana perbezaan parti politik yang disertainya, iaitu tuduhan kafir, murtad, sekular, dan berbagai-bagai lagi lebal lain yang amat serius dan kadang-kadang orang yang melemparkan tuduhan itu sendiri tidak memahami apakah konsep bagi lebal yang dilemparkan kepada orang lain sesama saudara sebangsa dan seagama itu.
Ya, cukuplah fahaman dan anutan fanatik partisan dalam politik kepartian itu yang memecah belahkan umat kita selama ini, maka kini timbul pula unsur-unsur lain yang lahir di dalam masyarakat sebagai faktor yang menyumbang kepada perpecahan dan kerisis di kalangan umat kita, iaitu isu taksub mazhab, dan perbezaan tafsiran serta pandangan dalam masalah-masalah amalan kita seharian di dalam ibadat dan feqah.
Apakah untungnya bagi umat kita dengan kita membesar-besarkan isu sampingan dan cabangan dalam ibadat kita atau amalan agama kita yang bukannya merupakan perkara fundamental dan dasar yang menyentuh akidah atau hukum syarak yang asasi.
Satu ketika dulu, agak lama dulu, ada ulamak kita yang membawa pandangan baru untuk menghalalkan memakan biawak, dan hebohlah seluruh negara tentang hal ini, sehingga akhirnya masaalah ini hilang begitu sahaja, kerana halal atau tidaknya biawak itu tidaklah menjadi isu lagi, sebab kalau halal pun berapa orang saangatkah orang Islam yang nak makan biawak? Atau kalau halal pun, biarlah orang yang mengatakan begitu yang memakannya sedangkan ramai orang lain yang tidak mahu memakannya. Jadi apakah untungnya kita membesar-besarkan perbicaraan ini sehingga ianya boleh memecahbelahkan masyarakat Islam sesama sendiri?
Dari dulu juga orang Islam membicarakan tentang aurat wanita, membaca usalli atau tidak ketika akan menunaikan sembahyang, dan akhirnya isu ini juga lenyap begitu sahaja, kerana akhirnya umat Islam mengetahui bahawa hal ini adalah merupakan perkara yang telah dapat diselesaikan dengan kefahaman yang mendalam tentang ajaran agama tentang perbezaan mazhab feqah, dan masaalah ini adalah merupakan masaalah ijtihad yang terdapat perbezaan pandangan oleh para ulamak, maka kita mengambil pandangan yang terbaik berdasarkan mazhab yang kita amalkan di negara kita.
Oleh itu apakah untungnya umat kita sekiranya banyak perkara lama yang telah selesai itu kita bangkitkan semula di dalam masyarakat kita sekarang. Apakah untungnya kita ketika kita membesar-besarkan isu membaca Qunut atau tidaknya ketika sembahyang subuh, berdoa selepas sembahyang berama-ramai, bertahlil dan membaca ayat-ayat Quran untuk orang mati, membaca Yasin pada malam Jumaat, dan amalan lain yang seumpamanya. Kenapakah isu khilafiah dalam ijtihad ini perlu diheboh-hebohkan sehingga mengakibatkan kekeliruan umat kita dan memecah belahkan kesatuan umat kita, terutamanya di kalangan orang awam Islam yang kurang pengetahuan agamanya.
Apakah untungnya kita memecah belahkan masyaarakat yang selama ini mengamalkan amalan-amalan itu mengikut kefahaman dan tradisi masyarakat dan budaya kita yang mempunyai kefahaman bahawa amalan itu boleh dilakukan tanpa menjejaskan akidah dan keimanan mereka sebagai orang Islam. Apakah dengan membaca Qunut, dengan mengadakan sambutan Maulidurrasul, atau membaca Yasin pada malam Jumaat itu akan membawa seseorang itu mengamalkan bid'ah sesat yang boleh membawanya ke neraka?
Isu amalan sunat, isu ijtihad yang tertakluk kepada pandangan ulamak dan mazhab yang tertentu tidaklah seharusnya dibicarakan seolah-olah membicarakan satu hukum yang jelas haram dan harusnya berdasarkan nas al-Quran dan Hadith? Seorang Muslim yang tidak mengakui bahawa sembahyang itu adalah perentah Allah SWT yang wajib dikerjakan tentulah tidak sama hukumnya dengan seorang yang mengikut mazhab Shafie dengan membaca Qunut dalam sembahyang subuh. Mengingkari perentah Allah yang jelas dan qat'i seperti mengingkari kitab suci Al-Quran itu
datangnya dari Allah adalah amat berat hukumnya, yang boleh membawa kepada syirik, dan hukum ini tentulah tidak sama bagi seorang Muslim yang hanya membaca Yasin pada malam Jumaat, atau membaca surah ikhlas yang diniatkan hadiah kepada si mati.
Isunya di sini apakah untungnya umat Islam dengan pembicaraan persoalan yang bukannya persoalan pokok dan usul, dan apakah gunanya dibicarakan perselisihan pandangan dalam hal-hal ijtihad, sedangkan para mujtahid masing-masing mempunyai pandangan yang berbeza-beza, dan umat Islam bebas mengikut mazhab manakah yang disukainya.
Dalam perkara ijtihad ini, orang Islam boleh mengikut mana-mana pandangan mazhab. Dan dalam masa yang sama, ia tidak seharusnya menyalahkan orang Islam lain yang tidak mahu mengikut mazhabnya. Isu ini samalah seperti yang selalu dibicarakan, iaitu apabila orang Islam dari negara kita pergi ke Makkah, mereka mengikut imam sembahyang di dalam masjid di tanah suci itu, maka ketika imam tidak membaca Qunut dalam sembahyang subuh, lalu makmum yang berlainan mazhab ini juga akan mengikut imam itu tanpa mengatakan bahawa sembahyangnya tidak sah.
Oleh itu umat Islam seharusnya janganlah dipecah belahkan lagi dengan isu-isu ini, sedangkan mereka telah cukup mempunyai masaalah dalam isu kesepaduannya, bukan hanya di dalam masyarakat negara kita, malah umat Islam seluruh dunia sedang menghadapi kerisis kepimpinan, ekonomi, politik, sosial dan isu-isu globalisasi yang amat mencabar dan akan menghakiskan nilai-nilai moral kerohaniannya.
Umat Islam keseluruhannya sedang menghadapi tekanan penjajahan baru dari Amerika Syarikat dan Barat umumnya yang menjadi kroni kebanyakan negara Islam yang kaya dengan kurniaan Allah SWT kepada mereka. Kerisis politik dan ekonomi yang dihadapai oleh negara-negara Islam adalah amat besar dan merbahaya, yang mengakibatkan perpecahan dan pertelagahan sesama negara Islam, dan akibat dari perpecahan ini, maka negara-negara Islam yang sedang diperkotak katikkan oleh kuasa Barat seperti Palestin, Iraq, Afghanistan dan lain-lainnya, akan terus dijajah, diperlakukan seperti tuan dan hamba abdi dalam negara umat Islam sendiri, oleh penjajah berbentuk baru itu, dan hampir seluruh dunia Islam akan membisu seribu bahasa sahaja tanpa dapat berbuat apa-apa, dan hanya dapat menjadi penonton sahaja melihat saudara-saudara seagamanya menjadi korban manusia yang kejam itu.
Apakah dalam keadaan ini kita lebeh mementingkan masaalah khilafiah remeh temeh daripada membangun kesatuan dan perpaduan umat Islam itu sendiri? Apakah dalam keadaan penghinaan yang amat besar yang sedang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini kita masih mahu bertindak rakus dengan kelakuan ganjil salah menyalahkan, keji mengeji dan cela mencela sesama kita kerana isu-isu kecil dan cabang? Apakah kerana perselisihan pendapat para ulamak berdasarkan ijtihad atau anutan mazhab yang tertentu maka kita sanggup bertindak memecah belahkan perpaduan umat kita?
Kalau beginilah halnya umat Islam pada hari ini, maka janganlah diharapkan bahawa umat Islam akan menjadi kuat dan berkuasa sama seperti umat-umat yang lain dalam dunia global ini. Dan dalam keadaan ini, maka umat-umat lain hanya akan mentertawakan kita semua kerana bergaduh dan berkerisis disebabkan oleh isu-isu sampingan dan kecil, bukan isu besar dan dasar yang di dalamnya bergantung kelangsungan dan survival umat ini.
Sebab itulah saya kadang-kadang terfikir apakah dalam merislisasikan konsep 1 Malaysia untuk semua warga negara Malaysia, kita umat Islam tidak pun bertindak untuk mewujudkan satu umat dahulu menjadi umat yang berpadu dan bersatu ? Sungguh amat ajaib dan amat menghairankan, malah amat memalukan !
Comments
Post a Comment