KE MANA KITA SESUDAH PERAYAAN HIJRAH??
Menjelang 18 Disember 2009 yang lalu kita semua telah menyambut tahun baru Islam atau tahun Hijra 1431. Begitu lama peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah mengambil tempat, tetapi semangatnya tetap dirasakan hingga ke hari ini, dan semangat itu makin dirasakan oleh umat kita, dan amatlah diharap-harapkan bahawa semangat itu akan dapat kita hayati kembali, ketika sejarah perpecahan umat Islam, dan pertelagahan umat manusia umumnya, semakin berleluasa berlakunya pada hari ini, seolah-olah dunia hari ini telah kembali semula menjadi dunia sebelum berlakunya Hijrah Rasulullah SAW dulu, penuh persengketaan dan kerusakan.
Kita memerlukan Hijrah Rasulullah SAW sekali lagi pada hari ini, tetapi perkara itu mustahil dapat berlaku, maka kita hanya mengharapkan bahawa semangat dan ruh Hijrah itu akan dapat kita hidupkan kembali, dengan lebeh hebat lagi, pada hari ini untuk mencipta sebuah masyarakat umat manusia yang aman sejahtera dan bertamadun seperti yang berjaya dibentuk oleh Rasulullah SAW ketika baginda memetraikan perjanjian damai dengan kepelbagaian keturunan dan suku bangsa di Madinah dengan perlembagaan yang terkenal dengan nama piagam Madinah itu.
Telah banyak sekali karya yang ditulis dan dihasilkan oleh berbagai-bagai kalangan dari para intelek dan agamawan, ahli sosiologi, ekonomi, saintis, ahli politik dan para ilmuan lainnya yang menunjukkan kepentingan Hijrah sebagai satu peristiwa besar yang merupakan satu noktah titik tolak dalam sejarah peradaban manusia yang ulung dalam ukiran tamadun manusia di muka bumi ini.
Peristiwa besar yang berlaku dalam tahun 622 Masehi itu menjadi satu peristiwa anjakan peradaban manusia umumnya, tanpa terikat dengan umat satu agama, iaitu umat Muslimin sahaja, tetapi peristiwa itu memberikan satu kesan yang amat besar kepada umat manusia yang beriman atau tidak beriman dalam menghayati dan melaksanakan satu kehidupan yang bersemangatkan persaudaraan sejagat.
Umat yang terdiri daripada bangsa Arab yang dipisah-pisahkan oleh kaum dan keturunan, umat yang telah beriman kepada agama Tauhid atau masih berpegang kepada ajaran lama yang syirik, umat manusia yang terdiri daripada golongan Yahudi yang juga berpuak-puak, semuanya disatukan di dalam satu negara yang dinamakan Yathrib (Madinah) dan diketuai oleh Baginda Rasulullah SAW sendiri, yang dipersetujui umum sebagai kepala negara yang mampu menyatu padukan umat yang sebelum ini berpecah belah dan bersengketa beberapa agenerasi lamanya, sehingga membawa kepada peperangan besar dan kecil, pembunuhan dan pertumpahan darah, tanpa berperi kemanusiaan sama sekali. Maka ketika Rasulullah SAW melakukan hijrah ke Madinah inilah, Baginda bertindak menyatu padukan manusia yang berpecah belah itu sehingga melahirkan satu masyarakat yang bersepadu, iaitu diantara kepelbagaian kaum dan bangsa serta dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat dalam usaha perdamaian dan perpaduan ini. Dokumen itu terkenal dengan nama Sahifah Madinah, iaitu sebuah Piagam yang mengandungi lebeh daripada 45 Pasal.
Piagam Madinah, yang digubal pada tahun 622 Masehi itu merupakan satu perlembagaan lengkap dan ulung dalam sejarah tamaddun manusia kerana beberapa sebab yang tertentu, diantaranya ialah seperti berikut :
- Piagam ini merupakan dokumen bertulis pertama dalam sejarah manusia yang lengkap, dan disahkan oleh semua kalangan yang terlibat
- Keterlibatan semua kaum dalam formula perpaduan, tanggungjawab, hak dan keistimewaan masing-masing merupakan perjanjian dan kontrak sosial yang harus dilaksanakan dengan mengakui kesahihan Piagam ini dan keiltizaman masing-masing dengan segala kandungannya
- Semua warga haruslah mengiktiraf kekuasaan ketua negara dan memberikan taat setia kepada negara serta menerima dan mengiktiraf akan kedaulatan Piagam ini untuk semua
- Ciri-ciri kesatuan dan perpaduan ialah perkongsian nilai dan obligasi sosial dan moral yang menjadi teras kehidupan semua kaum, juga mengelakkan konflik dan permusuhan.
- Piagam ini merupakan piagam yang mengandungi peraturan politik, sosial, pertahanan, tanggung jawab material dan moral dalam pertahanan dan kemakmuran bersama
- Persamaan hak dan tanggung jawab diberikan kepada semua kaum tanpa mengambil kira latar belakang agama dan sosial mereka yang berbeza-beza
- Piagam ini mengandungi rukun-rukun perpaduan dari segi kebebasan akidah, melindungi maruah dan kehormatan, menjaga keselamatan harta benda dan kekayaan, dan mencegah tindakan ganas, jenayah dan sebagainya.
- Piagam ini juga menanamkan semangat patriotik kepada setiap warga, dan membangkitkan semangat kekitaan atau sense of belonging
- Piagam ini juga merangka formula bagaimana menjana pendapatan negara dari semua kaum, iaitu Zakat bagi orang-orang Islam, cukai (Kharaj) dari orang bukan Islam, juga harta rampasan perang (Ghanimah)
- Kaum Yahudi yang menguasai ekonomi haruslah membantu dari segi tanggungan perbelanjaan kepada para pejuang Islam yang berjuang mempertahankan negara.
Perjanjian ini Berjaya mencapai matlamatnya seperti yang dirangka oleh Rasulullah SAW sehingga Madinah menjadi pusat pemerintahan yang kuat dan bersatu untuk jangka masa yang lama.
Bagaimana pun, sejarah juga mencatatkan tentang kembalinya manusia kepada kehidupan liar dan tidak berperadaban, iaitu ketika berlakunya pencabulan beberapa kaum terhadap perjanjian damai ini, seperti yang dilakukan oleh kaum Yahudi yang belot dan bermuka dua, berkomplot untuk menjatuhkan kepimpinan Rasulullah SAW, dan mungkin juga berusaha untuk membunuhnya, sehingga akhirnya kaum Yahudi ini telah diusur dari bumi Madinah.
Kaum Yahudi juga ketika melibatkan diri dengan perjanjian Madinah, menurut beberapa seumber sejarah, merupakan kaum yang membolot perdagangan berdasrkan pinjaman wang berunsurkan riba yang berlipat ganda. Dan hal ini nampaknya menjadi kenyataan sehingga ke hari ini, iaitu ketika Yahudi inilah yang menguasai ekonomi dan perdagangan dunia sehingga dengan penguasaan ekonomi inilah mereka nampaknya telah dapat menguasai politik dunia, termasuk politik Amerika Syarikat.
Hari ini, jika kita mengkaji perkembangan yang berlaku di bumi para anbiya', iaitu bumi para Nabi dan Rasul yang diutuskan oleh Allah SWT, maka kita dapat saksikan bahawa di bumi itulah berlakunya peristiwa yang merupakan tragedi yang amat besar dalam peradaban dan tamadun manusia sekarang.
Perhatikan saja apa yang berlaku di dunia Arab, terutamanya di Palestin dan Iraq tentang pergisiran dan pertelegahan yang sedang menyelubungi dua buah negara tersebut dalam situasi politiknya yang berbeza, tetapi korban kemanusiaannya adalah sama. Iraq menyaksikan perbalahan rakyatnya sendiri, iaitu rakyat sesama satu agama, dan Palestin menyaksikan pergisiran diantara para pejuang kemerdekaannya sendiri yang mempunyai ideologi politik yang berbeza, iaitu diantara Hamas dan Fatah. Pertumpahan darah dan pembunuhan berlaku diantara mereka yang membawa kepada kehilangan nyawa yang banyak, termasuk nyawa kanak-kanak, orang tua, wanita dan pihak yang menjaga keselamatan negara sendiri.
Saya teringat ketika saya sedang bertugas di Arab Saudi, bagaimana Raja Abdullah, Raja Saudi, cuba menjadi pendamai, seolah-olah mengambil peranan Rasulullah SAW ketika baginda berhijrah ke Madinah. Raja Abdullah menjemput pihak-pihak yang bertelagah di Palestin, termasuk dua golongan pejuangnya, Hamas dan Fatah, datang ke Makkah berunding dan berdialog dalam satu perjumpaan yang amat bersejarah sekali.
Perjumpaan itu diadakan di istana Baginda Raja, dan disaksikan oleh para pemimpin tertinggi Arab Saudi dan Arab yang lain, serta diwakili oleh para pejuang Hamas dan Fatah, yang berakhir dengan berpeluk-pelukan dan menampakkan semangat kesefahaman dan perdamaian yang ikhlas.
Peristiwa itu menjadi lebeh kyusuk dan bersejarah, kerana arena perjanjian damai itu adalah di Istana Baginda Raja yang mengadap ke Kaabah, kiblat umat Islam seluruh dunia itu, dan berada pula di dalam Masjidul Haram yang suci itu. Maka perjanjian damai itu adalah bersaksikan rumah Allah, dan segala sumpah damai itu tentulah juga dibuat dengan nama Allah SWT yang menjadi saksinya.
Tetapi manusia tetaplah manusia, serba lemah dan mudah dihasut nafsu, lalu tidak berapa lama selepas perjanjian damai itu dimetraikan, maka syaitan dan iblis kembali bermaharajalela di dalam perjuangan negara Palestin, lalu Hamas dan Fatah yang tidak berapa lama dulu berjanji untuk bersaudara dan menyusun barisan bersama menentang penjajahan Zionis, yang disaksikan oleh Raja Abdullah didalam tempat yang suci, mengadap kiblat yang menjadi tumpuna umat Islam seluruh dunia, tiba-tiba kembali berkerisis dan berbalah, lalu bermulalah kembali pertempuran berdarah diantara kedua belah pihak yang mengakibatkan kerisis politik yang lebeh meruncing dan genting lagi, mengorbankan banyak nyawa, dan masing-masing menawan sesama sendiri, menjadi tawanan yang dihumban ke dalam penjara mereka masing-masing. Muncung senapang dan meriam yang sepatutnya dihalakan kepada musuh sebenar, iaitu penjajah Yahudi yang menjajah mereka sekian lama, telah dihalakan kepada sesama sendiri, dan berlakulah banyak kekejaman yang amat merugikan perjuangan sendiri.
Inilah satu contoh yang amat ketara, bagaimana usaha Rasulullah SAW ketika mendamaikan beberapa kaum Arab dan Yahudi serta kaum Muhajirin dan Ansar, hanya tinggal menjadi catatan sejarah, dan diulang-ulang ceritanya dari tahun ke tahun, tetapi falsafah dan maknanya tidak dapat lagi diyhayati dengan ikhlasnya oleh umat Islam sendiri dalam dunia moden ini.
Maka isu Palestin yang dijajah dan ditindas, tragedi yang berlaku di Iraq dan Afghanistan, serta mdi dunia Islam lainnya, akan kekal menjadi isu yang tidak akan dapat diselesaikan, kerana selain daripada kerisis politik dalaman sesama sendiri yang memecah belahkan rakyat, maka keadaan politik luaran di dalam dunia Islam dan Arab sendiri, tidak menjanjikan apa-apa penyelesaian kepada kemelut umat Islam ini.
Maka dalam keadaan dunia Islam yang kacau bilau inilah, kita amat merindui penyelesaian yang pernah dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW ketika berlakunya Hijrah baginda yang penting itu, dan selagi keadaan dunia Islam berkeadaan begini, iaitu selagi para pemerintah negara-negara Islam berpecah belah dan berkerisis sesama sendiri, malah terdapat diantara pemerintah negara Islam yang berkiblat kepada Barat sebagai kroni masing-masing, maka selama itulah kita akan terus bertanya dengan penuh kesal dan marah, kemanakah terhakisnya semangat Hijrah yang amat agong, yang pernah dipelopori oleh junjungan kita Rasulullah SAW itu ?
Comments
Post a Comment